'Beratnya jenazah macam batu' - Utusan Malaysia

‘Beratnya jenazah macam batu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah ini sudah lama berlaku. Jika tidak silap saya pada awal tahun 90-an dahulu. Cerita yang ingin saya kongsikan ini adalah berkenaan seorang wanita di kampung saya yang dikenali sebagai Hajah Ramlah.
Usia Hajah Ramlah sekitar 70 tahun, namun khudratnya masih kuat. Boleh dikatakan saban hari dia ke kebun menguruskan tanaman sayurannya. Begitulah rutinnya sejak kematian suaminya, Haji Badar kira-kira 10 tahun lalu.
Anak-anaknya pula sudah berkeluarga dan menetap di ibu kota. Jika sesekali mereka pulang riuh rendahlah rumah Hajah Ramlah dengan gelagat dan hiruk pikuk cucu-cucunya. Pernah juga saya dengar anak-anaknya mengajak Hajah Ramlah tinggal bersama mereka tetapi macam-macam alasan diberikan, katanya lebih selesa tinggal di kampung dan menjaga rumah pusakanya.
Bagaimanapun ada sikap Hajah Ramlah yang tidak disenangi penduduk kampung. Dia amat jarang bergaul. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah dan di kebun sahaja. Jika ada kenduri-kendara pun dia jarang munculkan diri. Kalau ada pun hanya mereka yang ‘terpilih’ sahaja kerana sifatnya yang suka memilih kawan.
Ramai orang tahu mulut Hajah Ramlah ini ‘laser’. Kalau dia bercakap memang pedih anak telinga mendengarnya. Tambah pula bab komplen orang, memang tuan punya badan boleh sentap. Kalau orang yang dia tak berkenan pula memang habislah dia kutuk, ada sahaja salah dicarinya. Dalam senyum dan ketawa pun dia masih boleh sindir menyindir.
Namun tiada siapa menyangka, Hajah Rahmah yang sihat walafiat tiba-tiba jatuh sakit akibat serangan angin ahmar. Mengikut cerita yang saya dengar separuh badannya lumpuh dan mukanya juga herot. Hampir tiga bulan menderita, Hajah Rahmah menghembuskan nafas terakhir.
Sebagai anak muda yang menetap di kampung, saya dan rakan-rakan tidak terkecuali datang membantu uruskan mana yang patut. Tok Aman yang merupakan ketua kampung lantas membahagikan tugas kepada kami. Ada yang menggali kubur, menguruskan keranda, tempat mandi jenazah dan sebagainya.
“Kamu dah ukur betul-betul jenazah ini?” Tanya Tok Aman kepada abang Nazlan yang berada di sebelah saya.
“Sudah tok. Semua dah beres. Nanti saya maklumkan pada abang Ipin,” kata abang Nazlan sambil meminta diri untuk turun berjumpa abang Ipin yang pakar membuat keranda di kampung saya.
Saya jeling ke arah jenazah Hajah Ramlah yang bertutup kemas di ruang tamu. Dalam firasat saya tidak sulit rasanya untuk uruskan jenazah arwah, maklumlah tubuh arwah kurus dan kecil molek, ketinggiannya mungkin dalam lima kaki dan beratnya dalam anggaran 40 ke 50 kilogram sahaja.
Namun ketika anak-anak arwah membawa jenazah untuk dimandikan tiba-tiba timbul pula satu masalah.
“Eh, boleh bawa ke jenazah ini bang?” Tanya saya seraya bangun untuk turut membantu.
Saya lihat empat orang anak lelaki arwah seakan tidak mampu menampung jenazah tersebut. Dari riak wajah mereka saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Nampak mereka berpeluh-peluh cuba membawa jenazah ke tempat mandi yang terletak di bahagian tengah rumah.
“Insya-Allah, boleh,” kata salah seorang anak arwah dengan nafas yang tercungap.
