SETELAH dua tahun dunia dilanda pandemik, akhirnya umat Islam dibolehkan menunaikan haji berskala besar seperti mana sebelum ini. Selama beberapa tahun berikutan penularan wabak Covid-19, ibadah haji hanya dapat dilakukan dalam jumlah yang amat kecil. Tahun ini, lebih sejuta jemaah dijangka menunaikan rukun Islam kelima itu bermula esok.
Alhamdulillah, setelah dua tahun menunggu giliran menunaikan haji, saya telah terpilih sebagai dhuyufur rahman pada tahun ini.
Musim haji kali ini pastinya menawarkan sesuatu yang menarik untuk dikaji. Dengan peraturan ketat kerajaan Arab Saudi dari aspek tapisan kesihatan, umur dan keperluan pas perjalanan, menyaksikan pola jemaah haji yang sedikit berbeza berbanding sebelumnya. Jemaah kali ini rata-ratanya lebih muda berumur bawah 65 tahun dan telah lulus ujian kesihatan.
Dalam erti kata lain, jemaah tahun ini pastinya antara yang terbaik sekurang-kurangnya dari aspek kesihatan dan umur mewakili negara masing-masing. Saya melihat sendiri begitu ramai anak muda yang terpilih menunaikan haji.
Terdapat juga penambahbaikan dari aspek pengurusan imigresen oleh kerajaan Arab Saudi yang lebih efisien. Pujian patut diberikan dengan inisiatif pembukaan kaunter imigresen kerajaan Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang amat membantu memudahkan urusan perjalanan ke tanah suci. Lebih menarik berbanding sebelum ini, layanan di kaunter juga amat mesra dan petugas juga mampu bertutur beberapa perkataan bahasa Melayu yang berjaya menerbitkan suasana damai dalam kalangan jemaah.
Menyaksikan sendiri perkembangan musim haji yang dinamik ini, saya ingin melontarkan pandangan mengenai potensi dalam konteks penyelidikan dan kajian. Dengan jutaan jemaah dari seluruh dunia berbeza latar belakang, budaya, sosioekonomi dan politik, kita berupaya menjana dan mengumpul data serta maklumat penuh bermakna sebagai asas dan rujukan untuk pembangunan umat.
Data ini juga sangat bermanfaat bagi tujuan memperkemas dan mengefisienkan lagi pengurusan haji secara keseluruhan. Di samping itu, data ini amat penting untuk memberikan gambaran sebenar dan realiti umat Islam di seluruh dunia. Bayangkan berapa banyak kajian, soal selidik serta analisis berpotensi boleh dihasilkan dari pelbagai aspek yang boleh menatijahkan dapatan bermanfaat untuk negara, kerajaan, swasta dan masyarakat.
Sebagai contoh, kajian keberkesanan pengurusan haji pelbagai negara boleh mewujudkan Garis Panduan dan Amalan Terbaik Pengurusan Haji. Data mengenai nisbah penggunaan tenaga, potensi tenaga alternatif seperti solar, air, pengeluaran sisa buangan, pengurusan sampah dan inisiatif kitar semula amat berguna bagi meningkatkan kecekapan dan kepintaran pengurusan haji. Kajian terhadap nisbah eksport dan import, pengeluar dan pengguna, trend kepenggunaan jemaah akan memberikan input bermanfaat kepada ramai. Kajian mengenai tingkah laku jemaah yang berbeza budaya dan sistem pendidikan pastinya akan menghasilkan dapatan menarik.
Pandangan alam terhadap realiti politik dan geopolitik, kefahaman umum mengenai piawaian kebersihan dan kesihatan, dinamika sosioekonomi jemaah termasuk pemahaman ibadah itu sendiri boleh dijalankan.
UNIVERSITI ISLAM
Sehingga hari ini, kita tidak dapat memperoleh analisis secara saintifik sejauh mana ibadah haji berjaya membawa perubahan sama ada terhadap individu, organisasi mahupun negara. Saya tidak dapat bayangkan betapa berharganya data-data ini berpotensi dikumpul menerusi sistem atau aplikasi tertentu yang boleh dibangunkan.
Menerusi kajian yang dijalankan dalam musim haji, kita boleh menerbitkan laporan tahunan yang menyeluruh beserta analisis mendalam aspek tertentu bagi tujuan rujukan dan panduan.
Bagi maksud ini, setiap negara Islam boleh menghantar pasukan penyelidik masing-masing atau ditubuhkan gabungan penyelidik merentasi disiplin bagi memastikan keberkesanan penyelidikan. Negara-negara Islam juga boleh menganjurkan persidangan tahunan selepas selesai Ibadah haji bagi membincang dan mewacanakan isu-isu utama berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan.
The First World Conference on Muslim Education di Mekah pada 1977 umpamanya pernah menatijahkan keputusan penting kepada umat, antaranya menyaksikan penubuhan universiti Islam di beberapa negara. Pendekatan progresif ini dapat memberikan dimensi baharu dengan menjadikan musim haji bukan sekadar menunaikan ibadah khusus semata-mata tetapi sebagai medium menemukan cendiakawan, cerdik pandai, pengkaji, penyelidik, pembuat dasar dan sebagainya bagi maksud meneroka idea-idea baharu ke arah pembangunan dan penambahbaikan lebih mampan.
Lebih penting, kajian dijalankan bukan hanya bersifat sekali tetapi berterusan atau dilaksanakan secara jangka masa pendek, panjang dan berfasa. Kajian dan penilaian keberkesanan pelaksanaan juga perlu bagi tujuan pemantauan. Ini amat penting bagi memastikan kajian dan apa-apa dasar benar-benar memberi impak.
Ibadah haji sudah pasti mempunyai maknanya tersendiri. Kegagalan untuk memahami maqasid ibadah haji tidak dapat memberi impak yang positif terhadap pengislahan individu, masyarakat dan negara. Di samping menjadi lapangan tarbiah dan pembentukan akhlak mendekatkan diri kepada Tuhan, ibadah haji secara tidak langsung menawarkan sesuatu yang tidak ternilai di depan mata.
Dengan potensi data yang boleh dijana, dikumpul dan dianalisis, dapatan kajian pastinya mampu memberikan pelbagai manfaat kepada ramai. Sudah sampai masanya kita benar-benar memanfaatkan peluang musim haji ini menerusi penghasilan kajian dan penyelidikan berimpak tinggi merintis perubahan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar & Libatsama Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










