KEDUDUKAN Malaysia yang strategik di laluan perdagangan antarabangsa, di tengah-tengah pertemuan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik menjadikan perdagangan maritim penting kepada pembangunan ekonomi negara. Kerajaan memberi keutamaan kepada pengangkutan maritim selari dengan matlamat strategik serta memenuhi keperluan nilai geopolitik maritim negara.
Dewasa ini, kapal dagang membawa 85 hingga 90 peratus barang dagangan global dan pengoperasian melalui mod pengangkutan ini menyokong permintaan yang meningkat dengan ketara. Adalah amat mustahil untuk menguruskan kapal dagang dengan selamat dan cekap antara destinasi asal dan tujuan tanpa penyertaan pelaut.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bertanggungjawab mempromosi peranan penting dimainkan oleh pelaut serta mendidik orang ramai tentang kepentingan mereka yang menjadi tulang belakang. IMO bergiat aktif dalam menghebahkan peranan pelaut kepada perdagangan global yang disifatkan sebagai sumbangan di belakang tabir dan kadangkala mendatangkan implikasi kepada diri dan keluarga masing-masing.
Namun, kepentingan pelaut sering dipandang rendah menyebabkan kekurangan sokongan daripada pihak berwajib. Salah satu isu yang mendesak ialah mengapa pihak berkuasa Sabah dan Sarawak seolah-olah mendiskriminasi pelaut Semenanjung dengan mengenakan permit pekerjaan? Dan mengapa pihak berkuasa melewatkan proses permohonan mereka?
Malah, pelaut Semenanjung harus menunggu sekitar dua hingga tiga bulan untuk mendapatkan permit kerja di Sabah dan Sarawak yang dahulunya mengambil masa satu hingga dua minggu sahaja. Pelaut Semenanjung juga terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan kerana sekatan baharu menunjukkan hak mereka dinafikan.
SETIA KAWAN
Pelaut mempunyai semangat setia kawan yang tinggi tidak mengira umur, jantina, negeri atau faktor lain. Mereka melihat diri sendiri sebagai keluarga kecil di atas kapal dan bekerja secara berkumpulan dengan baik sepanjang pelayaran. Bagaimanapun, dengan isu semasa dan sentimen dimainkan melalui halangan pelaut Semenanjung yang ingin bekerja di perairan Sabah dan Sarawak, keretakan semakin melebar yang boleh mengancam perpaduan.
Isu tidak ditawarkan gaji setimpal serta masalah kenaikan kos sara hidup juga antara masalah utama didepani pelaut dan ada kalanya dinafikan pinjaman bank untuk memiliki hartanah sebagai aset utama mereka. Hal ini menyebabkan daya tarikan kerjaya di laut semakin merosot dan dijangka mengancam populasi pelaut tempatan mahir. Jika tidak diatasi, keadaan ini diunjurkan berterusan pada tahun-tahun akan datang.
Pelaut melakukan salah satu pekerjaan mencabar dan tiada siapa tahu apa yang mereka lalui di laut. Ramai pelaut terlibat dalam situasi rumit ini di mana kehidupan mereka menjadi lebih sukar sewaktu pascapandemik. Pandemik telah menunjukkan kerapuhan dan cabaran yang didepani pelaut.
CUKAI
Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan serta agensi marin dan pihak berkepentingan maritim harus mengambil beberapa tindakan segera dalam mengatasi halangan dihadapi oleh pelaut hari ini seperti pengabaian, dinafikan hak, gaji tidak setimpal serta peluang pengembangan kerjaya.
Malaysia yang mempunyai salah satu pelabuhan antarabangsa tersibuk di dunia harus menganggap pelaut sebagai pekerja utama. Ini akan membantu sektor pelabuhan dan logistik kekal berdaya saing selepas wabak. Para pelaut secara berhemah menginginkan pelayaran mereka bertambah baik dari semasa ke semasa. Justeru, pelaut menaruh harapan tinggi untuk dilayan sebagai pekerja utama dalam industri perkapalan dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.
Terdapat beberapa cadangan daripada komuniti pelaut untuk diketengahkan dan dipertimbangkan seperti menghapuskan cukai bagi pelaut yang berada di atas kapal lebih dari dua bulan. Malaysia mempunyai sistem cukai wilayah yang bermaksud pendapatan daripada kerja yang dilakukan di negara ini dan kawasan lain di bawah kawalannya dikenakan cukai.
Namun, pengecualian atau pelepasan daripada cukai boleh diminta bagi kes-kes tertentu.
Seterusnya, memansuhkan permit kerja bagi pelaut Semenanjung yang ingin bekerja di perairan Sabah dan Sarawak, mengutamakan pelaut tempatan dan mengurangkan kemasukan pelaut asing, mengkaji semula imbuhan dan gaji pelaut agar setanding dengan pelaut dari negara-negara lain seperti Brunei dan Singapura dan pertimbangan yang wajar dalam mendapatkan kemudahan pinjaman bank.
Kelangsungan aktiviti maritim bergantung sepenuhnya kepada komuniti perkapalan khususnya sumbangan dan pengorbanan pelaut. Kekurangan perhatian dan bantuan menyebabkan ramai pelaut bertukar kerjaya. Sekiranya trend ini berterusan, akan terdapat jurang besar pelaut yang berkelayakan di Malaysia. Perkara ini wajar diteliti kerana industri maritim penting kepada pertumbuhan dan merupakan tulang belakang ekonomi serta komersial negara. – UTUSAN
DR. Izyan Munirah Mohd. Zaideen ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu dan Kepten Mohd. Faizal Ramli ialah pelaut dengan kepakaran bidang alam sekitar, kesihatan & keselamatan marin dan alumni Akademi Maritim Malaysia (ALAM).










