Bising harga barang mentah mahal tapi bazir makanan

Bising harga barang mentah mahal tapi bazir makanan

PERLU berjimat cermat dalam pengambilan makanan supaya kekal sihat. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita masih berada dalam bulan Syawal yang mana di sana sini diadakan rumah terbuka tidak kira di rumah atau di pejabat. Dan sepanjang bulan ini kita dijamukan dengan macam-macam makanan.

Shaykh Muhammad al-Ghazālī (w. 1416H-1996M) dalam karyanya Falsafah Puasa mencatatkan bahawa manusia tahu makanan boleh mendatangkan penyakit tetapi manusia tetap mencintai makanan (makan sembarangan dan tiada batasan). Namun puasa lah yang mendisiplinkan manusia dengan memberi kekuatan mengawal pemakanan serta nafsu mereka.

Kita harus faham keperluan berpuasa yang sebenarnya iaitu melatih kita mengawal nafsu. Namun berapa ramai yang berpuasa memahami perkara ini. Setiap kali Ramadan amalan pembaziran makanan tetap berlaku.

Berdasarkan rekod, Malaysia membazir 35.45 peratus atau 2,892 tan sisa makanan daripada 8,159 sisa pepejal yang diuruskan oleh SWCorp pada tahun lalu. Namun ada sedikit penurunan sebanyak 3.07 peratus berbanding 2022.

Hal ini mendapat teguran Mufti Pulau Pinang , Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang menegaskan al-Quran sudah menyebut pembaziran adalah amalan syaitan, selain umat Islam juga perlu menjauhi boros.

Makanan dan minuman memang keperluan asas untuk kehidupan manusia. Namun seperti ungkapan pujangga yang kita sering dengar: Makan untuk hidup, bukan Hidup untuk makan.

RUMAH TERBUKA

Tidak salah menyambut perayaan Aidilfitri , namun cukuplah ala kadar sahaja.

Sambutan yang melampau pastinya cerminan ibadah kita seperti mana catitan Al-Hafiz ibn al-Jawzi dalam bukunya Selamat Tinggal Ramadan : Wahai hamba-hamba Allah, Sesungguhnya bulan Ramadan sudah hampir berlalu pergi dan selesai.

Segenap aturannya (daripada puasa dan tarawih) sudah terlerai, selepas ia pernah tersusun indah. Seakan-akan kalian pula yang pergi meninggalkannya. Ia lah yang menjadi saksi kepada siapa yang taat dan siapa yang maksiat. Lalu manakah perginya kesedihan dan kegelisahan kerana perpisahan dengannya?

Bazar Ramadan dipantau oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ada kempen khusus. Namun ketika bulan Syawal, ramai akan menganjurkan rumah terbuka. Maka, bagaimana pula kita memastikan rumah terbuka ini tidak membazir makanan? Setakat ini tiada kempen untuk ini dan tiada pengawasan khusus.

Kita maklum bagaimana sambutan rumah terbuka sepanjang Syawal anjuran agensi kerajaan, swasta, tokoh masyarakat, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi tahukah anda amalan ini sebenarnya boleh memburukkan lagi isu pembaziran makanan?

Pada 2023, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar berkata, pembaziran makanan penyumbang terbesar sisa di tapak pelupusan sampah, tidak hanya berlaku pada Ramadan dan Syawal tetapi pada setiap musim perayaan.

“Data yang dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 menunjukkan Malaysia menghasilkan jumlah penjanaan sisa makanan per kapita tertinggi di Asia Tenggara iaitu 91 kilogram (kg.) setahun.

“Di Malaysia, sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada sisa pepejal lain yang dilupuskan di tapak pelupusan sampah,” katanya.

Bayangkan 44.5 peratus daripada sisa pepejal adalah makanan. Apakah kita sudah hilang rasa? Bising harga barang mentah mahal tetapi tetap membazir.

Ketika kita mengejar ibadah tetapi kita melakukan dosa. Amalan membazir adalah amalan syaitan. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Kapasiti makanan manusia normal adalah sekitar 250 gram, ini adalah kaedah mudah untuk kita mengelak daripada membazir dalam menyediakan juadah makanan. Tetamu juga harus faham keupayaan diri ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Jika makanan dihidangkan secara bufet. Ambillah dalam kuantiti kecil dan mengikut juadah jangan dicampurkan semuanya sehingga hilang nikmat rasa makanan.

Islam sentiasa me­ngingatkan kita agar siap sedia ketika kekurangan makanan. Maksudnya: “Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkai-tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan”. (Yusuf, 12:7).

Maka tidak perlu kita habiskan makanan yang ada atau menyediakan makanan lebih daripada keperluan. Sentiasa beringat kemungkinan stok makanan berkurangan atau tiada di pasaran.

Jadi, makan sekadarnya jangan sampai membazir. “Makan dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan,sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan (Al-Araf :31), Makan dalam saiz yang kecil boleh mengurangkan rasa muak.

Berkongsi makanan dengan jiran dapat mengurangkan pembaziran dan menjimatkan daripada kita memasak dalam isipadu yang banyak.

Sisa makanan yang dibuang boleh menghasilkan gas metana,hidrogen, karbon monoksida dan karbon dioksida. Jika tidak diurus dengan baik boleh merosakkan alam sekitar ,

Selain itu , amalkan berjimat ketika menggunakan air sama ada untuk membasuh pinggan mangkuk.

Tahukah anda Rasullulah melarang kita membazir ketika mengambil wuduk? Abdullah Ibn Amru Al Ash berkata maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?”

Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekali pun kamu berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ibn Majah – 425) Jadi, berjimatlah ketika menjadi hos rumah terbuka.

Tidak salah kita menganjur rumah terbuka kerana ingin menjamu tetamu. Namun harus diingat ketika pahala dikejar jangan sampai membajak dosa. Syawal adalah refleksi ibadah kita jangan kita cemari dengan pembaziran.

Mohd. Yusaimi Md. Yusof ialah Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia-GRASS Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×