Pepatah Cina cetus semangat niaga

Pepatah Cina cetus semangat niaga

SEJAK dari dahulu, masyarakat Cina aktif dalam perniagaan untuk mencari nafkah, tidak kira di mana mereka berada. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Presiden China, Xi Jinping memetik pepatah Melayu, bukit sama didaki, lurah sama dituruni dan seliang bagai tebu, serumpun bagai serai dalam ucapannya sempena Mesyuarat Tahunan Forum Asia 2022 di Boao, Hainan. Berita itu mendapat liputan dalam kebanyakan media tempatan berbahasa Cina.

Kita sepatutnya berasa bangga kerana pepatah Melayu juga dihayati oleh seorang pemimpin China. Peribahasa Melayu yang mengandungi unsur ajaran dan nasihat amat bernilai untuk perkembangan diri baik bagi individu mahupun masyarakat dan negara.

Terdapat juga beberapa pepatah Cina yang boleh dijadikan rujukan oleh mereka yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pepatah Cina merupakan khazanah warisan budaya yang dipetik daripada karya-karya kesusasteraan zaman dahulu. Kebanyakannya mencerminkan kebijaksanaan dan kewajaran generasi dahulu yang boleh dijadikan pedoman hidup bagi generasi muda.

Pepatah Cina banyak mempengaruhi kehidupan dan budaya kaum Cina. Terdapat juga pepatah berunsur motivasi yang berkaitan dengan kemajuan kerjaya. Masyarakat Cina mula mengenali pepatah sejak kecil lagi dan ia banyak membantu dalam memupuk keinginan dan kesungguhan seseorang untuk berusaha dan berjaya dalam bidang perniagaan. Orang Cina dari dahulu lagi terlibat dalam aktiviti perniagaan untuk mencari nafkah, tidak kira di mana mereka berada.

Pepatah-pepatah Cina seperti berikut sesuai untuk dijadikan sebagai asas dan persediaan mental bagi menjalankan perniagaan:

 Bercita-cita yang tidak terhad di merata tempat (zhi zai sifang).

Pepatah ini menggalakkan pengetahuan seseorang diperkembangkan dengan mengumpul pengalaman di merata tempat. Sasaran pemasaran bukan sekadar berfokus kepada pasaran tempatan sahaja. Tumpuan juga perlu diberikan kepada pasaran antarabangsa agar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu mempertingkatkan nama negara.

 Bergantung kepada ibu bapa di rumah dan bantuan kawan di luar (zai jia kao fu mu chu wai kao peng you).

Kita bergantung kepada ibu bapa sewaktu berada di rumah, tetapi bantuan sahabat diperlukan ketika berada di luar. Pepatah ini menegaskan kepentingan kawan-kawan karib yang sanggup membantu apabila kita menghadapi sesuatu masalah. Ia menjana semangat kerjasama berpasukan yang sering diutamakan dalam ilmu sumber manusia untuk perniagaan.

 Semua orang yang kita temui sebagai saudara mara (sihai zhi nei jie xiongdi ye).

Ia bererti dalam kehidupan, anggaplah orang asing tidak wujud, cuma sahabat yang belum menjadi rapat. Ia mengutamakan peri pentingnya kita mengenali seberapa ramai kawan yang mungkin. Pendekatan ini lebih dikenali sebagai usaha menjalin rangkaian hubungan (networking) dalam seni perniagaan.

 Perjalanan jauh bermula dengan langkah pertama (qianli zhi xing shi yu zuxia).

Impian seseorang tidak akan tercapai sekiranya dia cuma pandai berangan-angan tetapi tidak ada tindakan nyata. Pepatah ini mendorong pengambilan tindakan segera tanpa membuang masa dengan pelbagai alasan. Sifat penangguhan harus dikikis oleh semua pemimpin perniagaan. Sikap suka menangguh kerja dianggap satu sifat kepemimpinan yang lemah.

