DATA terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar inflasi negara masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan. Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat kepada 4.4 peratus pada Julai lalu berbanding Julai 2021. Peningkatan CPI ini didorong sebahagian besarnya oleh kenaikan harga makanan.
Di samping itu, peningkatan kadar inflasi juga lebih tinggi berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada Jun lalu. Bukan itu sahaja, firma penyelidikan Kenanga Research turut menjangkakan negara terus merekodkan kadar inflasi yang tinggi dalam beberapa bulan mendatang disebabkan penurunan berterusan nilai ringgit.
Justeru, kerajaan menetapkan harga siling bagi beberapa barangan kepenggunaan terpilih termasuk petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi meringankan beban rakyat. Sebagai contoh, peruntukan bagi subsidi minyak masak berpeket pada tahun ini ialah RM4 bilion. Untuk rekod, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah lapan kali ganda tinggi berbanding 2020 (RM500 juta) serta hampir dua kali ganda berbanding 2021 (RM2.2 bilion).
Selain itu, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jumlah besar bil subsidi dari 2018 hingga 2022 bagi petrol, diesel dan LPG adalah RM7.4 bilion (2018), RM6.1 bilion (2019), RM1.6 bilion (2020) dan RM13.2 bilion (2021).
Jumlah besar subsidi tahunan (termasuk pelbagai jenis bantuan kebajikan) bagi lima tahun lepas pula RM8.3 bilion (2018), RM7.3 bilion (2019), RM2.7 bilion (2020), RM16.5 bilion (2021) dan RM52 bilion (2022).
Dalam erti kata lain, dalam masa lima tahun, jumlah besar subsidi negara meningkat sebanyak enam kali ganda.
Soalan seterusnya, dari mana kita memperoleh dana untuk membiayai perbelanjaan subsidi negara? Jawapan ringkasnya, daripada kantung negara.
Meskipun begitu, tahukah anda bahawa sejak 1998, belanjawan negara kita sentiasa mengalami defisit? Dalam kata lain, sejak suku abad lalu, perbelanjaan negara sentiasa melebihi pendapatan negara.
Soalan berikutnya, bagaimana negara ‘menampung’ defisit ini? Salah satu daripadanya ialah melalui hutang. Kendatipun begitu, satu sisi yang jarang kita singkap terutama sekali seputar subsidi ialah kos melepas. Makna kata, disebabkan kita memilih satu peluang (membiayai subsidi), kita terpaksa melepaskan peluang-peluang lain.
HOSPITAL
Setakat 2022, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan subsidi negara sebanyak RM77.7 bilion. Sekiranya kita mengecualikan kesemua bentuk bantuan seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM25.7 bilion, peruntukan subsidi negara masih berbaki RM52 bilion.
Kendatipun begitu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa 50 peratus daripada subsidi kerajaan telah dimanfaatkan oleh kategori orang berada. Makna kata, negara kita mengalami ketirisan melalui mekanisme subsidi tidak bersasar sebanyak RM26 bilion.
Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita boleh memanfaatkan lebihan peruntukan subsidi sebanyak RM26 bilion ini? Sebagai misalan, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangkakan siap pada 2024 bakal menelan kos sebanyak RM472.5 juta. Sekiranya kita memanfaatkan untuk pembinaan sebuah hospital misalnya, kita mampu membina 55 hospital daerah baharu (RM26 bilion/RM472.5 juta). Atau bersamaan dengan empat buah di setiap negeri.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5.03 bilion melalui Bajet 2022. Hampir separuh daripadanya (RM2.17 bilion) untuk pengubahsuaian dan penaiktarafan institusi di bawah tanggungjawab KPM dan program pembangunan luar bandar Sabah dan Sarawak.
RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN
Kita gunakan contoh kos pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih, Selangor yang menelan belanja RM20.7 juta. Melalui mekanisme pemberian subsidi yang lebih tuntas, kita boleh membina 1,256 sekolah rendah baharu (RM26 bilion/RM20.7 juta). Makna kata, melalui ketirisan subsidi negara berjumlah RM26 bilion, kita boleh membina 89 bangunan sekolah rendah baharu di setiap negeri.
Bukan itu sahaja, sekiranya kita melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi keseluruhan murid sekolah rendah iaitu 2,741,837 orang (setakat 2020), jumlah besarnya masih belum mencecah RM10 bilion (RM8.23 bilion).
Untuk makluman, semakan kali terakhir kadar RMT ialah tujuh tahun lalu. Rentetan kenaikan harga barang yang mendadak, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya kadar RMT bagi murid dinaikkan kepada RM4 daripada RM2.50 di Semenanjung dan RM5 daripada RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bahkan, dengan mengambil kira cadangan KKM dan menaikkan kadar RMT tersebut kepada RM5 bagi setiap murid, ketirisan rentetan pemberian subsidi tidak bersasar sebanyak RM26 bilion tersebut masih mampu menanggung program RMT percuma bagi setiap murid sekolah rendah di negara ini bagi tempoh dua tahun! Iaitu pada kadar RM13.71 bilion setahun.
Selain itu, program RMT sebegini juga bakal mengatasi masalah kebantutan seperti yang digariskan dalam makalah ringkas terbitan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Menangani Krisis Pemakanan Malaysia Selepas COVID-19: Masa Untuk Perlindungan Sosial Berfokuskan Nutrisi pada November 2020. Malahan, menurut UNICEF, kadar kekurangan zat makanan di Malaysia dalam kalangan kanak-kanak berkemungkinan diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19 akibat penggantungan program pemberian makanan di sekolah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ringkasnya, terdapat keperluan begitu mendesak untuk menyasarkan subsidi secepat dan setuntas mungkin. Sebagai langkah jangka masa pendek misalnya, kita boleh memanfaatkan mekanisme pindahan tunai melalui pangkalan data sedia ada seperti BKM.
Selain itu, bantuan bersasar ini seeloknya diberikan secara bulanan dan bukannya secara sekali beri. Dalam jangka masa sederhana dan panjang pula, kita boleh memanfaatkan aplikasi sedia ada seperti MySejahtera dengan memancang fitur kupon makanan untuk membeli minyak masak bersubsidi.
Bak pepatah orang asal Amerika, kita tidak mewarisi bumi daripada nenek moyang kita, kita hanya meminjamnya daripada anak-anak kita. – UTUSAN
DR. Mohd. Zaidi Md. Zabri ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya (UM).