“Beratnya mayat mak ni! Macam batu!” Rungut salah seorang anak lelakinya tanpa menyedari kata-katanya itu hampir didengari oleh tetamu yang berada di situ. Beberapa waris arwah di situ berpandangan tanpa sepatah kata. Saya hanya mendiamkan diri. Tidak molek pula jika saya bertanya lanjut.
Alhamdulillah, urusan mandi jenazah akhirnya selamat disempurnakan. Saya pula terus minta diri menuju ke bangsal berdekatan untuk melihat abang Ipin yang sibuk menyiapkan keranda.
“Okey, semua dah siap Wan. Kalau dah ready nanti beritahu saja. Nanti saya bawa naik keranda ke atas,” kata abang Ipin kepada saya.
Lebih kurang setengah jam kemudian saya dihampiri oleh anak sulung arwah. Katanya, urusan kafan jenazah telah selesai, jadi dia minta saya dan abang Ipin membantu uruskan jenazah ke tanah perkuburan.
Lantas saya dan beberapa tetamu terus menguruskan jenazah arwah. Pada mulanya semua urusan berjalan lancar, namun sebaik sahaja jenazah diusung menuju ke tanah perkuburan timbul pula perkara di luar jangkaan.
“Bang, boleh panggil lain-lain tolong usung sama tak? Berat sangat jenazah ini bang. Tak larat kami ini,” kata salah seorang anak arwah.Saya pantas menghampiri dan mengambil tempat di hadapannya. Dan sebaik pengusung jenazah berada di atas bahu, saya mengerutkan dahi. Masya-Allah, tidak tahu bagaimana ingin saya ungkapkan. Memang terasa luar biasa berat sehinggakan kami terpaksa bergilir bersilih ganti membantu mengusung keranda tersebut.
Beberapa anak arwah sudah nampak keletihan, malah ada juga merungut kecil. Saya pula hanya mendiamkan diri. Walaupun berasa letih dan sakit bahu namun saya terus gagahkan diri untuk bersama-sama mengusung jenazah hingga ke tanah perkuburan.
Tidak sampai 500 meter di hadapan, saya akhirnya mengalah. Terus saya minta salah seorang rakan yang berada di sebelah untuk mengambil alih posisi saya ketika itu. Sebaik sahaja menyerahkan pengusung, terus saya mencungap sambil menghela nafas panjang.
Tidak tahu bagaimana ingin saya ungkapkan dengan kata-kata. Rasanya seumur hidup tidak pernah lagi saya berhadapan dengan situasi seperti ini. Sungguh pelik. Bayangkanlah jenazah seorang wanita yang bertubuh kecil molek tetapi tidak mampu diusung oleh 10 orang pemuda. Cukup tidak masuk akal.
Sebelum ini saya kerap juga membantu mengusung jenazah ke perkuburan, namun tidak pernah berlaku kejadian pelik seumpama ini, bahkan walaupun jenazah yang kami bawa itu bertubuh besar tetapi perjalanannya cukup mudah dan tidak sesulit ini.
Dan sebaik selesai urusan pengebumian arwah, saya terus didatangi oleh salah seorang anak arwah. Terus dia gamit saya ke tepi. Mungkin dia ingin ajak saya berbual.
“Saya minta maaflah tentang apa yang berlaku. Tak sangka ada kesulitan pula sewaktu uruskan jenazah arwah emak sebentar tadi. Saya pun tidak tahu kenapa. Tapi mungkin juga balasan Allah SWT kepada segala sikap emak ketika hayatnya,” katanya perlahan.
Saya hanya tersenyum. Saya nasihatkan dia agar jangan membuka aib arwah, kerana setiap yang berlaku pasti ada sesuatu yang Allah SWT ingin tunjukkan. Saya tahu dia beranggapan apa yang terjadi ada kaitannya dengan sikap arwah yang sering mengata dan memburukkan orang lain.
“Kita doa yang baik-baik sahaja untuk arwah. Semoga Allah SWT mengampuni setiap dosanya serta menempatkannya bersama golongan orang beriman,” kata saya sambil mengiringinya keluar dari tanah perkuburan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya