PERMASALAHAN penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Cina di negara ini sering dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu. Mengikut Chua Kim Tian, seorang bekas guru yang kini berusia 85 tahun dari Muar, Johor, bahasa Melayu mula diperkenalkan seawal 1955 di semua sekolah Cina di Malaya.
Masyarakat Cina pada waktu itu sememangnya menyedari bahawa negara sedang menuju ke arah kemerdekaan. Justeru, bahasa Melayu adalah penting dan akan dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan untuk negara baharu nanti, maka ia perlu dikuasai segera.
Sesungguhnya, MCA banyak berbakti dalam menyemarakkan minat dan keghairahan orang Cina untuk mempelajari bahasa Melayu antara 1950-an dan 1960-an. MCA dengan sokongan padu kerajaan Perikatan yang memerintah pada waktu itu mengadakan ratusan kelas bahasa kebangsaan di semua bandar dan pekan utama di Semenanjung. Projek kelas bahasa kebangsaan itu bertujuan membantu warga keturunan Cina menguasai bahasa Melayu agar mereka dapat berkomunikasi secara berkesan dengan kaum-kaum lain.
Sepanjang 1957, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada tangan British sehingga peristiwa rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, kelas-kelas bahasa kebangsaan dianjurkan. Ia berjaya menarik puluhan ribu orang Cina dari segenap lapisan untuk mengikuti kelas bahasa Melayu dewasa.
Kim Tian mengimbau kembali di tempat beliau, kelas bahasa kebangsaan dianjurkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 2, Muar. Sebanyak 10 kelas dibuka serentak dan dihadiri beratus-ratus orang pelajar. Pelajar-pelajarnya terdiri dalam kalangan peniaga, pekerja, kerani, pelajar sekolah malah petani dan penoreh getah. Pelajar tua mahupun muda menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk memperbaiki kemahiran bahasa Melayu masing-masing.
Pada waktu itu, tenaga pengajar kelas bahasa kebangsaan rata-ratanya terdiri daripada guru-guru Melayu yang mengajar di sekolah-sekolah rendah Melayu di sekitar bandar Muar. Sesungguhnya, kewujudan kelas bahasa kebangsaan pada waktu itu telah mengeratkan silaturahim dan semangat muhibah antara kaum.
Di luar kelas bahasa, masyarakat Cina juga kelihatan mesra bersosial dengan orang Melayu. Malah, orang Cina cuba mengamalkan budaya kaum Melayu seperti makan dengan tangan dan memakai kain sarung.
Namun begitu, suasana muhibah dan amalan baik itu tidak berpanjangan. Persaingan politik perkauman pula semakin menjadi-jadi kemudiannya.
Pada waktu sama, masyarakat Cina di Singapura turut giat membangunkan pendidikan bahasa Melayu.
Pada 1963, Kolej Ngee Ann yang dirintis oleh komuniti Teochew di Singapura mula menawarkan program ijazah pengajian Melayu. Kuek Long Seng dari Labis, Johor merupakan kumpulan pertama graduan pengajian Melayu Kolej Ngee Ann. Bagi Long Seng, ketika itu negara telah pun merdeka dan bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sememangnya menampakkan masa depan yang amat cerah, maka pemilihan kursus pengajian bahasa Melayu sesungguhnya merupakan satu keputusan yang memadai kehendak zaman dan memenuhi keperluan individu.
UNIVERSITI NANYANG
Universiti Nanyang kemudian menyambung usaha murni ini dengan mendirikan Jabatan Pengajian Melayu. Bahasa Melayu juga muncul sebagai bahasa kedua paling digemari oleh semua pelajar Universiti Nanyang.
Lulusan program bahasa Melayu dari kedua-dua institusi pengajian tinggi itu kemudiannya banyak berkhidmat sebagai guru, pensyarah, penulis, penterjemah, wartawan dan sebagainya. Misalnya, Cheng Song Huat, seorang graduan pengajian Melayu di Kolej Ngee Ann pernah berkhidmat di Berita Harian sebagai Editor.
Pakar sastera Melayu, mendiang Dr. Liaw Yock Fang juga seorang graduan dari Universiti Nanyang. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Indonesia dan Universiti Leiden, Belanda. Sepanjang kerjaya akademiknya, beliau banyak menyumbang dalam pengayaan kajian kesusasteraan Melayu.
Semua kisah yang tergambar di atas membuktikan masyarakat Cina pernah memperlihatkan minat dan komitmen padu lagi menyerlah terhadap bahasa Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan negara.
Pada 1972, Dasar Pelajaran Kebangsaan diluluskan di Parlimen dan sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di seluruh negara menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama secara berperingkat. Mulai 1975, semua pelajar yang memasuki kelas peralihan di SMK merupakan kumpulan aliran kebangsaan yang pertama di Semenanjung. Semua mata pelajaran disampaikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya kecuali Bahasa Inggeris. Faktor ini menjadikan kelas-kelas bahasa kebangsaan di luar sekolah dirasakan tidak perlu lagi.
Di samping itu, kaum Cina juga memperlihatkan kegigihan dalam kerja-kerja perkamusan dwibahasa sejak kemerdekaan negara. Kamus-kamus dwibahasa dalam bahasa Melayu-Cina yang penting termasuklah Kamus Melayu-Tionghoa, Kamus Berguna Bahasa Melayu-Tionghoa-Inggeris, Kamus Umum Bahasa Malaysia, Kamus Sari, Kamus Am Terbaharu Bahasa Malaysia, Kamus Perdana dan Kamus Kembangan.
Lim Huan Boon, Lu Po-yeh, Yang Quee Yee, Chan Meow Wah, Chong Swee Huat, Cheng Song Huat, Tan Ah Leong, Liew Teck Onn dan Lai Choy merupakan antara beberapa pekamus dwibahasa berwibawa dalam bidang leksikografi tanah air. Kamus-kamus yang dihasilkan mereka memudahkan guru dan pelajar kaum Cina dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Bagaimanapun, kaum Cina didapati lebih mengutamakan bahasa Cina dan dialek suku kaum dalam kehidupan harian. Bahasa Melayu hanya digunakan apabila mereka berurusan dengan kakitangan kerajaan, orang Melayu dan kaum lain dalam urusan perniagaan dan politik.
Kesimpulannya, kaum Cina sesungguhnya kekurangan peluang mempraktikkan bahasa Melayu secara meluas kerana masalah segregasi warganegara yang serius. Dengan ini, peluang bergaul dengan kaum lain memang terhad.
Keadaannya lain pula bagi kaum Cina dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis disebabkan persekitaran belajar bahasa Melayu yang lebih kondusif.
Kita bersyukur, pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara sesungguhnya berjaya melahirkan generasi kaum Cina yang lebih mahir dalam bahasa Melayu berbanding dengan generasi terdahulu. Mudah-mudahan, kecintaan dan kegigihan kaum Cina dalam menguasai bahasa Melayu akan terus berkembang dan mencapai tahap yang lebih memuaskan. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.