MUSIM BUNGA

 Permulaan yang baik menandakan separuh daripada kejayaan sudah dalam genggaman (hao de kaishi shi chenggong de yiban).

Adalah digalakkan selalu memulakan sesuatu tindakan dengan rancangan yang rapi. Rancangan yang baik pada peringkat awal mesti diamalkan sebelum tindakan dijalankan. Pepatah ini seiring dengan kewajaran pengajaran asas dalam kursus pentadbiran dan perniagaan, iaitu rancangan.

 Setiap rancangan tahunan bermula pada musim bunga (yi nian zhi ji zaiyu chun).

Pepatah ini menegaskan kepentingan rancangan tahunan sebelum sesuatu tahun kewangan bermula. Dari segi perniagaan, penyediaan belanjawan tahun hadapan seharusnya dilakukan sebelum tamatnya tempoh tahun kewangan sebelumnya. Seseorang pengurus yang berwibawa perlu menganalisa kelebihan dan kelemahan pencapaian tahun sebelumnya dan mengatur pelan strategik efektif baharu untuk mengejar kejayaan baharu yang lebih cemerlang.

 Semakin banyak kesusahan dialami, seseorang itu akan menjadi lebih kuat dan handal (chi de ku zhong ku, fang wei ren shang ren).

Pepatah ini relevan dalam kalangan kelas bawahan kerana golongan ini kekurangan sumber ekonomi yang kukuh, maka mereka perlu lebih gigih dan tekun sebelum memperoleh sesuatu kejayaan yang diingini. Ketabahan hati akhirnya akan mengatasi segala kesusahan dalam kehidupan. Ramai peniaga Cina berjaya dengan berpegang kepada keyakinan bahawa selagi mereka sanggup berusaha, akhirnya kejayaan tentu akan tercapai.

 Perahu akhirnya akan tetap sampai ke jeti (chuan dao qiaotou ziran zhi). Apabila ditimpa kesusahan, pepatah ini membawa mesej positif yang boleh memberangsangkan kita.

Pepatah ini mencadangkan bahawa tidak kira apa jua berlaku, segala masalah akhirnya akan selesai juga. Dengan keyakinan ini, maka peniaga tidak mudah patah semangat semasa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

 Menyimpan pokok-pokok hijau agar tidak kehabisan kayu api (liu de qingshan zai bupa mei chai shao).

Pepatah ini pula menasihati ahli perniagaan agar menyimpan tenaga untuk bangkit semula apabila menghadapi sesuatu cabaran atau kegagalan buat sementara waktu.

Jangan berputus asa. Pengalaman dan kemahiran terkumpul boleh dijadikan modal untuk masa depan. Seseorang yang mampu bangkit selepas gagal adalah orang yang lebih kuat daripada orang yang tidak pernah gagal.

Di samping itu, ada pepatah yang sering digunakan oleh guru-guru sekolah untuk mendorong pelajar-pelajar yang kecewa kerana sesuatu kekurangan:

 Kegagalan adalah ibu kepada kejayaan (shibai nai chenggong zhi mu). Segala kegagalan akan menghasilkan pengalaman baharu dan membawa iktibar dan hikmah untuk mengatasi masalah pada masa depan. Justeru, kegagalan boleh dielakkan dan kejayaan akan tercapai kelak.

Perniagaan merupakan suatu bidang melibatkan pelbagai ilmu pengetahuan. Mudah-mudahan, kebijaksanaan yang wujud dalam pepatah-pepatah dahulu mampu memotivasikan kita semua untuk mengejar kejayaan lebih besar dalam perniagaan.

Sesungguhnya, setiap peniaga menghadapi cabaran pada mulanya. Namun dengan ketabahan, kegigihan dan kesungguhan tinggi, mereka berjaya pada akhirnya. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. – UTUSAN

PENULIS ialah bekas pengarah eksekutif dalam bidang pemasaran selama 34 tahun. Kini menjadi perunding pemasaran bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×