DI tengah-tengah ribuan orang pelarian dalaman (IDP) Syria yang hidup bergelandangan di kem-kem pelarian mahupun menyewa di kediaman sempit dan usang atau di perkampungan semula, baik di A’zaz, Jarabulus dan Al-Bab, Ahmad Hassan, 11; Mustafa Hassan, 12, dan Akram Ahmad, 12, punyai kisah tersendiri.
Ahmad mendiami khemah pelarian dekat A’zaz di sebalik cahaya mentari mencapai lebih 40 darjah Celsius, dengan kemudahan asas yang menyedihkan, tinggal bersama ayah, ibu dan 10 lagi adik-beradiknya.
Ahmad diberitahu bapanya, bahawa kampungnya di Idlib, lebih 100 kilometer dari A’zaz, musnah dibedil bom.
Usia Ahmad kini menyamai usia konflik berpanjangan di Syria, 11 tahun. Tidak mampu dihantar bersekolah lantaran pendapatan ibu dan bapa yang bekerja buruh di sekitar kem pelarian,
Ahmad mengakui mahu ke sekolah. Dia juga mengakui tidak mahu menjadi buruh pada usianya, sama seperti nasib yang menimpa kanak-kanak pelarian lain. Begitulah sisi gelap perang atau apa jua dinamakan sebagai konflik mahupun pergaduhan, yang pastinya ‘membunuh’ masa depan anak-anak kecil.
Di Jarabulus pula, kira-kira 109 kilometer dari A’zaz, Mustafa melahirkan rasa bencinya kepada peperangan. Jika tiada semuanya itu, sudah tentu Mustafa kini sudah boleh bersekolah dan menjalani kehidupan jauh lebih baik berbanding kini.
Keluarganya berasal dari Aleppo, lebih 120 kilometer dari Jarabulus, dan Mustafa sekeluarga menetap di Perkampungan Ataa, sebuah penempatan sementara di Jarabulus. Perkampungan itu menjadi habitat ‘pepijat’ hitam besar dan sangat mengganggu lena malam yang panas.
Sama seperti Ahmad di A’zaz, Mustafa mahukan kehidupan yang aman, bukannya kehidupan sekarang yang seperti ‘takut-takut’ dan trauma mendengar kisah-kisah perang di bumi Syria.
Nasib lain pula menimpa Akram. Mendiami rumah sewa yang sempit di depan sebuah sekolah lama yang pernah menjadi lokasi serangan bom di Al-Bab, Akram ke sana ke sini membantu bapa dan ibunya berniaga.
Di tangannya memegang kotak kecil, pil menurunkan berat badan untuk dijual di tepi jalan di depan rumah sewa didiaminya. Keluarga Akram berasal dari Idlib, 113 kilometer dari Al-Bab.
FULUS
Keluarga Ahmad, Mustafa dan Akram, terpaksa melalui laluan penuh berliku dan membimbangkan, beratus kilometer, berbulan dan bertahun demi mencari kehidupan lebih baik, lantaran kampung halaman yang ‘sudah menjadi debu’ dek konflik berpanjangan.
Ahmad, Mustafa dan Akram ditemui Utusan Malaysia ketika Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave di bumi Syria, misi yang memfokuskan kepada pendidikan kanak-kanak pelarian selain bantuan kepada keluarga yang kesusahan.
Ahmad mahu menjadi seorang ustaz dan pemain bola terkenal manakala Mustafa kini mula menjadi penghafaz al-Quran, dan Akram masih tidak tahu mahu menjadi apa ketika dewasa nanti.
Rahaf, setahun tiga bulan usianya. Dia tinggal di rumah disewa ibu bapanya di Jarabulus. Mata kirinya lebam, kemerah-merahan. Menurut ibunya, dia tidak mampu membawa Rahaf mendapatkan perubatan selain tiada klinik kesihatan berhampiran kediamannya.
Jika dibandingkan antara A’zaz, Jarabulus dan Al-Bab, Jarabulus agak sedikit ketinggalan, pekannya kecil dan tidak sesibuk di A’zaz serta Al-Bab.
A’zaz, Jarabulus dan Al-Bab terletak di utara Syria yang kini berada di bawah kawalan Turkiye. Biarpun sudah berlanjutan selama 11 tahun konflik di Syria, hari esok bagi Ahmad, Mustafa, Akram dan Rahaf tidak diketahui.
Apa yang pasti, jika tiada bantuan berterusan, jika konflik berterusan untuk tahun mendatang, mereka atau kanak-kanak lain tiada pilihan lain, lupakan terus apa itu persekolahan atau bermanja-manja dengan ibu bapa, dan turun ke pekan-pekan mencari pekerjaan atau menjadi buruh di ladang-ladang tin dan zaitun berhampiran.
Di Perkampungan Ataa yang didiami Mustafa sekeluarga juga belum tentu berkekalan. Ini kerana perkampungan yang diuruskan Ataa Relief, sebuah pertubuhan kemanusiaan berpangkalan di Turkiye, menetapkan kontrak dua tahun bagi setiap keluarga. Jika nasib baik, kontrak mereka akan diteruskan, jika sebaliknya, mungkin terpaksa mencari ruang lain untuk tumpang berteduh.
“Fulus, fulus, fulus.” Itu antara jeritan kanak-kanak mahupun golongan dewasa terhadap anggota misi kemanusiaan. Mereka mahukan fulus (duit) untuk meneruskan kehidupan. Duit untuk berbelanja membeli bekalan makanan.
Fulus, makanan, tempat tinggal lebih selesa serta bantuan apa sahaja, sebutkan apa sahaja, semuanya diperlukan mereka. Paling penting, kembalikan Syria yang aman, Syria yang dapat menjanjikan dunia lebih cerah buat Ahmad, Mustafa dan Akram serta generasi muda Syria yang lain. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










