Sosok aneh jilat air mandian jenazah - Utusan Malaysia

Sosok aneh jilat air mandian jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamua­laikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Mingguan Malaysia, ada sebuah kisah seram yang ingin aku kongsikan kepada pembaca sekalian.
Kisah ini berlaku pada penghujung tahun 90-an lalu yang mana ketika itu aku bersama keluarga pulang ke kampung halaman di utara tanah air setelah mendapat berita datuk sebelah keluarga ibu yang baru meninggal dunia.
Melalui cerita yang ibu sampaikan, datuk meninggal dunia kerana menghidap sakit tua. Aku tidak nafikan kerana memang kebelakangan ini ibu sering bercerita kepada kami tentang tahap kesihatan datuk yang membimbangkan.
Ada ketikanya berhari-hari juga datuk terlantar di rumah. Nasib baiklah nenek dan beberapa orang mak cik dan pak cik ku masih lagi bermastautin di sana, jadi senanglah mereka jenguk jika datuk tidak sihat.
Sesampai sahaja di kampung aku lihat sudah banyak kereta memenuhi halaman rumah datuk. Kebanyakan kenderaan yang bersusun di situ semuanya aku cam belaka kerana milik saudara maraku.
Memang menjadi tradisi di kampung tersebut jika berlakunya kematian segala urusan pengebumian seperti mandi jenazah, kafan dan sembahyang akan dilakukan di kediaman arwah, maka tidak hairanlah rumah datuk semakin dipenuhi penduduk kampung.
Aku pandang sekeliling. Kebanyakan yang datang masing-masing membantu uruskan mana yang patut. Ada yang sedang menyiapkan keranda di bangsal, ada yang sedang memotong kafan untuk membaluti jenazah, dan ada juga yang sedang menguruskan tempat mandi jenazah.
Alhamdulillah, tidak lama kemudian jenazah datuk akhirnya dimandikan. Aku sekadar melihat dari anjung rumah. Memang niat di hati ingin turut serta membantu, tetapi bila melihatkan sudah ramai yang membantu di situ terus aku batalkan niat.
Rumah datuk pula jenis rumah kampung lama yang bertiang tinggi, maka setiap kali air disiram ke atas jenazah, air mandiannya akan mengalir keluar melalui celah-celah lubang lantai rumah.
Hampir setengah jam juga urusan mandi dilakukan sebelum jenazah dikafankan untuk urusan pengebumian.
Malam itu selepas selesai majlis tahlil dan doa selamat saudara mara mula minta diri untuk pulang.
Nampaknya hanya keluargaku sahaja yang akan menemani nenek. Aku faham masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dibereskan kerana ada yang punya anak kecil dan anak-anak masih bersekolah.
Jam di dinding sudah menunjukkan hampir 12 tengah malam. Mata yang tadinya segar terus berasa layu. Aku capai bantal di dalam bilik dan bawa ke anjung rumah. Aku cadang ingin tidur di atas sofa sahaja malam ini.
Rumah yang tadinya meriah kini sudah menjadi sunyi sepi. Aku pasti nenek dan seluruh keluargaku sudah lena dibuai mimpi. Pastinya mereka keletihan kerana siang tadi sibuk menguruskan pengebumian dan kenduri arwah,
Hampir setengah jam mengelamun, tiba-tiba aku terasa ingin ke tandas untuk buang air kecil.
Geram juga dalam hati bila kenangkan hal begini kerana aku terpaksa menapak jauh kerana tandas di rumah ini terletak di luar rumah. Jadi setiap kali kalau ingin mandi atau buang air terpaksalah turun ke bawah.
Dengan rasa malas aku melangkah menuju ke dapur dan menuruni anak tangga menuju ke tandas. Nasib baiklah aku sudah biasa dengan persekitaran di situ, jadi tiada masalah untuk aku melangkah di dalam suasana yang gelap ketika itu.
Suasana malam itu cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas, cengkerik dan sesekali diselangi dengan sahutan burung hantu dari belukar berdekatan. Selesai ‘melepaskan hajat’ aku terus keluar, namun langkahku tiba-tiba terhenti apabila menangkap satu bau yang kurang enak.
Kembang kempis hidungku cuba mengamati bau yang dibawa angin ketika itu. Iya, memang sahih, bau kapur barus cukup kuat menerjah ke rongga hidung. Aku tinjau sekeliling. Serta-merta bulu romaku berdiri tegak.
Sedaya upaya aku cuba buang perasaan takut itu jauh dari fikiran. Fikirku mungkin bau kapur barus itu datang dari saki baki yang digunakan ketika mengkafankan arwah datuk siang tadi. Aku cuba buang perasaan takut sejauhnya, namun semua itu tidak menjadi kenyataan sebaik sahaja aku mendengar sesuatu yang aneh berhampiran. Bunyi seakan-akan percikan air sambil sesekali diselangi bunyi seperti orang sedang menghirup sesuatu.
“Slurp…slurp…slurp”.
Aku pasang telinga dan amati dengan teliti.
“Entah-entah ada binatang buas agaknya,” bisik dalam hatiku perlahan.
Dari cahaya suram malam aku dapat melihat dengan jelas ada sesuatu mencurigakan berada di bawah rumah ketika itu. Walaupun penglihatanku sedikit terhad kerana terlindung dengan deretan tiang rumah, namun aku perasan ada sesuatu yang mencurigakan berada di situ.
Aku melangkah perlahan-lahan cuba mengintai dari dekat. Dan sebaik sahaja aku dapat melihat dengan jelas, serta-merta aku tergamam. Lidahku kelu, tidak percaya dengan apa yang aku saksikan di hadapan mata ketika itu.
Nampak jelas satu sosok berbadan besar dan berbulu. Matanya pula merah menyala dan lidahnya terjelir panjang. Sosok tersebut terbongkok-bongkok menghidu dan menjilat sisa-sisa air mandian jenazah yang bertakung di tanah. Aku menggeletar ketakutan.
Namun aku bernasib baik kerana makhluk menyeramkan itu tidak menyedari kehadiranku di situ. Dia masih leka menjilat sisa-sisa air yang bertakung di situ tanpa memperdulikan keadaan di sekelilingnya.
Mulutku kumat-kamit cuba membaca ayat-ayat suci al-Quran, namun akibat terlalu takut terus semuanya berterabur dan tidak menjadi.
Dengan peluh yang membasahi tubuh dan nafas yang tercungap aku gagahkan diri melangkah masuk untuk menuju ke sofa yang terletak di anjung rumah.
Sayup-sayup telingaku masih dapat menangkap dengan jelas bunyi yang datang dari bawah rumah. Cukup menyeramkan. Sepanjang malam hingga ke pagi aku langsung tidak dapat melelapkan mata.
Kisah menyeramkan itu tidak aku ceritakan kepada sesiapa, Takut kalau ia menyinggung perasaan ahli keluarga lain. Namun dalam hatiku masih timbul persoalan dan tanda tanya tentang makhluk tersebut. Apakah itu? Dari mana dia datang, dan apa kaitannya dengan arwah datuk yang baru meninggal dunia siang tadi. Aku cuba mencari jawapnnya… – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×