Silap sepangkah, nahas sebangsa

Silap sepangkah, nahas sebangsa

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLALU muda untuk berbincang soal politik. Itu antara kritikan saya terima apabila mula menulis tentang isu politik dan kenegaraan pada usia sembilan tahun. Masih ingat satu komen yang mengatakan oleh kerana ilmu politik hanya mula diajar di universiti, maka mustahil bagi saya untuk menulis tentang politik pada usia tersebut. Pada mereka, kanak-kanak hanya patut berbicara isu-isu mudah seperti permainan video, rancangan hiburan dan sebagainya.

Laporan akhbar mengenai cadangan pengenalan subjek politik di sekolah mengingatkan saya kembali hal tersebut. Bagi saya, langkah itu bukan sahaja tepat tetapi juga integral. Kita perlu ingat, negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Dalam sistem demokrasi, itulah tujuan diadakan pilihan raya. Maka, di mana rasionalnya memberikan tugas yang begitu besar kepada anak muda berumur 18 tahun tanpa mempersiapkan mereka untuk menunaikan tanggungjawab penting itu? Jangan kita sekadar melepaskan batuk di tangga. Akibatnya, ramai anak muda tidak keluar mengundi dengan alasan tidak meminati politik, atau tidak tahu siapa yang patut mereka undi serta tidak faham mengapa perlu mengundi.

Dengan pengetahuan politik yang terhad, sukar bagi mereka untuk membuat pilihan bijak. Ramai hanya mengikut arus serta mudah diperdayakan dengan pelbagai umpan dan janji politik yang lebih manis daripada gula.

IBU BAPA

Justeru, masyarakat khususnya ibu bapa dan pemimpin harus bersikap lebih pragmatik dalam menangani hal ini. Kita tidak lagi boleh beranggapan politik hanya untuk orang dewasa. Hak pelajar untuk mendapat ilmu dan kefahaman secukupnya sebelum mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi harus dihormati dan dilaksanakan. Sepatutnya, semua pengetahuan asas berkaitan sistem politik, pentadbiran dan pemerintahan negara sudah difahami oleh pelajar sebelum mereka memasuki usia 18 tahun.

Malangnya, masalah kurang kesedaran dan asas ilmu politik dalam kalangan anak muda masih belum ditangani sedangkan belia seawal 18 tahun sudah berhak mengundi. Dahulu, hal ini tidak begitu membimbangkan kerana had umur mengundi adalah 21 tahun. Secara logiknya, apabila had umur mengundi diturunkan, maka para belia mesti dipersiapkan lebih awal supaya mereka mampu membuat pilihan tepat dan bukannya hanya mengikut trend di media sosial.

Kita mesti sedar, hak dan tanggungjawab datangnya beriringan. Tanpa ilmu dan persediaan lengkap, sukar bagi kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan baik.

Politik bukanlah hal remeh yang patut dipandang ringan. Ada berkata, apa salahnya kita mencuba. Kalau mereka ternyata gagal, kita pilih parti lain pula dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Realitinya ia tidak semudah itu. Kesilapan memilih pemimpin buruk padahnya. Ada pemimpin yang hanya tahu menyalahkan orang lain di atas kegagalan mereka. Ada juga yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Jangan sampai sudah terantuk baru tengadah, sudah teperlus maka hendak menutup lubang. Silap sepangkah, nahas sebangsa. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN