Rugi belajar di luar negara jika tak bergaul

Rugi belajar di luar negara jika tak bergaul

PENULIS memberi penerangan tentang Malaysia kepada kanak-kanak Turkiye sewaktu belajar di sana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN semua orang bertuah dapat melanjutkan pengajian ke luar negara. Bersyukurlah bagi mereka yang berpeluang mendapat biasiswa atau berkemampuan untuk menyambung pelajaran di luar negara. Peluang yang ada jangan disia-siakan.

Selama tujuh tahun berkelana di Turkiye, apa yang saya perhatikan, kebanyakan penuntut Malaysia lebih suka melepak dan duduk bersama dengan orang kita daripada orang luar. Mereka keluar bersama, makan bersama dan melakukan segala aktiviti bersama. Cukup susah nak tengok orang kita berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Sikap seperti ini sangat merugikan kerana kita seharusnya faham bahawa melanjutkan pelajaran di luar negara bukan sekadar menghabiskan pembelajaran dan mendapatkan sijil kelulusan tetapi lebih kepada menerokai dunia berbeza, belajar bahasa berbeza dan berinteraksi dengan budaya berbeza.

Saya pernah jumpa ramai anak tempatan kita yang menetap di luar negara lima hingga 10 tahun. Apabila saya bertanya tentang situasi politik atau perkara-perkara tertentu tentang negara tersebut, rata-rata mereka gagal mengulas dengan baik bahkan tidak ubah macam jawapan Wikipedia. Seharusnya mereka tahu sesuatu yang tidak ada dalam internet seperti pengalaman sendiri dan sebagainya, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Komuniti Malaysia di luar negara memang penting. Kita kena berkenalan antara satu sama lain dan turut serta dalam aktiviti-aktiviti anjuran mereka tetapi bukanlah 24 jam bersama.

Disebabkan itu juga ada pelajar kita yang tidak mampu bercakap dalam bahasa ibunda negara tersebut sekalipun sudah beberapa tahun tinggal di sana. Ini sangat merugikan.

ASIA. AFRIKA

Nasihat saya kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara, duduklah menyewa dengan warga asing dan carilah universiti yang tidak ramai pelajar Malaysia. Cara ini sahajalah yang boleh membantu anda mempelajari tentang negara tersebut.

Alhamdulillah, selama tujuh tahun di Turkiye, saya menghabiskan banyak masa bersama anak tempatan dan warga asing. Dari situ, saya mempelajari banyak perkara yang mustahil kita dapat baca di internet. Inilah ilmu yang tidak ternilai.

Ini bukan paksaan tetapi saranan supaya kita tidak mensia-siakan peluang tersebut sebab bila pulang ke Malaysia, kita pasti akan menyesal dengan apa dilalui. Rakyat Malaysia memang dikenali agak introvert dan pemalu tetapi ia harus bertepatan pada masanya. Kita sendiri pun tahu kelebihan ada ramai kawan-kawan asing. Contohnya, mereka boleh bantu kita sewaktu dalam kesusahan seperti kesukaran berkomunikasi, takut ditipu peniaga dan sebagainya.

Saya perhatikan sikap suka bertenggek dengan bangsa sendiri selalunya dalam kalangan warga Asia dan Afrika tetapi kalau pelajar mat salih, mereka sentiasa seimbang. Ada masa dengan rakan-rakan mereka dan ada masa dengan penduduk tempatan.

Cadangan saya buat kerajaan atau institusi pengajian tinggi, pastikan dalam kursus persediaan ke luar negara nanti, maklumkan juga kepentingan berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Salah satu kaedah pembelajaran yang ramai orang terlepas pandang adalah komunikasi. Bila kita banyak duduk dan berkomunikasi dengan warga luar maka secara tidak langsung, cara kita berfikir dan melihat sesuatu isu itu akan berubah. Melihat sesuatu dalam skop yang lebih luas.

Nasihat saya, sebelum nak belajar ke luar negara, tolong fikir dahulu, adakah kita sudah bersedia secara mental? Adakah kita ke sana hanya sekadar nak mendapatkan segulung sijil? – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN