Menjelang sambutan Hari Malaysia esok, kita terkenang akan jasa para pemimpin negara yang telah menjadikannya kenyataan. Antaranya Tun Temenggung Jugah Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Juga Lee Kuan Yew yang kemudian membawa Singapura keluar dari gagasan tersebut.
Namun, ada dua lagi nama yang jika berada bersama kita hari ini akan berumur 100 tahun. Mereka dilahirkan pada 1922 dan kemudian menjadi pemimpin negara kedua dan ketiga.
Mereka ialah Tun Abdul Razak Hussein (1922-1976) dan Tun Hussein Onn (1922-1990).
Seperti pemimpin terdahulu darinya, mereka menjadi contoh teladan terpuji bagi sebuah negara yang sedang pesat membangun. Abdul Razak misalnya, terkenal sebagai Bapa Pembangunan kerana pendekatan dibawanya berupaya menukar wawasan negara sejak dahulu lagi. Beliau paling dikenali dengan Buku Merah yang menumpukan kepada pembangunan luar bandar keseluruhannya. Ini adalah satu tuntutan kemerdekaan yang amat penting dipenuhi jika Malaysia ingin terus maju sebagai negara berdaulat dan bermaruah serta saksama.
Beliau sebenarnya berhasrat menyusun semula masyarakat supaya lebih adil dengan membasmi kemiskinan antara kaum dan kelompok. Melalui usaha murni ini, kita mewarisi perancangan rintis seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebelum itu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sehingga membawa kepada penubuhan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Lebih daripada itu, nama Abdul Razak terpahat dalam dunia pendidikan melalui Laporan Razak sejak sebelum merdeka lagi. Beliau merupakan Menteri Pelajaran pertama pada 1955 selepas memenangi pilihan raya. Laporan tersebut menjadi teras kepada sistem pendidikan negara sehingga kini, yakni mencorakkan warisan generasi akan datang yang lebih terdidik serta bermaruah. Tidak syaklah beliau selayaknya menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama.
Dari segi kerukunan negara pula, Abdul Razak berusaha melibatkan penyertaan lebih ramai golongan apabila tertubuhnya Barisan Nasional (BN) yang membuka ruang untuk parti politik lain menyertai kerajaan melebarkan lagi keanggotaan berbanding Parti Perikatan sebelum itu. Apatah lagi susulan pembekuan sistem demokrasi selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 apabila kuasa diambil-alih oleh Mageran (Majlis Gerakan Negara) buat sementara waktu.
Demokrasi ketika itu digantung, namun dikembalikan apabila keadaan sosiopolitik menjadi biasa sehinggalah dini hari. Ia mencerminkan betapa keyakinan perdana menteri ketika itu akan sistem demokrasi berparlimen, serentak menunjukkan kepemimpinan yang cukup mantap lagi berani. Beliau tidak mengambil kesempatan memerintah ala pemimpin kuku besi.
Hal seperti ini boleh dipanjangkan kepada beberapa langkah lain yang tidak kurang berani serta mantap. Umpamanya, apabila hubungan antara Malaysia dan Republik Rakyat China dimeterai. Sayugia diingatkan, Malaysia masih mengalami ancaman anasir komunis ketika itu.
Namun, ini tidak menjadi halangan kepada beliau membuka perkhidmatan diplomasi walaupun negara tersebut mempunyai haluan berbaur komunis. Sebaliknya ia memberi beberapa kelebihan dalam meredakan keadaan sehinggalah membolehkan ancaman tersebut dihentikan akhirnya. Hasilnya berkesudahan dengan Malaysia menjadi lebih aman dan damai untuk memacu kemakmuran bersama.
Interaksi saya sebagai seorang pelajar dengan kedua-dua perdana menteri tersebut memberi satu pengalaman manis yang agak memberangsangkan, sekali gus meletakkan makna kepemimpinan berguna untuk difahami dan didalami.
Melihat Abdul Razak berjalan di atas batas sawah padi dan berendam dalam kolam ikan bersama pesawah serta nelayan membangkitkan semangat untuk terus berbakti tersemat dalam ingatan sehingga hari ini.
IKHLAS BERKORBAN
Pendek kata, keseluruhan negara mendapat manfaat besar daripada seorang pemimpin yang ikhlas berjiwa rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemimpin yang agak sederhana serta pandai pula menyesuaikan diri dan mendampingi hati rakyat. Malangnya, kesihatannya tidak memberi beliau masa untuk berkhidmat lebih lama tatkala meninggal dunia pada 1976 selepas kira-kira lima tahun dilantik sebagai perdana menteri.
Mujur perdana menteri seterusnya tidak juga calang-calang orangnya. Bapanya adalah pengasas UMNO, sedangkan datuknya pernah menjadi Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau sendiri pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Abdul Razak menggantikan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1973.
Tiga tahun kemudian, beliau menjadi perdana menteri sehingga 1981. Kepemimpinannya cukup tegas dan berprinsip lagi berani. Disiplinnya mantap. Beliau terkenal dengan Rancangan Rukun Negara sebagai satu usaha kental bagi menyatukan seluruh rakyat. Dengan itu beliau turut dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang ikhlas memperjuangkan soal perpaduan kaum.
Untuk merapatkan lagi jurang sosioekonomi rakyat, beliau memperkenalkan Skim Amanah Saham buat pertama kali. Skim ini kemudian banyak merintis usaha lain oleh pentadbiran selepas itu untuk kesejahteraan rakyat. Maka tidak hairan jasanya dikalungi dengan tertubuhnya sebuah hospital mata dan sebuah universiti atas namanya. Sepertimana Abdul Razak, Hussein merupakan seorang yang merendah diri dan mudah beramah mesra dengan rakyat jelata.
Yang demikian dalam meraikan Hari Malaysia, sewajarnya kita menoleh ke belakang dalam menghargai jasa bakti para pemimpin terdahulu termasuk Abdul Razak dan Hussein yang tiada lagi bersama kita.
Utamanya dalam meletakkan tanda aras untuk bergerak pantas ke hadapan memupuk sebuah gagasan Malaysia yang jujur dan sekali-kali tidak khianat bak yang diimpikan sejak lebih setengah abad lalu. Dirgahayu Malaysiaku. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










