Kerja empat hari bukan mustahil

Kerja empat hari bukan mustahil

KILANG-KILANG besar di negara ini sudah lama melaksanakan sistem kerja empat hari seminggu secara kerja giliran (syif). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELARAS pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang akan berkuat kuasa 1 September ini, timbul saranan agar kajian juga dibuat untuk meneliti kebolehlaksanaan sistem kerja empat hari seminggu merentasi semua sektor ekonomi termasuk perkhidmatan awam. Perkara ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Kementerian Sumber Manusia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berbincang mengenainya.

Sistem kerja empat hari bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Kilang-kilang besar contohnya, sudah lama melaksanakannya menerusi sistem kerja giliran (syif). Dalam aturan kerja ini, pekerja bekerja selama 12 jam sehari selama empat hari dan berehat selama tiga hari. Namun dari segi waktu operasi, kebanyakan kilang-kilang ini beroperasi sepanjang tahun menerusi sistem kerja syif yang tidak menjejaskan pengeluaran mereka.

Seksyen 60A Akta Kerja 1955 memperuntukkan majikan tidak boleh memaksa pekerja untuk bekerja lebih 12 jam sehari termasuk kerja lebih masa, atau melebihi 10 jam secara berterusan, serta tidak melebihi 48 jam seminggu (dikurangkan kepada 45 jam berkuat kuasa 1 September ini).

Bagi perkhidmatan awam, Perintah Am Bab G 1974 memperuntukkan waktu bekerja penuh adalah dari pukul 8 pagi hingga 4 petang (tidak termasuk satu jam 15 minit rehat) dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari, manakala sebarang perubahan waktu bekerja perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Peruntukan undang-undang sedia ada hanya menetapkan tempoh masa maksimum waktu bekerja dalam sehari dan seminggu. Justeru, sistem bekerja empat hari bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan sebaliknya bergantung kepada kesediaan majikan melakukan kajian kebolehlaksanaan dan membuat pengubahsuaian ke atas sistem kerja sedia ada.

Pelaksanaan sistem kerja empat hari rata-rata masih dalam skala kecil dan berada pada peringkat kajian rintis di kebanyakan negara. Iceland antara negara yang mendahului dengan hampir 90 peratus populasi pekerjanya menikmati kemudahan hari bekerja lebih singkat. Negara-negara lain seperti Belgium, United Kingdom, Scotland, Wales, Ireland, Sweden, German, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sepanyol, New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada agak terbuka dengan dapatan kajian rintis dilakukan dalam kalangan majikan terpilih yang dijangka membawa kepada penggubalan undang-undang berkaitan pada masa hadapan.

Media baru-baru ini melaporkan, tinjauan firma Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.

Kebanyakan responden percaya bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup pekerja (86%), kesejahteraan mental (82%) dan produktiviti (83%) selain meningkatkan kesetiaan kepada majikan.

Dari satu lagi sudut, pandangan majikan berkenaan pelaksanaan kerja empat hari perlu diambil perhatian sebelum sebarang dasar diperkenalkan. Rata-rata majikan di negara ini berpandangan, situasi ekonomi semasa tidak sesuai untuk pelaksanaan idea ini. Kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini mendapati 60 peratus daripada 170 syarikat yang tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat yang mempunyai kerja syif, masing-masing tidak bercadang melaksanakan minggu bekerja lebih singkat.

KELETIHAN

Kajian tersebut juga melaporkan, 55 peratus daripada 111 syarikat yang tidak mempunyai kerja syif dan 38.3 peratus daripada 162 syarikat dengan kerja syif juga berpandangan tidak dapat melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu.

Kaji selidik MEF juga mendapati 65 peratus syarikat berpandangan, khidmat pelanggan mungkin terjejas sekiranya waktu bekerja empat hari seminggu dilaksanakan.

Jumlah cuti umum di negara ini dikatakan antara terbanyak di dunia mengatasi purata global iaitu lebihan sebanyak 11 hari dan sekiranya kerja empat hari turut dilaksanakan, wujud kebimbangan operasi organisasi akan terjejas. Walaupun produktiviti di tempat kerja tidak ditentukan oleh tempoh masa bekerja yang diperuntukkan, rata-rata majikan berpandangan dengan mengambil kira tahap produktiviti semasa yang agak rendah di negara ini, pengurangan hari bekerja dijangka menjejaskan lagi kecekapan dan produktiviti, seterusnya memberi impak kepada pulangan syarikat.

Terdapat juga pandangan bahawa keperluan bekerja untuk tempoh masa yang panjang dalam sehari (12 jam) selepas jumlah hari bekerja dalam seminggu dikurangkan turut akan menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja pekerja kerana faktor burnout, iaitu keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal disebabkan oleh tekanan berlebihan yang berpanjangan.

Majikan juga berpandangan, tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan sistem kerja empat hari atas sebab menjaga kesejahteraan pekerja. Ini kerana dasar AKF yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat memberi peluang kepada pekerja untuk memohon kemudahan seperti perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

Namun, di sebalik pelbagai pandangan tentang cabaran melaksanakan sistem kerja empat hari, masih ada sinar harapan untuk merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana dalam kaji selidik MEF, 20.4 peratus syarikat yang tidak mempunyai syif dan 11.7 peratus syarikat yang mempunyai syif menyatakan kemungkinan akan melaksanakannya.

Walaupun jumlah syarikat yang terlibat adalah kecil, kesediaan mereka untuk melaksanakan idea ini harus dilihat sebagai perkembangan positif.

Sektor awam dalam pada itu dilihat lebih terbuka dengan cadangan pelaksanaan kerja empat hari. Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji cadangan bekerja empat hari seminggu. Kajian itu antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan dan jumlah waktu bekerja dalam sehari. Turut akan dikaji adalah aspek pulangan pelaburan.

Ruang dan masa secukupnya perlu diberikan kepada majikan untuk mengkaji kesesuaian pelaksanaan sistem kerja empat hari. Ini termasuk kebebasan menentukan jenis perniagaan, peringkat dan jenis pekerjaan yang sesuai melaksanakannya tanpa menjejaskan operasi.

Satu garis panduan tidak bersifat ‘mengikat’ majikan untuk melaksanakannya, sebaliknya memberi ‘pilihan’ kepada mereka menentukan kesesuaian mengambil kira model perniagaan syarikat masing-masing adalah wajar dibangunkan untuk rujukan pada masa hadapan. Ini kerana lambat laun, desakan untuk menyediakan kemudahan kerja empat hari mungkin akan berlaku terutama apabila berdepan persaingan mendapatkan bakat dan mengekalkan mereka di organisasi. Keterbukaan majikan dalam hal ini adalah penentu kepada kebolehlaksanaan idea sistem kerja empat hari pada masa hadapan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah Pengurusan & Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN