Jangan busukkan nama ustaz

Jangan busukkan nama ustaz

GOLONGAN ulama mesti menjaga sahsiah kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERANA nila setitik rosak susu sebelanga. Demikianlah boleh diibaratkan apa yang berlaku kepada golongan penceramah baik yang bidang agama atau pun motivasi. Kini, mereka dikenakan tapisan lebih ketat sebelum boleh dijemput memberi ceramah di sekolah-sekolah.

Ini ekoran pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang Kementerian Pendidikan akan memperinci semula garis panduan pemilihan penceramah bagi sebarang program motivasi anjuran sekolah di seluruh negara, Isnin lalu.

Ia susulan kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas dan murid sekolah.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polismenerima empat laporan berkaitan kes terbabit pada 30 Ogos. Semua laporan telah dibuat di Klang (2), Shah Alam (1) dan Kajang (1).

“Semua laporan dibuat oleh empat individu berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 18 tahun dan mendakwa mereka menjadi mangsa amang seksual dengan penjenayah itu dikenali sebagai penceramah bebas.

Siasatan mendapati suspek berusia dalam lingkungan 40-an mengenali keempat-empat mangsa ketika mengadakan program motivasi di Selangor. Suspek ditahan pada 8 September lalu dan direman enam hari sehingga hari ini.

Demikianlah, kalau nafsu sudah menguasai, syaitan berjaya bertakhta di hati, siapapun akan tewas. Waima ustaz, sheikh atau golongan ulama. Cuma, apabila melibatkan golongan agamawan, ia sesuatu yang amat mendukacitakan.

Ini bukan kes pertama. Pada 19 April lalu, seorang penceramah bebas ditahan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak rakannya di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu ketika hadir memberi keterangan. Kejadian didakwa pada Mac lalu ketika mangsa berusia lima tahun mengikuti keluarganya yang menyertai program diadakan suspek di rumah bot berkenaan.

Masyarakat memandang tinggi dan menghormati golongan ulama, agamawan dan ustaz. Manakan tidak, sebabnya ulama ini adalah pewaris nabi yang menyampaikan ilmu agama dan memberi pencerahan dan panduan kepada masyarakat agar taat perintah Allah dan rasul.

Lebih parah, kejadian sebegini bukan sahaja busukkan nama para ustaz tetapi turut mencalar imej Islam. Kita boleh terima jika asatizah melakukan kesilapan biasa sebagai manusia contoh sesekali langar lampu merah waktu tengah malam. Namun, terlibat dalam jenayah seperti amang seksual, amat sukar dan pedih untuk diterima masyarakat.

Ulama didefinisi sebagai orang berilmu yang berbakti untuk membangunkan kehidupan lebih baik, berlandaskan ketaatan dan pengabdian ummah kepada Allah SWT. Mereka bersedia menggalas amanah membimbing umat mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Oleh sebab itu, mereka mendapat kemuliaan dan ditinggikan darjatnya selaras dengan firman Allah SWT dalam ayat 18, surah ali- Imran.

Apabila golongan agamawan terlibat melakukan jenayah, habis terpalit asatizah lain yang ikhlas dalam berdakwah. Inilah yang menjadi masalah sehingga masyarakat melabel golongan yang terlibat jenayah ini sebagai penunggang agama selain ulama su’ (ulama jahat).

Golongan ‘penunggang agama’ ini sebenarnya adalah mereka yang jahil tetapi pura-pura alim. Mengeluarkan kata-kata manis bersandar agama dan perbuatan juga persis orang yang cintakan agama dan bencikan dunia.

Hakikatnya, mereka tidak mengetahui ajaran Islam sebenar dan tidak mengamalkan ajaran agama. Tujuan mereka adalah mencari habuan dan keuntungan dunia semata-mata.

Ini yang diingatkan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pada akhir zaman akan muncul orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka memakai pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang ramai. Tutur kata mereka lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka sama dengan hati serigala yang bertujuan jahat. (Riwayat Tirmidzi).

Ulama su’ pula bermaksud buruk, jelek, dan jahat. Dengan kata lain, mereka adalah ahli ilmu yang buruk atau ulama buruk (tercela).

Sebagaimana diceritakan oleh para ustaz, semakin besar pangkat dan alim seseorang makin kuat godaan syaitan. Ibarat kalau orang itu statusnya ulama maka syaitan yang datang menggodanya juga berpangkat jeneral bukan prebet sebagaimana jika sasarannya itu hanya orang biasa.

Dan itulah janji syaitan. Ini dirakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.(al-A’raf: 17)

Imam Al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah telah menerangkan ciri-ciri ulama su’. Hayatilah kata-kata hikmah yang bermaksud: “Siapa yang ber­tambah ilmu, tapi tidak bertambah hidayah, ia hanya bertambah jauh dari Allah.”

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya yang aku khawatirkan atas umatku adalah para imam atau pemuka agama yang menyesatkan. (Riwayat Abu Daud)

Ciri ulama su’ adalah orang yang menuntut ilmu dengan matlamat memperbanyak harta, berbang­ga dengan kedudukannya dan menyombongkan diri de­ngan ramainya jumlah pengikut.

Ia terperdaya oleh syaitan. Ilmunya menjadi tumpuan untuk meraih duniawi.

Bersamaan dengan itu, ia mengira bahwa dirinya mempunyai posisi khusus di sisi Allah kerana ciri-ciri, pakaian, dan ke­petahan berpidato seperti ulama, padahal ia tamak kepada dunia.

Dalam hadis daripada Abu Zar r.a, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: Ketika aku bersama Nabi SAW pada satu hari ke rumahnya, aku mendengar Baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku daripada Dajjal.” Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: ‘Apakah yang lebih engkau khuatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: ‘Para pemimpin yang menyesatkan orang lain. (Hadis Riwayat Ahmad)

Ulama mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Mereka juga adalah antara pempengaruh. Ramai yang mengambil manfaat dan mendapat hidayah daripada kegiatan dan usaha dakwah yang mereka lakukan baik menerusi laman sosial atau pun program kuliah secara bersemuka.

Umat Islam perlu berhati-hati menguruskan kehidupan agar tidak menyimpang daripada landasan yang ditetapkan. Agama tidak seharusnya dijadikan saluran meraih kekayaan atau keuntungan politik. Masyarakat perlu menolak eksploitasi sebegini.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (ali-Imran: 77) – UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×