Persatuan Cina sukar cari pelapis

Persatuan Cina sukar cari pelapis

BRITISH menggalakkan kedatangan orang-orang Cina dari China ke Malaya secara giat yang kebanyakannya menceburi sektor perlombongan bijih timah, perladangan dan perdagangan. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia terdapat lebih 10,000 buah pertubuhan atau persatuan Cina dan sesetengahnya mempunyai sejarah menjangkau lebih 200 tahun lamanya. Persatuan-persatuan Cina ini lazimnya diklasifikasikan berdasarkan unsur-unsur tertentu seperti dialek, tempat asal, pertalian darah, industri dan profesion, persekolahan, keagamaan serta pertubuhan perkuburan.

Pada zaman penjajahan British, mereka menggalakkan kedatangan orang-orang keturunan Cina dari China ke Malaya secara giatnya. Pendatang Cina ini banyak menceburkan diri dalam sektor perlombongan bijih timah, perladangan dan perdagangan. Mereka yang berasal dari wilayah berbeza-beza memiliki dialek-dialek seperti Hainan, Hakka, Kantonis, Hokkien dan Teochew.

Pada masa itu, British melaksanakan dasar pecah dan perintah ke atas kumpulan kaum Cina yang berlainan dialek. Pelaksanaan dasar ini menyebabkan pendatang Cina terpaksa berkumpulan dalam persatuan dialek masing-masing seperti persatuan Hokkien, persatuan Teochew, persatuan Hainan dan sebagainya.

Di kawasan bandar yang padat dengan penduduk Cina, British melantik seorang pemimpin yang berwibawa sebagai kapitan dalam membantu penjajah melaksanakan segala urusan berkaitan masyarakat Cina.

Tujuan utama penubuhan persatuan pada ketika itu adalah untuk bertindak sebagai badan kerjasama demi faedah bersama dan menye­mai perasaan kekitaan serta memberi perlindungan dalam kalangan ahlinya. Pada amnya, persatuan-persatuan ini berorientasikan kebajikan dan memberi bantuan kepada ahli-ahli yang baru tiba dari China untuk mencari pekerjaan dan menyediakan kediaman.

Kemudian, apabila terdapat ahli sebangsa meninggal dunia, maka persatuan yang disertainya bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal selepas kematiannya. Ekoran itu, kebanyakan tanah perkuburan kaum Cina di seluruh negara diterokai dan diuruskan oleh persatuan-persatuan Cina yang berkenaan. Objektif utamanya adalah untuk membantu masyarakat Cina setempat mengendalikan upacara pengebumian maya.

Pada masa sama, persatuan atau pertubuhan Cina turut berperanan sebagai tempat pendamaian bagi menyelesaikan perselisihan faham antara pendatang-pendatang Cina.

Penubuhan persatuan Cina memberi tempat bergantung dan sokongan emosi kepada orang Cina. Faktor ini mendorong lebih banyak pendatang Cina berhijrah dari China ke Malaya untuk mencari nafkah.

Sesungguhnya, masyarakat Cina amat menitikberatkan pendidikan sejak dahulu sehingga sekarang. Oleh hal demikian, sekolah Cina yang tidak terbilang jumlahnya berjaya ditubuhkan di pelosok negara sejak berabad lalu. Penubuhan sekolah demi manfaat anak-anak keturunan sebangsa menjadi trend pada zaman tersebut. Orang Cina yang berlainan dialek menubuhkan sekolah untuk puak masing-masing. Misalnya, sekolah yang ditubuhkan oleh orang Teochew khususnya untuk murid-murid daripada etnik sama.

PIBG

Namun, fungsi persatuan Cina beransur-ansur diambil-alih oleh kerajaan selepas kemerdekaan Malaya. Pera­nan persatuan Cina meng­alami perubahan seiring perkem­bangan ekonomi negara. Kini, fungsi dan peranan per­satuan Cina lebih beralih ke arah meneruskan dan mem­pertahankan warisan budaya puak dialek masing-masing.

Pada masa ini, pertubuhan berasaskan tempat asal, dialek dan pertalian darah lebih cenderung kepada usaha mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli, di samping berperanan menyalurkan ganjaran dan dana kepada anak-anak ahli untuk menyambung pelajaran. Pertubuhan industri pula terus membantu ahli-ahlinya menyuarakan pendapat tentang isu-isu semasa berkaitan perniagaan dan perindustrian. Persatuan pengelola sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta alumni pula memainkan peranan penting dalam pembinaan dan pembangunan sekolah.

Persatuan dan pertubuhan merupakan elemen penting bagi masyarakat Cina dalam perkembangan kebudayaan di Malaysia. Pertubuhan-pertubuhan ini banyak menyumbang ke arah perkembangan masyarakat Cina dan pembangunan negara secara amnya.

Para pemimpin pertubuhan dan persatuan lazimnya terdiri daripada tonggak masyarakat yang memiliki rangkaian sosial meluas. Dengan ini, mereka berkemampuan dalam meleraikan pertikaian dan memobilisasikan tenaga masyarakat.

Sejak dahulu lagi masyarakat Cina sering kali menyumbang tenaga dan sokongan kepada kaum sendiri tanpa mengharapkan sebarang balasan. Tradisi mulia ini telah pun diwariskan dari generasi kepada generasi sejak zaman-berzaman.

Menjelang abad ke-21, semakin banyak orang Cina berhijrah ke bandar. Ekoran itu, kebanyakan persatuan Cina di kawasan luar bandar kehilangan penyambung untuk meneruskan fungsinya. Tambahan lagi, kegiatan tradisional persatuan kurang menarik minat generasi muda untuk menyertainya. Cabaran baharu bagi persatuan Cina sekarang ialah bagaimana untuk mencari pelapis dan menarik generasi muda menganggotai agar perjalanannya berlanjutan.

Penggunaan teknologi maklumat seperti internet merupakan salah satu cara untuk meneruskan perjalanan persatuan Cina. Pihak yang terlibat boleh menyusun semula sejarah dan maklumat tentang persatuan lalu dimuat naik ke laman sesawang. Seterusnya media sosial boleh digunakan secara berkesan untuk meningkatkan pelibatan generasi muda dalam persatuan Cina.

Pada hakikatnya, operasi persatuan Cina kini seolah-olah menemui jalan buntu. Namun, pihak yang berkaitan perlu mencetuskan idea baharu dan daya penggalak untuk memberikan nafas baharu demi kesinambungannya.

Kebelakangan ini, wujud trend penggabungan persatuan dan pertubuhan Cina yang bertaburan di seluruh negara di bawah satu kesatuan pusat. Fenomena ini jelas menunjukkan masyarakat Cina semakin serasi dengan persekitaran tanah air yang berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama.

Masyarakat Cina tekad untuk berakar umbi di negara ini dan bermesra dalam masyarakat majmuk. Mereka juga berusaha meneruskan semangat membangunkan negara dan sedia berbakti untuk masyarakat keseluruhannya. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×