Parti menang kerusi sedikit pun penting - Utusan Malaysia

Parti menang kerusi sedikit pun penting

KERAJAAN PH didakwa kurang mesra Melayu dan disebabkan itu kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad di bawah bendera gabungan itu tidak stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang adalah amat penting untuk negara. Ia penting kerana politik dan tadbir urus Malaysia perlu belajar norma baharu, iaitu mengemudikan politik dalam suasana bergelora.

Ini disebabkan selepas PRU14, tidak ada sebuah parti atau sebuah perikatan parti menang dengan majoriti padu yang membolehkan mereka menubuhkan sebuah kerajaan sendiri dengan kukuh. Sejarah turut tercipta apabila selepas PRU14, tiga Perdana Menteri naik bersilih ganti.

Setelah 59 tahun negara diperintah dengan kukuh dan majoriti padu oleh UMNO dan sekutunya dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN), selepas PRU14 keadaan berubah sekelip mata.

UMNO dan BN yang ramai anggap gagah dan tidak mungkin akan kalah membuktikan sebaliknya. Ramai mereka yang sehingga saat akhir PRU14 tetap mengatakan BN akan menang mudah, bahkan ada yang mengatakan BN akan menang dua pertiga dari 222 kerusi Parlimen yang dipertanding.

Kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Perubahan yang dibawa oleh keputusan PRU14 amat signifikan dalam sejarah politik negara. Proses politik dan tadbir urus sejak itu menegakkan semula harapan bahawa Malaysia masih ada peluang mendirikan kerajaan campuran yang sebenar dan mewakili.

Selepas PRU14, suasana ibarat tidak teratur dan ada mengatakan politik negara tidak stabil. Ada yang melabelkan kerajaan yang naik selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pintu belakang dan kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat. Semua hujah ini tidak ada asas kukuh dan saintifik.

Setiap kerajaan yang ditubuhkan adalah berdasarkan undang-undang negara bahawa seorang Perdana Menteri itu mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Maka, selagi Perdana Menteri itu mendapat sokongan majoriti dari kalangan ahli Dewan Rakyat, dengan apa sekalipun cara mendapatkannya, maka kerajaan beliau adalah tetap sah di sisi undang-undang negara.

Politik dan proses tadbir urus pasca PRU15 adalah lebih dinamik. Perubahan parti dan perikatan parti yang mengemudikan kerajaan menunjukkan imbangan terbaik masih belum dijumpai.

Kerajaan PH didakwa kurang mesra Melayu dan disebabkan itu kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad di bawah bendera PH tidak stabil atau goyang.

Ini berkait juga dengan sentimen Melayu yang bagi pertama kali merasakan semacam mereka kehilangan kuasa kerana kerajaan PH hanya dapat ditegakkan dengan sokongan bukan Melayu.

Kerisauan Melayu mengenai hal ini, iaitu rasa kehilangan kuasa perlu ditenangkan bagi membolehkan politik dan proses tadbir urus pasca PRU14 berjalan lancar dan demi kebaikan semua, sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asal Sarawak dan Sabah.

Sewajarnya, kita perlu tahu dengan jelas perbezaan di antara ‘hilang kuasa’ dan ‘berkongsi kuasa’. Melayu Semenanjung tidak akan hilang kuasa. Ini sudah terbukti apabila kerajaan bertukar tiga kali dalam tempoh satu pilihan raya. Perdana Menteri tetap orang Melayu dan Melayu dari Semenanjung.

TAWARAN

Selepas PRU14, persoalan siapa menjadi Perdana Menteri ialah: Melayu mana satu, Melayu PH-Bersatu ( Dr. Mahathir), PN-Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) atau PN-UMNO (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)?

Justeru, dalam politik norma baharu, ada kemungkin Perdana Menteri akan datang dari sekurang-kurangnya tiga jenis gabungan ini seperti sedia dilihat dalam masa empat tahun kebelakangan ini.

Justeru, selepas PRU15, persoalan cepumas ialah: siapa akan naik menjadi Perdana Menteri? Tiada jawapan yang jelas dan terang kerana banyak dimensi perlu diambil kira.

Ramai melihat kepada Perdana Menteri sekarang sebagai pilihan pertama. Pandangan ini ada asas kerana UMNO pun sudah mewar-warkan bahawa Ismail Sabri ialah calon Perdana Menteri sekiranya mereka menang kembali.

Namun, jawapan ini masih boleh diragui. Kalau benar UMNO mahukan Ismail Sabri menjadi calon UMNO untuk jawatan itu, kenapa tidak biarkan Ismail Sabri menaiki kepimpinan UMNO sebagai Presiden UMNO atau sebagai Pengerusi BN? Itu baharu pendirian yang tegas dan boleh dipercayai.

Oleh itu, Melayu mana akan menjadi Perdana Menteri bergantung kepada dua perkara. Pertama, rundingan serta penentuan kawan dan lawan sebelum PRU15.

Kedua, sekiranya keputusan PRU15 adalah sama seperti keputusan PRU14 di mana tiada mana-mana parti Melayu Semenanjung menang majoriti kerusi majoriti Melayu, maka percaturan selepas keputusan diumumkan akan menentukan.

Dan ini bergantung kepada tawaran terbaik kepada bukan Melayu, Sarawak dan Sabah. Sarawak dan Sabah tidak keberatan menyokong mana-mana puak yang menang atau akan menang dalam percaturan. Kedua-dua wilayah itu tiada sentimen dengan Semenanjung.

Sentimen mereka ialah rasional dan akan bersama yang menang walaupun pemimpin mereka pernah dilaporkan sebagai berkata akan berenang atau tenggelam bersama rakan. Bukti kukuh menunjukkan bila rakan tenggelam, mereka melompat dan berenang bersama yang menang.

Percaturan politik selepas PRU15 demi mencari rakan kongsi untuk menubuhkan kerajaan campuran adalah baik kerana proses ini akan dilakukan dalam keadaan semua penting.

Kita sudah melihat bahawa parti besar penting, parti menang kerusi sedikit Parlimen pun penting. Bahkan beberapa ahli Parlimen Bebas turut penting dalam proses mencari cukup jumlah majoriti.

Proses tawar-menawar ini selaras dengan pendekatan Keluarga Malaysia demi menegakkan ‘keterangkuman’ dan ‘kebersamaan’ supaya semua akan merasakan bahawa kerajaan yang muncul kelak adalah kerajaan mereka, yang mereka sama-sama perlu dukung dan pertahankan demi perpaduan bagi bergerak ke hadapan dalam politik norma baharu negara.

Dalam konteks ini, jika proses tawar-menawar perlu berlaku selepas PRU15, maka calon terbaik untuk muncul sebagai pemenang pastilah Ismail Sabri yang ada rekod amat bagus dalam hal ini. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Jayum Anak Jawan ialah Profesor Sains Politik di Universiti Putra Malaysia (UPM) & Felow Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×