Di mana kesudahan bangsa Melayu?

Di mana kesudahan bangsa Melayu?

ORANG Melayu perlu menjadi kunci untuk membuka gerbang kehidupan harmoni, makmur dan progresif negara ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAMA Islam memberi panduan dan peringatan. Budaya dan sejarah Melayu pula memberi teladan. Justeru, menjadi bangsa Melayu dan umat Nabi Muhammad adalah suatu anugerah.

Dengan menggabungkan ajaran Islam dengan budaya dan sejarah bangsa Melayu, kita sebenarnya bangsa hebat!

Setiap kali khutbah Jumaat, khatib mengingatkan jemaah mengenai ketaatan kepada Allah SWT, Rasullullah dan ulil amri. Jika berbalah, rujuk kepada al-Quran dan sunnah untuk mencari jalan penyelesaian. Malangnya, pemimpin Melayu mengabaikan peringatan dan amaran itu. Sama ada tidur ketika khatib membaca khutbah atau diri sarat ego, mereka menolak persaudaraan ummah.

Akhirnya kita lihat rupa, tindak-tanduk dan kesombongan mereka sekali gus menolak muzakarah penyatuan Melayu. Mereka berbangga dan meraikan perpecahan bangsa. Jadi, jika agama dan dua kalimah syahadah yang satu gagal menyatukan pemimpin Melayu, apa lagi tali yang boleh menyatupadukan semula mereka?

Ketika mana politik di tempat lain semakin matang seiring usia negara, tahap politik kita semakin reput. Pemimpin senior dan veteran Melayu dilihat bagai tidak pedulikan nasib serta masa depan bangsanya. Mereka bagai sengaja mahu meninggalkan kelemahan, ketinggalan dan kemiskinan sebagai legasi untuk cucu-cicit serta generasi masa depan bangsa. Sikap dan perangai mereka seolah-olah hanya memikirkan hal perut sendiri berbanding nasib perut dan jaminan tempat berteduh bangsanya pada masa depan. Apakah rakyat dan generasi pemimpin muda Melayu akan terus dimomokkan sifat munafik ini?

Sebagai penduduk majoriti, bangsa Melayu dan peribumi adalah kunci negara. Bangsa Melayu mempunyai ramai pihak berkepentngan dan pada masa sama banyak pihak mempunyai pelbagai kepentingan dengan kita. Ringkasnya, sama ada mereka menjadi pihak berkepentingan kita atau kita menjadi pihak berkepentingan mereka – Melayu adalah kunci, teras dan penentu keadaan. Kita mencapai tahap de facto malah de jure.

Begitu juga sifat dan tindakan pemimpin Melayu memberi kesan negatif kepada pihak berkepentingan, antaranya generasi baharu Melayu sendiri. Cerita buruk pemimpin yang tular dan jadi makanan netizen memberi kesan negatif kepada tunas muda bangsa.

Generasi baharu mula membuat perbandingan keburukan Melayu dengan kebaikan bangsa lain. Mereka meremehkan kredibiliti tulen yang masih utuh pada diri majoriti bangsanya. Mereka hilang kepercayaan dan keyakinan dengan bangsa sendiri. Mereka melakukan eskapisme dengan pelbagai cara. Antaranya menyokong gerakan pertubuhan atau menyertai parti yang tidak mendukung aspirasi Melayu dan Islam.

Seterusnya mereka kian mengagumi orang lain. Mereka rasa bebas kalau tidak dikaitkan dengan Melayu. Mereka lebih mempercayai dan meyakini orang bukan bangsanya. Mereka turut memburuk-burukkan bangsanya dan berbangga dengan orang lain. Akhirnya mereka tanpa disedari atau dengan rela ditunggangi anasir yang mahu meranapkan kredibiliti, maruah serta perpaduan Melayu.

Kebobrokan pemimpin dan peneraju Melayu jika tidak ditangani, dibimbangi mencetuskan bibit ketidakyakinan pihak berkepentingan kepada keseluruhan sistem dan organisasi yang kita dukung serta sifat murni majoriti bangsa ini. Akibatnya akan ada tuntutan supaya pengisian jawatan penting dan kanan dalam pentadbiran awam, korporat, badan berkanun mahupun sektor lain oleh pengurusan Melayu dikurangkan dan perlu diisi orang lain. Dikhuatiri juga akan muncul tanggapan meletakkan pemimpin atau pengurus Melayu pada jawatan kritikal itu ‘satu kesilapan atau amat berisiko kepada organisasi.’

POLITIKING

Ini diparahkan lagi dengan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dijadikan alasan sesetengah pihak untuk menolak Malaysia dalam pelaburan mahupun kerjasama lain. Andai indeks ini dicipta pihak tertentu untuk memburukkan imej negara, maka buktikan pembohongan itu.

Jangan lupa melihat kanan dan kiri kita. Apa nak jadi dengan Malaysia dibandingkan Singapura. Ringgit tidak lagi dipandang di Indonesia, Thailand, Vietnam mahupun Kemboja.

Kebanyakan negara jiran, sosioekonomi rakyatnya kian stabil. Kerajaannya sudah melaksanakan pelbagai program pembangunan baharu seiring keperluan era Revolusi Industri 4.0 khususnya teknologi tinggi dan ekonomi digital.

Bacalah laporan media arus perdana serantau dan antarabangsa yang menganalisis mengenai politik, ekonomi dan masa depan Malaysia. Mereka turut melaporkan kemajuan, projek mega swasta, pembangunan infrastruktur awam, pelan dan program memajukan pelbagai sektor di rantau ini. Negara jiran kini menumpukan projek mega bersifat strategik dan futuristik.

Sesetengahnya untuk memintas penglibatan atau kepentingan kita.

Malangnya di Malaysia, kita masih berhempas pulas menyantuni kesan dan melepasi cengkaman pasca Covid-19. Kerajaan bekerja keras menepis serangan rakan politik sendiri. Pemimpin politik bercakaran dan bertungkus lumus menyerang malah membunuh lawan. Lantaran hilang fokus dan kehabisan tekad gara-gara politiking norma baharu, kerajaan tidak mampu melaksanakan banyak perkara termasuk pemulihan ekonomi serta melaksanakan pembangunan untuk rakyat.

Kita juga dipengaruhi dunia yang sedang dilanda inflasi. Ini menokok kepayahan rakyat yang sedia lesu dan bosan dengan politik. Jadi, sejauh mana pemimpin sedia ada sepakat membina sekuriti makanan negara dan meminggirkan pakatan untuk politik peribadi?

Realitinya, pemimpin Melayu hampir terlambat untuk bersatu kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 kian hampir. Melayu bagai tidak minat bersedia. Mereka dibuai perpecahan. Atau mereka optimis menang dan terus berkuasa?

Insaflah, perpecahan dalam kalangan pemimpin politik dan kebobrokan sifat peneraju Melayu akan meragut kedudukan bangsa sendiri selain agama Islam, rakyat keseluruhan, kuasa politik Melayu serta kemakmuran dan ekonomi negara.

Justeru, apakah kita masih punya harapan untuk diselamatkan? Jawabnya, mungkin ada. Namun, kuncinya adalah penyatuan Melayu. Bangsa ini perlu jadi kunci untuk membuka gerbang kehidupan harmoni, makmur dan progresif negara ini.

Ini hanya boleh dilakukan dengan membenam keegoan dan kesombongan masing-masing. Berlapang dada dan ikhlas untuk kembali kepada al-Quran serta sunnah Rasulullah dalam merungkai permasalahan, kemudian mencari penyelesaian dan membina penyatuan akibat kekalutan bangsa kita ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN