Perbezaan kampus universiti di AS dan di Malaysia

Perbezaan kampus universiti di AS dan di Malaysia

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Amerika Syarikat (AS), seluruh negara kini menyaksikan kebangkitan pelajar membantah kekejaman Israel di Gaza, yang setakat ini hampir 50,000 orang rakyat Palestin terutama wanita dan kanak-kanak terbunuh.

Pelajar-pelajar pro-Palestin mendirikan khemah dalam kampus membantah perang di Gaza walaupun bakal berhadapan dengan penangkapan dan tindakan keras pihak berkuasa terutama di New York, Texas dan California Selatan.

Tindakan protes besar-besaran para pelajar di seluruh AS itu mengimbau kembali kepada peristiwa pada tahun 1968 yang ketika itu pelajar-pelajar bangkit menentang perang Vietnam.

Pada tahun itu, protes juga bermula di Universiti Columbia meletup di tengah-tengah gerakan seluruh negara menentang Perang Vietnam, yang melibatkan pertempuran ganas ketika polis bergerak ke arah penunjuk perasaan di Konvensyen Nasional Demokratik di Chicago pada musim panas tahun tersebut.

Kini perkara sama seolah-olah berulang yang mana kebangkitan pelajar menentang pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza juga bermula Universiti Columbia.

Walaupun terdapat perbe­zaan antara protes dahulu dan sekarang, dan terlalu awal untuk mengatakan apa yang ber­laku sekarang sama seperti peris­tiwa tahun 1968, tetapi peningkatan aktiviti protes itu sudah merebak ke seluruh negara.

Persamaannya adalah mere­ka menentang kezaliman perang oleh Israel yang turut membunuh mangsa yang tidak bersalah.

Ada juga yang mengaitkan protes dengan strategi parti Demokrat untuk menjatuhkan Joe Biden pada pilihan raya presiden November ini. Ia dikaitkan dengan kekecewaan pengundi muda dan progresif yang merasakan sokongan pentadbiran Biden terhadap Israel dalam konflik yang telah membunuh berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin tidak wajar.

Sementara itu sebahagian pelajar lain seperti di U.C.L. A, mereka membantah pem­babitan universiti daripada terlibat dengan syarikat-syari­kat yang mendapat keuntungan daripada konflik di Gaza.

Aktivis pelajar mengatakan syarikat yang menja­lan­kan perniagaan yang ada kaitan dengan Israel turut bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai atau penghapusan rakyat Palestin di Gaza.

Tindakan para pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi AS ini termasuk daripada universiti dalam kategori Ivy League memang tidak diduga oleh pihak berkuasa. Ini hasil kesedaran generasi muda negara itu bahawa apa yang dilakukan oleh Israel itu tidak betul dan tindakan kerajaan AS memberi ‘lampu hijau’ kepada Israel adalah salah.

Itu yang berlaku di AS. Dalam kampus universiti di Malaysia juga ada senario yang sama. Ada pelajar-pelajar (tidak ramai) melakukan protes yang ada kaitan dengan Gaza. Jika di AS pelajar membantah penglibatan pihak universiti dengan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Israel, di Malaysia pelajar protes kerana pentadbir universiti menjemput pensyarah yang pro-Israel.

Senario berbeza dalam kampus di dua negara di mana pelajar-pelajar di AS dilihat lebih sensitif akan isu yang membabitkan penyembelihan rakyat Palestin di Gaza berbanding pentadbir di universiti terkemuka negara kita yang tidak peka hingga membenarkan profesor pro-Israel menghentam pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia.

Kenyataan Profesor Bruce Gilley pada satu program di Universiti Malaya nyata bertentangan dengan prinsip dan pendirian kerajaan berhubung perang di Gaza.

Sudah tentu membenarkan orang luar menggunakan pentas kita untuk menghentam dan mengecam pendirian kerajaan adalah sesuatu yang tidak kena.

Seperti kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, ini bukan untuk menyekat kebebasan akademik di Malaysia, tetapi ia adalah mengenai kenyataan yang dibuat di luar konteks akademik.

Tindakan Gilley memperkecilkan hubungan Malaysia dan AS termasuk mendakwa negara kita mahukan holocaust kedua terhadap orang Yahudi adalah bersifat peribadi dan di luar batasan akademik.

Realitinya Malaysia mahu menamatkan holocaust besar-besaran yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin di Gaza sekarang. Jika Gilley tidak rela holocaust berulang kepada umat Yahudi, maka perkara yang sama juga tidak boleh dibenarkan berlaku ke atas rakyat palestin.

Dan sebagai universiti terulung di negara ini, UM perlu melihat dan mengkaji latar belakang setiap individu dari luar negara yang mahu dijemput tertutama yang bergelar profesor supaya tidak tercetus kontroversi apatah lagi kenyataan yang tidak menghormati sentimen masyarakat kita.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN