Bilakah masa sesuai PRU15? - Utusan Malaysia

Bilakah masa sesuai PRU15?

BOLEH semak nama masing-masing supaya tidak ketinggalan apabila pilihan raya diadakan kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM situasi politik hari ini, pelbagai kemungkinan boleh berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa dijangka sama ada tahun ini atau tahun depan.

Keputusan mengadakan PRU15 sebenarnya perlu melihat dari pelbagai perspektif terutama kemampuan sesebuah parti untuk menang. Bukan sahaja keputusan disebabkan faktor politik, tetapi kadangkala dipengaruhi kelakuan manusia dalam persepsi mereka.

Pada masa sekarang, rakyat melihat gabungan kerajaan hari ini dengan keletihan mood yang disumbangkan oleh pelbagai politik pembingkaian (penggunaan media massa bagi mewujudkan bingkai atau persepsi terhadap parti politik tertentu).

Penganalisis politik perlu menggunakan beberapa kemahiran mereka untuk menjangka bila tarikh sesuai PRU15. Terdapat juga analisis yang menggunakan formula matematik kebarangkalian berlaku dalam tempoh tiga waktu iaitu tempoh pendek antara enam bulan ke bawah dan tempoh sederhana antara enam bulan hingga setahun.

Formula ini menggunakan pemboleh ubah melibatkan aktor-aktor politik dalam strategi mereka. Walaupun tidak menggunakan perisian canggih tetapi selalunya masih boleh dipercayai disebabkan setiap kelakuan manusia ada penyebab dan akibatnya.

Tambahan pula, faktor penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bukan kerajaan (NGI) atau aktivis sama ada secara langsung atau tidak yang dikaitkan dengan parti politik tertentu tidak boleh dikesampingkan. Pengaruh kumpulan itu adakalanya lebih kuat daripada parti politik.

NGO dan NGI tersebut bertungkus lumus untuk memenangkan sesuatu parti bukan berdasarkan keuntungan laba politik, tetapi disebabkan fikrah (daya berfikir) perjuangan. Fikrah perjuangan adalah sesuatu yang sentimental bagi sesetengah parti politik.

Adakalanya NGO dan NGI digunakan dalam peperangan strategi taktikal perjuangan politik. NGO dan NGI lebih tinggi motivasinya berbanding ahli-ahli yang menyertai parti politik. Ini selalunya dilupakan oleh penganalisis politik apabila meramalkan sesuatu yang bakal berlaku.

Jika diamati, dunia politik hari ini selalunya dikaitkan dengan tentera upahan siber bagi mematahkan serangan setiap isu parti lawan. Pada masa sama menyebarkan propaganda parti. Memang benar ada kesan, tetapi apa impaknya pada sentimen mood pengundi.

Secara kebiasaan sentimen mood pengundi hanya mempengaruhi antara 30 hingga 50 peratus pengundi untuk mengundi sesuatu parti. Pada masa kini, sentimen mood ke atas Barisan Nasional (BN) masih dalam lingkungan 50 peratus berbanding parti-parti lain.

Ini disebabkan sentimen mood ke atas gabungan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) masih lagi bercampur baur.

Situasi ini difahami bahawa terdapat dua analogi sedang berlaku iaitu kumpulan melawan dominasi BN dan kumpulan BN. Walaupun begitu, gabungan kerajaan antara PN dan BN hanya sekilas dan akan bubar apabila berlaku PRU15.

PRK

Tetapi sentimen mood pengundi ini tidak mampu menggerakkan pengundi untuk keluar undi andai kata psikologi pengundi masih dalam keadaan selesa. Situasi ini memerlukan penggerak dalam pengubahan psikologi pengundi iaitu peranan NGO, NGI dan penyokong ahli-ahli parti tersebut.

Walau apa pun yang berlaku, selalunya wujud satu sindrom untuk melemahkan parti lawan. Tetapi yang berlaku di negara ini masih lagi permulaan bagi satu aliran politik yang bakal menggantikan politik baharu.

Bagi blok parti oposisi yang dahulunya merupakan parti pemerintah, masih belum kuat pengukuhan dan penyatuannya. Di Sabah dan Sarawak, blok oposisi masih berpecah dan masing-masing membawa haluan sendiri.

Kepimpinan sedia ada dalam blok oposisi kurang berupaya untuk menangani persepsi rakyat, khususnya di Sabah. Ini memerlukan usaha yang lebih jitu dalam menguatkan dan menyatukan parti pembangkang di Sabah dan Sarawak. Hanya pemimpin Sabah dan Sarawak memahami hasrat dan persepsi rakyat dua negeri tersebut.

Adalah sukar untuk pemimpin Semenanjung mempengaruhi rakyat Sabah dan Sarawak disebabkan budaya politiknya jauh berbeza. Di Semenanjung, gabungan parti yang melawan BN belum lagi membuktikan kekuatan pengaruh sebenar.

Kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan sebaliknya hanya boleh digunakan untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan.

Tidak semestinya sokongan komuniti Melayu kepada gabungan yang melawan BN boleh digunakan sebagai sandaran untuk menggambarkan kerajaan Keluarga Malaysia gagal mencapai matlamat rakyat.

Ini disebabkan apabila had umur pengundian diturunkan kepada 18 tahun maka bilangan peratusan golongan yang berumur antara 18 hingga 25 tahun ialah 20 peratus, merupakan satu bilangan yang besar dan mampu membawa kemenangan atau kekalahan kepada sesebuah parti.

Jika PRU15 diadakan tahun depan, dijangkakan tambahan sebanyak tiga hingga lima peratus anak-anak muda yang berumur 18 tahun akan turun mengundi. Malahan tambahan pengundi ini juga dijangkakan lebih tinggi kerana hampir lima peratus rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di luar negara akan balik mengundi.

Kepulangan mereka disebabkan faktor-faktor tertentu berkaitan saingan antara PH dan BN yang mana akan berulang sejarah PRU14. Tetapi ini masih dalam persoalan adakah PH mampu mengekalkan momentum sedia ada untuk berulang semula dalam PRU15?

Di sini peranan pakar strategi parti politik perlu merangka pelbagai pelan alternatif. Tanpa pelan kukuh dan telah diuji lari, maka kemenangan parti politik dalam PRU15 hanyalah satu jangkaan.

Dari segi kelebihan hari ini adalah memihak kepada BN yang mempunyai banyak peluang dan ruang untuk menambat hati rakyat dalam mengubah persepsi politik rasional. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×