MALAYSIA kehilangan seorang tokoh sukan yang amat dihormati dan disegani bukan sahaja di dalam, malah di luar negara. Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang mendapat julukan ‘kamus sukan bergerak’ menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun, Sabtu lalu.
Dikenali sebagai seorang yang amat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip kerja telus, Kok Chi yang dilahirkan pada 8 November 1938 mula berkhidmat bersama MOM pada 1974.
Sejak itu, beliau mula menabur jasa kepada sukan tanah air yang cukup besar nilainya dan tidak mungkin mampu dibalas generasi sukan pada hari ini.
Tidak pernah kering dengan idea-idea bernas, Kok Chi ketika hayatnya bertanggungjawab menubuhkan Dana Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Dana Amanah MOM, dana kategori B, dasar pembayaran balik penyertaan dalam kejohanan pelbagai sukan, Anugerah Olympian of the Year, Dewan Kemasyhuran MOM, Program Pemasaran dan Penajaan MOM serta banyak lagi.
Jasa lulusan Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai jurutera bersama Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) sebelum bersara awal pada usia 52 tahun ini bukan setakat di dalam negara, malah juga di luar negara.
Sewaktu Vietnam terkapai-kapai dan masih bertatih untuk belajar menjadi tuan rumah Sukan SEA buat julung kalinya pada 2003, beliaulah figura penting yang sudi menghulurkan bantuan.
Berkat pengalaman luas Malaysia sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu telah disalurkan kepada Vietnam yang akhirnya berjaya menganjurkan Sukan SEA dengan jayanya di Hanoi dan Ho Chi Minh.
Maka, tidak keterlaluan jika negara itu melihatnya sebagai seorang ‘bapa’ yang mengajar anaknya bertatih dan kini sudah mampu berlari.
Kok Chi yang pernah bergelar atlet sukan polo juga sanggup bergolok gadai demi negara. Beliau tidak pernah lokek wang, ilmu dan pengalaman.
Di mata media, Kok Chi adalah individu sangat disanjungi dengan pekertinya yang mudah didekati dan melontarkan sebarang komen bernas berkaitan sukan tanah air. Mendiang menjadi kegemaran wartawan untuk mendapatkan pandangan dan komen kerana tidak pernah gentar serta lantang mengkritik secara terbuka, jika pendapatnya itu dirasakan baik.
Sejak mengumumkan pengundurannya daripada MOM pada 2018, kelibat Kok Chi terus dirindui dan tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan menjadikan beliau sedikit menyepi.
Pemergian anak perempuannya Seih Shen-Nern yang meninggal dunia pada usia 47 tahun, Oktober tahun lalu turut menjadikan mendiang semakin kesunyian dan pada Sabtu lepas, beliau pula menyusul meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Terima kasih Datuk Kok Chi. Jasa dan pengorbanan anda akan terus melekat di segenap jiwa warga sukan negara. – UTUSAN










