SEORANG kawan yang sudah bertahun-tahun bekerja dalam bidang peruncitan berkata kepada saya baru-baru ini, kalau seseorang pekerja boleh menyimpan duit sebanyak RM100 setiap bulan, masalah yang timbul disebabkan mendapat gaji rendah sekurang-kurangnya dapat diselesaikan sedikit.
Pengurusan wang yang baik dan betul adalah sangat penting, kata dia yang saya agak pendapatannya hampir RM10,000 sebulan atau mungkin lebih kerana lama berkhidmat dalam bidang itu di pasar raya besar.
Bukan dengan hanya merungut gaji kecil dan harga barang-barang naik ketika ini. Hujung tahun, sekurang-kurangnya sudah ada RM1,200 dalam simpanan. Kalau dapat simpan lebih, ia lebih bagus, katanya.
“Kalau gaji dia tak sampai RM3,000. Perlu bayar sewa atau ansuran rumah, kereta, petrol, makan dan kalau yang berkeluarga menanggung pembelanjaan sekolah anak-anak, boleh simpankah RM100 itu?
“Nanti pertengahan bulan bila duit gaji habis, RM100 yang sepatutnya disimpan dia korek balik keluar. Itupun tidak cukup,” kata saya.
Saya bukan anti menabung. Cuma ada kalanya agak tidak logik untuk menyarankan ‘budaya menabung’ pada yang bergaji rendah. Kalau belum berkahwin, duduk dengan ibu bapa rasanya boleh. Memang menyimpan wang antara cara terbaik, tetapi bukan semua boleh melakukannya.
Tidak dinafikan, pengurusan wang yang baik memang amat penting. Ini termasuk elakkan berhutang terutamanya menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman peribadi yang tidak perlu.
Tetapi hakikatnya banyak kekangan di sebalik mudahnya menasihati untuk menyimpan. Lainlah, kalau yang tak pernah hidup susah dan membanding-bandingkan zamannya dahulu dengan sekarang. Iyalah, dulu naik teksi keliling Kuala Lumpur RM6 pun sudah cukup.
Kita pun tahu, masalah gaji rendah bukan berkisar kepada yang berpendidikan rendah tetapi kini golongan profesional turut mengalaminya. Contoh, doktor, jurutera, jururawat dan banyak lagi profesional lain yang bukan sedikit pengalaman kerjanya tetapi bertahun-tahun.
Ia adalah masalah majikan yang membayar gaji rendah. Alasannya, walaupun mereka ada pendidikan tinggi dan pengalaman tetapi kemampuan syarikat tidak mengizinkan untuk membayar gaji tinggi. Tidak ada skim gaji tertentu yang membezakan pekerja berpengalaman dengan pekerja baharu. Pekerja baru masuk pula gaji dibayar tinggi. Ini memburukkan lagi keadaan.
Persoalan di sini, sampai bila alasan kewangan syarikat tidak mengizinkan untuk membayar ‘gaji patut’ mahu terus ‘dihalalkan’ walaupun hakikatnya tidak begitu? Kenapa sektor swasta tidak diwajibkan mewujudkan satu skim gaji rasional dalam pembayaran upah pekerja. Ikut pengalaman, kelayakan atau pendidikan.
Saya fikir pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang akan dilaksanakan pada Jun hingga Ogos nanti juga tidak dapat banyak menutup isu gaji atau upah kecil di negara ini untuk golongan pekerja swasta.
Ini kerana kerajaan sendiri tidak boleh mewajibkan pelaksanaan dasar gaji progresif ini kerana perlu mengambil kira kemampuan syarikat, majikan dan ekonomi negara.
Kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dasar itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia bersifat sukarela dan melibatkan insentif kerajaan manakala pelaksanaannya perlu mengambil kira kesediaan majikan kerana kira-kira 97 peratus daripada entiti perniagaan di negara ini terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sementara itu, golongan penjawat awam pula sedang menanti apa hasil Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan diumumkan 1 Mei ini setelah lebih 10 tahun tiada pelarasan gaji. Mereka mengharapkan penambahbaikan dalam gaji mereka. Dan pekerja swasta bergaji rendah, tetap mengharapkan belas ihsan majikan dalam Dasar Gaji Progresif dan menunggu akaun 3 KWSP, penuh di dalamnya, baru ‘bersemangat’ sikit untuk dikeluarkan.
Hakikatnya, Malaysia adalah antara negara yang membayar gaji paling rendah di rantau ini dan sejak bertahun-tahun kedudukan itu bagaikan diserahkan kepada takdir.
Soal mengisi perut dan kos sara hidup rakyat adalah penentu kepada berapa lamanya sesuatu kerajaan itu dapat bertahan di negara ini. Menghargai pekerja dengan memberikan mereka cuti umum setiap tarikh 1 Mei saja tidak mencukupi. Rakyat di negara ini juga terdiri daripada pekerja kerajaan dan swasta.
Ibaratnya – Bila demam cari Panadol sepapan, bukan ke klinik swasta kerana kos rawatan dan ubat mahal manakala ke klinik kerajaan pula terpaksa beratur panjang, apa pilihan orang bergaji rendah ada?
Fauziah Arof ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










