Dari mana datangnya mata air ini? - Utusan Malaysia

Dari mana datangnya mata air ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH ini berlaku kira-kira 25 tahun lalu ketika aku menetap di sebuah daerah di utara tanah air. Nama kampung dan segala berkaitannya biarlah aku simpan sebagai rahsia. Tidak molek pula kalau aku ceritakan dengan lengkap. Takut kalau-kalau mengaibkan nama dan waris si mati.
Waktu itu aku masih bekerja sebagai penjawat awam di sana selama tiga tahun. Memandangkan rapat dengan kariah di situ maka selalu jugalah aku libatkan diri dalam setiap program termasuklah kenduri kendara, perkahwinan dan urusan kematian.
Petang itu, sebaik pulang dari kerja aku dapat perkhabaran Mat Sopi, salah seorang penduduk di kawasan taman perumahan aku meninggal dunia. Aku terus bergegas ke rumahnya, namun sebaik sampai, aku diberitahu yang jenazah dalam perjalanan ke tanah perkuburan. Tanpa berlengah aku terus menuju ke sana.
Sebaik sampai aku lihat jenazah masih berada di kawasan wakaf. Tiba-tiba aku disapa oleh Riduan, pemuda yang tinggal berdekatan denganku di taman perumahan sama. Kami berbual seketika sementara menunggu jenazah dimasukkan ke liang lahad.
“Dengar khabar keluarga arwah mahu uruskan jenazah secepat mungkin, tapi ramai lagi saudara mara arwah yang belum sampai. Nampaknya tiada rezekilah mereka hendak lihat arwah buat kali terakhir,” kata Riduan perlahan.
Aku tidak menyahut kata-katanya sekadar menganggukkan kepala. Tiba-tiba terdengar beberapa pemuda berhampiran jenazah memanggil kami untuk membantu menguruskan jenazah ke liang lahad.
“Mari tolong sama-sama angkat jenazah ini,” teriak seorang pemuda di situ.
Aku dan Riduan bergegas menuju ke arahnya. Lantas aku ambil posisi di tengah dan merangkul jasad arwah bersama-sama yang lain sebelum mengangkatnya untuk diberikan kepada beberapa pemuda yang sudah siap sedia ingin menyambut di liang lahad.
Namun sebaik sahaja kedua tangan merangkul jasad arwah, aku kelu. Masya-Allah, beratnya hanya tuhan sahaja tahu. Aku dapat rasakan kami berlima yang membantu ketika itu mengalami keadaan sama. Masing-masing berpandangan sambil ada yang mengerutkan dahi.
Setelah bersusah payah akhirnya jasad arwah berjaya juga dibawa ke liang lahad. Namun sekali lagi masalah timbul apabila air sedikit demi sedikit memenuhi ruang di dalam lubang.
“Eh, mata air mana pula yang muncul ini? Tadi elok saja keringnya.” Ngomel seorang pemuda dari bawah.
Kami di atas memandang dengan wajah tergamam dan kelu. Memang betul tadi semasa kami angkat dan turunkan jenazah elok sahaja keadaannya, namun sekarang lain pula jadinya. Masing-masing garu kepala kehairanan.
“Mungkin masa korek tanah tadi ada terkena mata air di bawah,” kata Hussin kepada mereka.
Kami yang berada di situ masing-masing memandang liang lahad yang semakin dipenuhi air. Nampak jelas seakan beberapa saluran paip pecah yang mengeluarkan air dari lubang di sekitar tebing.
“Dah, bawa jenazah naik ke atas semula. Kita cedok air ini keluar dulu. Dah makin banyak ni,” sampuk abang Pie memberi cadangan.
Beberapa pemuda di situ bertungkus lumus menimba air di dalam lubang. Tetapi yang peliknya semakin ditimba, semakin banyak pula air keluar memenuhi ruang sempit tersebut.
“Tak boleh jadi ini… kalau berterusan, bila hendak selesainya. Semakin ditimba semakin banyak pula air di dalam ini,” kata abang Pie perlahan.
Aku terdiam. Pelik sungguh rasanya. Setahu aku sekarang bukannya musim hujan atau tengkujuh, malah beberapa hari lalu aku juga ada hadiri pengebumian seorang penduduk di sini, namun tiada pula kejadian seumpama ini berlaku.
“Pertama kali saya tengok kejadian macam ini…” Bisik Riduan perlahan. Aku sekadar menganggukkan tanpa membalas komennya.
Aku lihat mulut Imam Salleh berkumat-kamit membaca sesuatu. Aku tahu mungkin dia berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan pengebumian ketika itu.
“Airnya sudah kurang sikit ini. Boleh dah kalau hendak kebumikan arwah,” kata Hussin sedikit kuat.
Beberapa waris arwah juga bersetuju dan tanpa berlengah sekali lagi aku dan beberapa pemuda di situ mengangkat jenazah arwah untuk diberikan kepada beberapa pemuda yang sudah sedia menunggu di bawah.
Sekali lagi perkara sama berulang. Jenazah arwah cukup berat sehinggakan kami terpaksa meminta bantuan beberapa orang di situ.
Setelah bersusah payah akhirnya jenazah selamat disemadikan. Aku lihat separuh daripada jasad arwah ditenggelami air, namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana tidak nampak tanda-tanda air akan berkurangan walaupun sudah puas ditimba.
Beberapa waris dan adik beradik arwah kelihatan sedih dan sugul. Aku terfikir adakah ini ‘bahagian’ atau balasan dari Allah SWT untuk arwah. Apa yang dilakukan arwah selama hayatnya memang tidak aku ketahui, lagipun aku bukanlah kenal secara rapat dengannya.
Namun daripada cerita-cerita yang aku dengar kononnya arwah cukup bongkak dan sombong ketika hayatnya. Tidak sekadar itu, dia juga cukup kedekut dan berkira dengan orang yang meminta pertolongan waima adik beradiknya sekalipun sedangkan arwah orang yang banyak harta.
“Dahulu pernah dia herdik seorang pakcik di khalayak ramai kerana lambat bayar hutang dia. Kasihan pakcik tu malu,” kata Hussin kepadaku ketika kami sama-sama beriringan meninggalkan tanah perkuburan.
“Banyak lagilah kejadian yang arwah buat sehingga memalukan dan mengguriskan hati orang lain.
“Mungkin itu salah satu sebabnya kenapa banyak sangat dugaan yang dia terima tadi,” kata Hussin lagi sambil menghidupkan enjin motosikalnya.
Kejadian itu benar-benar menginsafkan aku dan sesiapa yang menyaksikannya. Aku ceritakan kisah ini bukanlah hendak mengaibkan keluarga arwah atau si mati, niatku sekadar untuk pengajaran dan renungan kita bersama.
Sesungguhnya janji Allah SWT tentang setiap balasan kebaikan dan keburukan itu adalah benar belaka. Sebagai hamba-Nya, kita haruslah berpegang kepada ajaran dan suruhan-Nya sambil meninggalkan apa yang ditegah-Nya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya