Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku… - Utusan Malaysia

Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Zamri menuruni anak tangga satu persatu. Sesekali dia berhenti mengambil nafas. Letih juga rasanya, maklumlah rumah pangsa kos rendah disewanya itu tidak ada lif, jadi setiap hari terpaksalah dia menapak turun naik dari kediamannya yang terletak di tingkat lima.
Suasana di luar sudah gelap pekat. Zamri toleh jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir pukul 12 malam. Dia mengeluh perlahan. Ikutkan hati memang dia malas nak keluar beli makanan tetapi stok makanan di rumahnya sudah habis, jadi bila perut tiba-tiba ‘berkeroncong’ terpaksalah dia keluar juga.
Setelah memakai topi keledar Zamri terus memecut motosikalnya. Kedai makan yang ingin ditujunya berjarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Dahulu ada sebuah warung berdekatan kediamannya, tetapi sejak peniaganya berpindah warung itu terus kosong.
Sebaik sampai di warung, Zamri terus memesan makanan. Sementara menunggu pesanan siap dia memerhati sekeliling. Ramai juga pelanggan menjamu selera pada malam itu walaupun hari sudah larut malam.
“Eh, Zam kau buat apa tengah-tengah malam buta ini? Tapau makanan ke?” Sapa suara lelaki dari arah belakangnya.
Serta merta Zamri menoleh. Rupa-rupanya Rahmat rakan sekerjanya sedang berdiri tersengih-sengih sebelum menarik kerusi duduk di sebelahnya.
“Kau buat apa pula di sini? Tapau makanan juga?” Tanya Zamri. Rahmat tersengih kelat sambil menganggukkan kepala. Lantas mereka terus berbual rancak sementara menunggu makanan siap.
Hampir 10 minit berbual akhirnya Zamri meminta diri setelah pelayan di situ menghulurkan sebungkus makanan kepadanya.
“Okey beb. Aku gerak dulu. Jumpa esok di tempat kerja,” kata Zamri.
Setelah sampai di ruang parkir kediamannya, lantas Zamri melangkah menaiki anak tangga. Sedang dia melangkah tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil. Terus dia menoleh ke belakang. Rupa-rupanya jirannya Haji Salam. Dalam suram cahaya bulan nampak Haji Salam terbongkok-bongkok payah mengatur langkah meniti anak tangga.
“Laaa. Pak Haji Salam ke? Saya ingat siapalah tadi,” tegur Zamri sambil menunggu lelaki tua tersebut di kaki tangga.
Haji Salam sekadar tersengih. Nampak jelas raut wajahnya yang sudah berkedut seribu, maklumlah menurut kata jiran-jiran usia Haji Salam sudah pun mencecah 80 tahun, tetapi yang nyata kudrat lelaki tua itu masih kuat dan bertenaga. Kadang-kadang dalam sehari, dua tiga kali juga dia bertembung dengan Haji Salam yang berulang alik turun naik dari rumahnya yang terletak di tingkat empat.
“Kamu dari mana ini? Tanya Haji Salam kepa­danya.
“Saya keluar beli makanan tadi. Stok makanan di rumah semua dah habis,” kata Zamri sambil melangkah naik beriringan dengan Haji Salam.
Lelaki tua itu mengangguk faham. Sebaik sahaja sampai di tingkat empat dia terus meminta diri untuk pulang ke rumah.
“Aku balik dulu. Esok kau pergi kerja pukul berapa?” Tanya Haji Salam sebelum melangkah ke arah koridor menuju ke rumahnya.
“Esok saya kerja syif petang, jadi dalam pukul 4 petang barulah saya keluar rumah. Kenapa Pak Haji?” Tanya Zamri.
“Baguslah kalau macam itu. Jadinya, esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku.” Balasnya sedikit garau sebelum melangkah pergi.
Zamri garu kepalanya yang tak gatal. Pelik sungguh dia dengan kata-kata Haji Salam. Ingin juga dia bertanya lanjut tetapi belum sempat dia menyusun kata-kata, lelaki tua tersebut sudah beredar.
Selesai makan Zamri terus masuk ke bilik. Sebelum mengunci pintu, dia menoleh jam di dinding, sudah hampir 2 pagi. Rakan-rakannya yang bekerja syif malam kebiasaannya jam 7 pagi esoknya barulah mereka pulang ke rumah.
Entah kenapa malam itu dia sukar lelapkan mata. Puas dia bergolek ke kiri ke kanan. Sesekali telinganya menangkap bunyi tapak kaki yang berjalan berulang alik di koridor luar. Maklumlah kedudukan biliknya betul-betul berada di tepi koridor, jadi sesiapa yang lalu lalang atau bersembang di luar memang mudah didengar dengan jelas.
Tidak sedar jam berapa dia terlelap. Sedar-sedar sahaja cahaya matahari sudah terpancar terang melalui jendelanya. Dia mengeliat lemah. Nasib baiklah hari itu dia bekerja syif malam, jadi dapatlah dia bermalas-malasan.
Setelah mandi Zamri menyarung pakaian untuk pergi ke pekan. Dia rancang untuk membeli sedikit barang keperluan di rumah terutamanya biskut dan Maggi. Bukan apa, jika bila-bila nanti dia berasa malas hendak keluar rumah sekurang-kurangnya ada juga makanan yang boleh dikudapnya.
Sebelum keluar rumah sempat dia menjeling ke arah rak kasut di tepi pintu. Nampak beberapa pasang kasut rakannya di situ, mungkin rakannya sudah pulang pagi tadi agaknya. Tanpa berlengah dia terus keluar dan melangkah menuruni anak tangga.
Sedang dia mengatur langkah tiba-tiba terdengar namanya disapa dari belakang.
“Zam, kau nak ke mana tu?” Dilihatnya Osman sedang muncul dari koridor di tingkat empat. Zamri mematikan langkah sambil menunggu Osman menghampirinya.
“Aku nak ke pekan kejap nak beli barang-barang rumah,” jawab Zamri tersengih.
“Kau pula nak ke mana siap berkopiah dan berbaju Melayu bagai ini?” Tanya Zamri sambil memandang rakannya itu atas bawah.
“Aku tengah tunggu jenazah Haji Salam dari hospital. Eh, kau tak tahu ke Haji Salam meninggal dunia malam tadi?” Tanya Osman kembali. Zamri mengerutkan dahi. Terdiam dia seketika.
“Haji Salam meninggal dunia malam tadi di hospital. Petang semalam dia sesak nafas, lepas itu terus anaknya bawa ke hospital, tapi sebaik sampai di hospital doktor sahkan dia dah meninggal dunia,” kata Osman panjang lebar.
Terdiam Zamri. Entah kenapa fikirannya melayang seketika teringat apa yang berlaku malam tadi lebih-lebih lagi pertemuannya dengan Haji Salam di tempat dia berdiri ketika itu.
“Ramai dah orang flat dengan saudara mara dia tunggu di rumah. Jomlah sekali,” kata Osman bersungguh.
Tanpa banyak soal Zamri terus menuruti Osman menuju ke rumah Haji Salam. Fikirannya bercelaru. Apa yang berlaku malam tadi menjadi tanda tanya.
Jadi, siapa yang dia jumpa dan berbual dengannya di anak tangga malam tadi? Dan apa maksud kata-kata Haji Salam yang beria-ia menyuruh dia datang ke rumahnya hari ini? Adakah bertujuan meminta dia uruskan jenazahnya? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya