KONGRES Nasional PKR Ke-16 yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu membawa petanda parti itu mampu muncul kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas memuktamadkan pemilihan keseluruhan peringkat.
Pemilihan parti itu juga menyaksikan satu manifestasi akar umbi yang dizahirkan apabila memilih calon ‘malar segar’ dalam keseluruhan kepimpinan dan masih bersepakat untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Manifestasi itu jelas apabila dianggarkan 70 peratus pemimpin yang mengisi kesemua jawatan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ialah muka baharu.
Tua atau muda bukan menjadi ukuran, pada mereka yang penting adalah ‘boleh buat kerja’. Malah, akar umbi dan perwakilan PKR juga dilihat amat mengenali rakan sepasukan dalam parti.
Seperti yang menang dalam pemilihan kali ini, majoritinya berusia 50 tahun ke bawah. Tetapi, usia muda bukan lesennya apabila ada beberapa tokoh yang sudah berjuang bersama parti sejak awal penubuhannya pada 1998 seperti Datuk Romli Ishak, Syed Ibrahim Syed Noh dan beberapa individu lain.
Tetapi sebelum ini mereka tidak ke hadapan dalam kepimpinan utama. Justeru, akar umbi mengenali mereka sekali gus mengangkat sebagai anggota MPP untuk membawa parti masuk ke PRU15.
Muka baharu dan boleh buat kerja, itu naratif akar umbi yang menyaksikan pasukan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli turut menguasai pimpinan kesemua peringkat iaitu 14 orang dalam AMK, dan 11 Wanita.
Dalam MPP pula 13 daripada 26 yang dipromosikannya. Itu juga menjadi isyarat jelas daripada akar umbi apabila PKR kali ini bakal tampil dengan gelombang baharu dalam PRU15.
DAPAT DINILAI
Lihat pemimpin-pemimpin heavyweight mereka yang tewas dalam pemilihan PKR pra-PRU15 seperti Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai) June Hsiad Hui (Hulu Selangor), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Selain itu, calon yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang, Selangor), Gunarajah R. George (Sentosa, Selangor) dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Hulu Kinta, Perak) juga tewas dalam pemilihan bagi sesi 2022 – 2025 itu.
Seperti kata Rafizi kepada Utusan Malaysia pada Ahad lalu, “Perwakilan sangat berhati-hati, mereka kenal dan letak, hendak siapa di mana. Itu memang akan jadi lumrah dalam PKR dan pemilihan akan datang. Tekanannya ada, bagaimana kita akan bina momentum bermula dari sekarang.”
Selain itu, tidak boleh dipandang enteng apabila PKR membuktikan dasar mereka terhadap anak-anak muda yang bukan sahaja muka baharu, tetapi benar-benar fresh dalam pimpinan seperti Adam Adli Abd. Halim sebagai Ketua AMK dan Ketua Wanitanya, Senator Fadhlina Sidek.
Lebih menarik, dalam AMK yang menjadi Ahli Pimpinan Pusat, sebahagian besarnya berusia 20-an dan awal 30-an. Begitu juga Ahli Pimpinan Pusat Wanita yang akan bersama Fadhlina majoritinya belum mencapai usia pertengahan.
Adam Adli baru mendaftar sebagai Ahli PKR tahun lalu. Seangkatan dengan beliau ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang memenangi jawatan MPP dengan undian paling tinggi, 1,091, satu-satunya calon yang mendapat lebih 1,000 undi.
Berada di bawahnya adalah bekas Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru dengan undian sebanyak 956.
Justeru, di situ jelas kelihatan kekuatan dibina PKR untuk menghadapi pilihan raya dan secara tidak langsung menjelaskan suara akar umbi mereka yang boleh dianggap teguran terhadap parti-parti lain apabila perlu berusaha lebih untuk bersaing nanti.
Ketegangan antara Anwar dengan Rafizi pun tidak boleh dianggap kelemahan, kerana Presiden sudah jelaskan perkara sedemikian menjadi tradisi dalam PKR. Malah Anwar dan Rafizi juga dikatakan mengetahui ‘pekung’ masing-masing.
JAMINAN MENANG
Muncul kuat tidak semestinya mampu menjamin kemenangan apabila Ketua Pembangkang pada Ahad lalu memberi amaran tentang masalah kekuatan jentera dihadapi PKR untuk menghadapi pilihan raya.
Perkara itu pasti menjadi tamparan kepada anggota parti yang mahu menjadi calon pada PRU15 apabila beliau menegaskan bakal calon mesti menunjukkan kekuatan jentera sebelum dicadangkan nama kepadanya. Malah, barisan jenteranya mesti terdiri dalam kalangan pelbagai kaum.
Itu bermakna, akar umbi mengenali siapa calon mereka. Selepas ini, jika silap taruh, bungkuslah PKR sebab akar umbi sudah beri amaran. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.










