Wujudkan akta ucapan kebencian

Wujudkan akta ucapan kebencian

PANGGILAN ‘Indon’ kepada warga Indonesia walaupun merupakan sebutan singkat, rata-ratanya tidak disenangi warga republik itu, lebih-lebih lagi yang bekerja di Malaysia. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan lagi bahawa kejadian mengapi-apikan sentimen kaum dan agama bukan sahaja semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini, ia bertambah begitu buruk sehingga sesuatu harus dilakukan segera. Ini penting agar keharmonian sosial dan perpaduan negara terbina selama ini yang diakui tidak begitu kukuh, tidak sesekali terancam sehingga boleh runtuh berkecai.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita menggubal satu perundangan khusus untuk menangani gejala sebegini terhadap mana-mana kaum dan agama di negara ini. Gejala yang boleh membangkitkan kemarahan ini diberi pelbagai nama.

Antaranya bahasa rasis selain ucapan kebencian. Ia boleh wujud baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan bersifat verbal, yakni diucap atau ditulis dalam bentuk kata, frasa, ayat dan wacana. Untuk yang bukan verbal pula, ia boleh terdiri daripada aksi, misalnya pergerakan anggota badan untuk melambangkan kelucahan.

Secara umumnya, ia yang mengandungi kenyataan sensitif ialah percakapan atau penulisan mahupun aksi yang boleh menyinggung, mengancam dan menyerang seseorang individu atau kelompok. Kenyataan ini boleh dibuat atas faktor kaum, budaya, agama, jantina, kerakyatan dan lain-lain termasuklah fahaman politik yang boleh pula kemudiannya menimbulkan kebencian, kemarahan dan keganasan.

Selanjutnya ia boleh wujud sama ada dalam komunikasi tertutup, iaitu sulit lagi peribadi antara dua orang sahaja ataupun awam melibatkan khalayak semasa mendengar sesuatu disampaikan itu. Komunikasi tertutup yang walaupun hanya berbentuk monolog, yakni bercakap seorang diri yang sememang peribadi selain rahsia sifatnya, ikut diambil kira dalam skop ucapan atau bahasa sedemikian. Ini kerana ia boleh sampai ke pengetahuan pihak lain setelah berlakunya kebocoran yang pula ditularkan.

Sehubungan ini, kandungannya yang sensitif boleh mengundang kejadian tidak diingini. Perkara sebegini mikro, yakni monolog individu yang didapati mengata seorang individu lain sahaja tidak terlepas daripada skop perundangan ini. Ini kerana individu yang diperkata itu adalah ahli kepada sesuatu kelompok sama ada kaum atau agama tertentu.

Dengan ini, ahli-ahli lain boleh bangkit untuk bertindak balas sebab etnisiti dan agama mereka ikut tersentuh. Ini kerana kehormatan individu itu adalah sama penting dengan maruah seluruh kaumnya atau ummah agama yang dianutinya.

Secara umumnya, kenyataan sensitif ini boleh mengambil pelbagai bentuk.

Antaranya ia boleh berdasarkan faktor kaum, misalnya ungkapan ‘Cina babi’ sebagai makian pada kain rentang. Ia juga boleh berdasarkan kerakyatan, misalnya panggilan ‘Indon’ kepada warga Indonesia. Ia walaupun merupakan sebutan singkat, rata-ratanya tidak disenangi warga republik itu, lebih-lebih lagi yang bekerja di Malaysia.

JAKUN

Sering juga ia berdasarkan golongan minoriti, misalnya nama suku Orang Asli, Jakun yang digunakan sebagai kiasan kepada makna tidak moden atau kolot.

Selain kata dan ungkapan, ia juga didapati wujud dalam bentuk wacana, yakni sebagai sebahagian atau keseluruhan percakapan atau penulisan. Sebagai contoh, persoalan kebersihan atau lebih tepat lagi kesucian kaum bukan Islam tertentu dalam hal pakaian dalam mereka kerana tiada kewajipan mencebok pada mereka untuk ikut menggunakan perkhidmatan mesin basuh awam di kedai dobi yang juga dikunjungi umat Islam.

Natijahnya di sini ialah kenyataan sensitif ini, baik yang verbal mahupun bukan verbal dan sama ada yang diucap atau ditulis mahupun diperlihat dalam keadaan persendirian sahaja ataupun secara awam mempunyai potensi untuk menimbulkan kebencian, kemarahan dan keganasan kepada pihak yang mendengar dan membacanya atau melihat aksinya. Ini kerana apa-apa yang diperkata, ditulis dan ditunjukkan itu rata-ratanya bersifat mempersenda, menghina atau menyelar.

Dengan kata lain, bentuk bahasa begini memang mempunyai potensi konflik. Melalui sifat buruknya yang sedemikian, tidak dapat dinafikan bahawa ucapan kebencian ini adalah sangat berbahaya. Ia kerana bukan sahaja amat tidak baik, yakni sama sekali tiada kesantunan, ia sebenarnya adalah katalis konflik.

Sesungguhnya kalau kita semua betul-betul beradab, yakni bersifat unggul dan baik hati seperti dianjurkan pada prinsip kelima Rukun Negara, gejala kebahasaan ini tidak perlu pun penggubalan perundangan khusus. Sebaliknya ia boleh ditangani sahaja melalui kesantunan berbahasa, antaranya menerusi pendekatan yang mementingkan air muka, iaitu menjaga kehormatan dan maruah pihak lain.

Namun, kita semua adalah manusia biasa yang lemah dan perlu selalu diperingat. Maka satu bentuk perundangan khas harus diadakan yang ketat sifatnya dengan tiada langsung hak untuk diikat jamin. Ia bukan sahaja bertujuan melindungi individu mahupun kelompok tertentu yang disasarkan oleh ucapan kebencian ini, jauh lebih utama lagi ialah ia penting untuk menjaga ketenteraman awam yang boleh menjadi huru-hara ekoran penggunaan ucapan kebencian ini.

Sehubungan ini, banyak negara telah pun menggubal perundangan berkenaan dengan penggunaan bahasa jelik ini biarpun sudah terdapat pelbagai peruntukan pada sebilangan perundangan lain yang boleh diguna pakai. Ia masih digubalkan bukan sahaja untuk tujuan ketenteraman awam, moraliti awam dan kesantunan awam semata-mata tetapi juga atas tuntutan kedaulatan, perpaduan serta keselamatan negara. Oleh itu, Malaysia ikut memerlukannya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN