MUTAKHIR ini, para isteri menggalas tanggungjawab berganda berbanding peranan yang diperuntukkan oleh agama apabila mereka perlu menguruskan rumah tangga dan menyantuni ahli keluarga, namun dalam masa sama menanggung beban selaku pencari nafkah apabila para suami mengabaikan amanah untuk memberikan nafkah.
Malah menyedihkan lagi apabila terdapat sebilangan isteri yang ditinggalkan, atau dikenali istilah ‘digantung tidak bertali’ tanpa dibekalkan nafkah atau harta bagi meneruskan kehidupan seharian mereka dan anak-anak.
Nasib sama turut menimpa ibu-ibu tunggal apabila bekas suami masing-masing culas dalam menjalankan tanggungjawab utama untuk menyalurkan nafkah kepada anak-anak.
Semenjak 2015 hingga 2019, terdapat 306,454 kes permohonan pembubaran perkahwinan difailkan di mahkamah syariah seluruh negara. Jumlah tersebut meningkat saban tahun dengan statistik 100,000 kes bagi setiap lima tahun semenjak 20 tahun kebelakangan ini. Lebih mengejutkan, 90 peratus daripada kes tersebut difailkan oleh plaintif yang merupakan pihak isteri.
Oleh sebab tingginya kes pembubaran perkahwinan sehinggakan negara ini dijadikan model bagi peningkatan bilangan kes perceraian yang konsisten di peringkat dunia. (Andrew J. Cherlin, 2017)
Pelbagai faktor menyumbang kepada pembubaran perkahwinan. Beberapa pengkaji terdahulu pernah melaporkan bahawa ketidaksefahaman merupakan punca utama perceraian. Begitu juga poligami, ditinggalkan oleh pasangan mahupun penderaan.
Bagaimanapun, kajian saya terhadap 669 kes permohonan talak dan taklik sepanjang 2015 hingga 2019 di Selangor didapati berlaku perubahan terhadap faktor pembubaran perkahwinan.
Menerusi penelitian, terdapat alasan ketidaksefahaman yang menjadi asas kepada 265 kes, namun oleh kerana istilah tersebut terlalu random (rawak), luas dan sukar difahami, maka rekod catatan hakim bicara telah dijejaki secara satu persatu bagi mendapatkan maksud sebenar di sebalik istilah ‘ketidaksefahaman’ berkenaan.
Natijahnya, 10 faktor utama dikenal pasti sebagai punca menyumbang kepada permohonan pembubaran perkahwinan dengan faktor terbesarnya iaitu sebanyak 27 peratus oleh ekonomi/kewangan.
Faktor kedua, plaintif ditinggalkan oleh pasangan (22%). Faktor ketiga, interpersonal (15%). Faktor keempat, penderaan (13%) manakala faktor kelima, permasalahan seksual (10%).
Faktor ekonomi/kewangan bukan hanya menjadi punca perceraian mutakhir ini, malah dapatan sama diperoleh semenjak 70 tahun lalu. Sebagai contoh, berlaku penyusutan kes perceraian ketara di Terengganu pada 1951 berbanding sepanjang 1950 hingga 1976.
Fenomena luar biasa yang menyaksikan penurunan kadar perceraian sebanyak 19 peratus pada 1951 ini sebenarnya dicetuskan oleh kenaikan harga getah pada tahun tersebut, sekali gus memberikan manfaat sangat besar kepada penduduk tempatan. (Roslelawati Abdullah dan Nordin Hussin, 2014)

B40
Menurut kajian saya, 84 peratus dalam kalangan suami dan 80 peratus isteri yang memfailkan permohonan perceraian terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40). Berdasarkan kajian juga, saya mengkategorikan faktor ekonomi/kewangan kepada beberapa subfaktor.
Hasilnya, didapati kegagalan suami memberikan nafkah zahir merupakan subfaktor terbesar, diikuti gaya hidup berhutang, kewangan belum kukuh dan perbelanjaan melebihi kemampuan.
Permasalahan ekonomi/kewangan yang menjadi titik tolak kepada kerapuhan institusi kekeluargaan boleh dilihat menerusi alasan permohonan yang dinyatakan oleh beberapa orang isteri semasa memfailkan permohonan di mahkamah syariah seperti berikut:
“Kerana ketiadaan nafkah daripada defendan (suami), saya terpaksa menggadaikan harta dan emas untuk besarkan anak-anak. Saya gadai rantai, gelang, cincin dan subang. Saya tidak mampu tebus balik. Saya guna duit gadai untuk sekolahkan dan perbelanjaan anak-anak.
“Kemuncaknya saya terpaksa jual rumah di Sungai Buloh untuk meneruskan hidup. Rumah tersebut atas nama saya. Harganya RM250,000. Saya terpaksa jual sebab saya mahu lunaskan hutang termasuk hutang defendan (suami) dan stabilkan kewangan saya.”
Cuplikan alasan yang dinukilkan, sekelumit daripada ratusan ribu permohonan pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah. Tiada siapa yang tahu permasalahan para isteri kecuali setelah membaca penyataan tuntutan mereka di mahkamah.
Bagi membantu golongan rentan tersebut, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melaksanakan beberapa inovasi seperti mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dengan matlamat utamanya untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang gagal dilaksanakan oleh bekas suami/bapa. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat JKSM.










