Cacar monyet boleh diisytihar pandemik?

Cacar monyet boleh diisytihar pandemik?

SEKIRANYA gejala dalam kalangan pesakit cacar monyet adalah serius, rawatan menggunakan ubat antivirus Cidofovir dilaporkan berkesan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA dilanda panik apabila penyakit cacar monyet diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Dunia pada 23 Julai lalu. Pengumuman ini dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan situasi semasa yang telah menjangkiti lebih 16,000 orang dari 75 negara. Lima kematian dilaporkan setakat ini.

Adakah ia sejenis penyakit baharu dijumpai seperti Covid-19? Apakah kaitan penyakit ini dengan monyet? Cacar monyet ditemui pada 1958 apabila berlaku wabak penyakit menyerupai cacar dalam kalangan monyet yang dipelihara di makmal penyelidikan. Penyakit ini disebabkan oleh virus berasal dari keluarga sama dengan virus variola yang menyebabkan cacar dalam kalangan manusia. Penyakit ini tidak mempunyai kaitan dengan cacar air yang disebabkan oleh virus varicella.

Kes pertama cacar monyet dalam kalangan manusia dilaporkan pada 1970 di Republik Kongo. Sebelum 2022, kes-kes hanya ditemui di negara-negara Afrika. Namun, wabak kali ini iaitu pada 2022, jangkitan dilaporkan berlaku di negara-negara lain termasuk Eropah dan Amerika. Kepesatan perjalanan udara dan pembukaan semula sempadan negara menyaksikan penyebaran penyakit yang lebih luas dan cepat merentas benua.

Penting untuk kita tahu bagaimana penyakit ini boleh merebak. Antaranya sentuhan pada ruam atau cecair tubuh secara langsung ataupun tersentuh dengan tidak sengaja tempat-tempat yang telah tercemar oleh cecair tubuh. Cecair dari salur pernafasan juga boleh tersebar apabila melakukan aktiviti harian atau hubungan intim termasuk berpelukan, bercium dan mengadakan hubungan seksual. Ibu mengandung juga boleh menyebarkan jangkitan virus kepada anak dikandung.

Seperti penyakit cacar lain, penyebaran bermula apabila gejala penyakit timbul dan berakhir setelah semua ruam sembuh. Secara teori, mereka yang tidak bergejala tidak menyebarkan virus kepada orang lain. Gejala cacar monyet ini hampir sama dengan penyakit cacar, namun mempunyai tahap keseriusan yang kurang. Jarang sekali penyakit ini menyebabkan kematian.

Antara gejala yang dilaporkan termasuk demam, sakit kepala, sakit badan, bengkak kelenjar, keletihan dan ruam berbiji pada muka, tangan, kaki, dada serta kemaluan. Sesetengah pesakit hanya mengalami ruam. Ada juga mengalami ruam pada peringkat awal jangkitan, diikuti gejala-gejala lain seperti demam.

Kajian dalam kalangan 528 pesakit dari 16 negara bermula April hingga Jun lalu menunjukkan 95 peratus kes merebak melalui aktiviti seks. Hampir semua mereka (98%) adalah dalam kalangan pengamal homoseksual dan lelaki biseksual, manakala 41 peratus dalam kalangan positif HIV. Kira-kira tiga per empat daripada pesakit mempunyai ruam atau lesi di bahagian kemaluan. Kebanyakan pesakit mengalami gejala awal seperti demam, bengkak kelenjar, keletihan dan sakit badan sebelum ruam muncul. Kira-kira 13 peratus dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesakitan serius di bahagian kemaluan dan ada juga mengalami jangkitan tisu disebabkan bakteria sekunder.

BCG

Kebanyakan jangkitan pulih secara semula jadi tanpa memerlukan rawatan. Sekiranya gejala dalam kalangan pesakit adalah serius, rawatan menggunakan ubat antivirus Cidofovir dilaporkan berkesan.

Pencegahan penyakit cacar monyet adalah dengan cara elak menyentuh, berpeluk, bercium, mengadakan hubungan seks dan berkongsi peralatan makanan serta pakaian dengan seseorang yang mempunyai ruam berbiji seperti cacar monyet. Kerap cuci tangan dengan air serta sabun atau menggunakan pensanitasi tangan.

Adakah cacar monyet boleh menjadi pandemik? Jawapannya, walaupun kebarangkaliannya ada, namun ia agak mustahil untuk berlaku. Ini adalah berdasarkan beberapa hujah.

Pertama, cara penyebaran cacar monyet tidaklah semudah Covid-19 yang melalui udara. Penyebaran memerlukan seseorang perlu berada dekat dan berinteraksi atau berhubungan secara rapat dengan pesakit. Virus lebih mudah merebak dalam keadaan dipanggil jaringan tepu di mana terjadi kontak yang sangat kerap dan rapat.

Kedua, kebanyakan pesakit menunjukkan gejala, justeru mudah untuk mengenal pasti serta mengasingkan mereka bagi memutuskan rantaian penyakit. Pengasingan hendaklah dilakukan sehingga ruam pada tubuh sembuh.

Ketiga, vaksin juga membantu mencegah jangkitan atau mengurangkan jangkitan serius. Individu berumur lebih 40 tahun telah mendapat vaksin cacar semasa bayi (diberhentikan pada 1980). Parut kesan pemberian vaksin boleh dilihat di bahu sebelah kanan. Kebiasaannya pada bahu sebelah kiri adalah parut kesan vaksin BCG).

Kebanyakan individu yang telah menerima vaksin cacar semasa bayi mempunyai imuniti terhadap cacar monyet. Tambahan pula, vaksin cacar monyet dihasilkan dan diluluskan penggunaannya pada 2019. Namun begitu, vaksin ini sukar didapati kerana jumlahnya yang terhad di pasaran.

Berdasarkan kebarangkalian untuk merebak adalah lebih sukar, kesan yang teruk termasuk menyebabkan kematian adalah rendah dan imuniti mereka yang berumur 40 tahun ke atas diyakini pada ketika ini tidak akan menjadi satu fenomena pandemik seperti Covid-19 dan menyebabkan kita terpaksa menghentikan banyak aktiviti ekonomi dan sosial. Namun, perkembangan semasa cacar monyet ini patut dipantau dan diberikan perhatian supaya langkah-langkah pencegahan dapat dilakukan dengan berkesan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed ialah Pakar Mikrobiologi Klinikal dan Profesor Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani ialah Pakar Kesihatan Awam. Kedua-duanya dari Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×