MENGIKUT statistik Kementerian Pendidikan, peratusan bukan Cina daripada jumlah murid yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) meningkat daripada 11.8 peratus pada 2010 kepada 19.8 perartus pada 2020. Ini menunjukkan bahawa ibu bapa bukan Cina di negara kita semakin berminat menghantar anak mereka ke SJKC.
Sering diperkatakan bahawa pada era yang tiada telefon bimbit sekitar 1970-an dan 1980-an, SJKC mampu menghasilkan murid-murid yang pintar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Ramai pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memilih aliran sains terdiri daripada mereka yang bersekolah rendah di SJKC. Mereka berupaya menyambung pelajaran ke tahap universiti khusus dalam aliran sains seperti kedoktoran, perubatan, kejuruteraan, komputer, teknologi maklumat dan sebagainya.
Walaupun tiada bukti nyata bahawa SJKC lebih superior daripada sekolah aliran lain, pada pendapat saya, pencapaian akademik dalam sains dan matematik ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Cina dan sistem pelajaran di SJKC yang mementingkan membaca, menghafal dan mengira di samping disiplin ketat untuk murid-muridnya.
Sesungguhnya pada zaman itu, budak-budak Cina yang masih belum ke sekolah berpeluang mempelajari pengiraan melalui permainan tiga kad poker yang tidak melibatkan wang walaupun sesetengah ibu bapa melarang permainan ini kerana ia berunsur perjudian. Permainan ini lebih aktif pada perayaan Tahun Baharu Cina kerana pengajaraan kuno sering mengatakan ‘perjudian kecil-kecilan menghiburkan hati’, tetapi perlu diperingatkan juga bahawa ‘perjudian besar-besaran menjahanamkan diri.’
Setiap permainan kad ini memerlukan pengiraan markah. Pada awalnya, mereka mengira markah dengan jari. Lama-kelamaan cara pengiraan dimajukan dengan congak, iaitu aritmetik mental. Maka budak-budak ini telah mempelajari matematik asas secara tidak langsung pada usia antara enam hingga tujuh tahun.
Dalam pada itu, permainan catur Cina (Chinese chess) juga memainkan peranan penting dalam latihan fikiran strategik dan pengetahuan bahasa Cina. Berlainan dengan catur Barat (chess) yang buah caturnya dalam bentuk objek, buah catur Cina dalam tulisan Cina. Tambahan pula, papan catur Cina tertulis dengan pepatah Cina yang bermakna. Pemain perlu menghayati setiap tulisan bahasa Cina tersebut dan sifat permainannya. Maka budak-budak ini dapat mempelajari bahasa Cina dan meningkatkan daya pemikiran secara tidak langsung pada peringkat awal sekolah rendah.
A HINGGA Z
Terdapat juga sesetengah murid yang lemah dalam mata pelajaran lain tetapi cemerlang dalam Matematik. Golongan murid ini kebanyakannya berasal dari keluarga yang berniaga sama ada di kedai runcit atau gerai makan di pekan. Mereka mula berkecimpung dalam perniagaan semasa kecil kerana menolong ibu bapa. Pengalaman urus niaga dan pengutipan wang daripada pelanggan turut melatih daya pengiraan mereka.
Sering diperkatakan juga, bahasa Cina sukar dipelajari. Berlainan dengan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang mana pelajaran asasnya cuma perlu mengingati sejumlah 26 huruf daripada A hingga Z, tetapi pelajaran asas bahasa Cina mempunyai beratus-ratus huruf yang perlu dikenal pasti oleh pelajar. Maka pembelajaran bahasa Cina turut melatih daya ingatan seseorang.
Begitu juga dengan sebutan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu boleh dibimbing dengan mempelajari sebutan asas seperti se, ko, lah (sekolah). Namun, sebutan cara ini tidak terdapat dalam bahasa Cina. Setiap sebutan huruf bahasa Cina adalah berlainan. Malah terdapat empat jenis nada sebutan yang perlu difahami. Pelajar perlu mengingati sebutannya secara mati-matian. Maka pembelajaran sebegini juga memperkasakan daya ingatan seseorang.
SEKEPING
Selain itu, huruf bahasa Cina yang sama boleh membawa erti berlainan bergantung pada ayat yang digunakan. Misalnya, ‘sekeping’ dalam bahasa Melayu disebutkan sebagai yi kuai dalam bahasa Cina. Namun, sebutan yi kuai juga bermaksud ‘bersama-sama’ atau ‘satu ringgit.’ Pembelajaran cara ini sesungguhnya menguji daya pemikiran dan kreativiti seseorang.
Berkenaan disiplin pula, SJKC amat mementingkan peraturan-peraturan sekolah yang berdasarkan kesedaran tentang adab, soleh, maruah dan kejujuran. Penghormatan kepada guru-guru amat ditegaskan di SJKC. Banyak kerja rumah merangkumi latihan menulis, mengira dan menghafal diberikan dan penghantaran kerja rumah mesti mengikut masa yang ditetapkan oleh guru. Proses ini memang dapat melahirkan murid yang berdisiplin, rajin dan tabah.
Pernah dikritik bahawa murid SJKC kurang berucap dan jarang memberi pendapat. Namun, kelemahan ini telah diatasi melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang menggalakkan personaliti murid lebih sporting.
Memang sukar untuk belajar setiap bahasa pada mulanya, namun akhirnya bahasa dapat dikuasai kerana sikap belajar yang tabah dan minat tinggi. Begitu juga bagi bukan kaum Cina yang telah menguasai bahasa Cina.
Ini telah dibuktikan oleh salah seorang guru Melayu di Johor, iaitu Cikgu Zazah yang mahir menguasai Mandarin sehingga menguruskan Kelas Mandarin Cikgu Zazah yang kian popular. Pelajarnya semakin berkembang menerusi media sosial. Hasil ini berkat daripada usaha bersungguh-sungguh beliau, bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. – UTUSAN
PENULIS ialah bekas pengarah eksekutif dalam bidang pemasaran selama 34 tahun. Kini menjadi perunding pemasaran bebas.










