Betulkan niat kalau nak jadi calon

Betulkan niat kalau nak jadi calon

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

‘LANGKAH Sheraton’ menjadi sejarah hitam buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila ditumbangkan oleh ‘katak politik.’

Namun, kerajaan Negeri Sembilan berjaya mengelak episod lompat parti dan mengekalkan kepimpinan PH walaupun hanya mempunyai perbezaan empat kerusi dengan pembangkang.

Di bawah pimpinan Menteri Besar, DATUK SERI AMINUDDIN HARUN, Negeri Sembilan kini tersenarai sebagai salah sebuah negeri ‘bahagia.’
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN serta jurufoto, SHAHJEHAN MAAMIN.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR menyatakan pandangan berhubung persediaan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ikuti temu bual tersebut di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana penerimaan rakyat Negeri Sembilan terhadap PKR?
AMINUDDIN: Dalam tempoh empat tahun ini, kita melihat masyarakat telah mengenali PKR dan PH yang mentadbir Negeri Sembilan dan saya berharap dalam tempoh ini mereka menerima agenda atau inisiatif serta program PH.

PKR juga dilihat baik apabila keahlian di negeri ini pada PRU14 hanya 14,000 dan kini mencecah 60,000 orang. Ini merupakan satu petanda yang baik.
Kita berharap penyertaan ini menunjukkan kita telah diterima dan masyarakat sudah semakin berani untuk menunjukkan sokongan mereka kepada PKR.

Menghadapi PRU15, adakah PKR akan tampil dengan muka-muka baharu sebagai calon?
Kita pastinya akan mencadangkan beberapa nama dan tiba masanya perlu ada pelapis dan mungkin kita juga kena beri ruang sedikit. Tapi kita juga perlukan pelapis itu untuk memang bersedia menjadi calon, turun padang dari sekarang dan memahami apa kehendak rakyat, ini yang paling penting sekali.

Kita tidak boleh letak calon-calon pelapis yang baharu, tidak memahami agenda perjuangan parti, agenda PKR itu sendiri, agenda PH dan akhirnya merugikan kita. Jadi, biar masyarakat melihat sebenarnya calon-calon kita pilih ini juga untuk rakyat lihat kemampuan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Tidak semestinya kita letak orang baharu tetapi mereka lihat bahawa setakat anak muda ataupun tiba-tiba angkat mereka tetapi rakyat rasa mereka ini belum boleh berikan khidmat terbaik kepada semua pengundi. Jadi, saya nak mereka lihat latar belakang, apakah peranan yang dilakukan sebelum ini? Saya minta anak-anak muda yang ingin menawarkan diri supaya betulkan niat mereka, memang untuk berikan satu sumbangan kepada kejayaan negara dan negeri serta masyarakat yang mereka ingin wakili.

Siapakah pelapis selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Kita ramai tokoh, anak muda dan saya rasa ramai generasi pelapis dan kita lihat mungkin mereka belum diberi ruang tetapi kalau mereka diberi ruang, pastinya ramai tokoh muda disukai oleh rakyat itu sendiri.

Banyak, kita ada pelapis. Kalau kita katakan lapisan pimpinan kita ramai, jadi tidak mustahil PKR mempunyai pimpinan ataupun pelapis berpotensi yang telah diuji dan melalui banyak cubaan serta dugaan.

Keputusan untuk mengangkat Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak pernah berubah?
Itu memang agenda dari awal lagi sejak kita tubuhkan Pakatan Rakyat, kemudian PH. Tapi apabila ada pengkhianatan, agenda tersebut telah bertukar dan kita sedia maklum bahawa kita ingin memberi ruang kepada Anwar iaitu seorang tokoh yang kita rasakan memang mempunyai kelayakan, amat sesuai sekali untuk mentadbir negara dalam keadaan negara hadapi banyak masalah seperti sekarang.

Dengan hubungan luarnya yang baik di seluruh dunia dan saya yakin kalau beliau jadi Perdana Menteri, akan memberikan satu kebaikan buat negara dan rakyat. Kita juga berharap apa yang selalu kita katakan iaitu reformasi, bukan setakat reformasi tertentu tetapi keseluruhannya itu dapat dilaksanakan.

Walaupun kita dahulu diberikan ruang 22 bulan tetapi banyak agenda reformasi, kempen-kempen kita yang lepas tidak dapat dilaksanakan oleh kerana pimpinan yang terdahulu tidak pernah mengalami awal perjuangan itu. Di sinilah kita lihat bahawa banyak agenda reformasi itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Mengenai lompat parti, adakah ia perlu melibatkan sekali di peringkat negeri?
Ia penting untuk kestabilan politik kerana rakyat tidak turun mengundi berikutan mereka menyampah, marah dan kerana rasa di peringkat atasan itu hanya memikirkan jawatan mereka. Rakyat melihat keseluruhannya, tetapi di peringkat pimpinan pula kita lihat mereka mempunyai masalah apabila ada khianat, lompat parti.

Di dalam parti pasti ada masalah tetapi bagaimana itu tidak memberi kesan kepada rakyat, tetapi apabila bertanding atas satu tiket, mereka mesti akur atas tiket itu sampai bila-bila, sampai akhir penggal. Apabila bubar, terpulang kepada mereka untuk ke arah mana.

Tetapi bertanding mewakili parti itu, mereka harus dalam parti tersebut dan kita di kerajaan negeri berharap bahawa undang-undang anti lompat parti ini dapat diterjemahkan mengikut lunas undang-undang, hak-hak sebagai rakyat Malaysia. Sebagai sebuah pertubuhan, saya rasakan ia dapat diselesaikan lebih awal.

Jika melihat kepada strategi menghadapi PRU15, kepentingan untuk Datuk Seri kekal di Sikamat?
Kalau saya balik ke Sikamat, saya akan bekerja untuk pastikan Sikamat akan menang, walaupun orang lain yang akan bertanding di situ. Kalau saya datang ke Port Dickson, saya kena bekerja kuat untuk pastikan orang-orang Port Dickson yang bertanding itu menang, tidak kira siapa.

Saya amat selesa dengan penduduk Sikamat, saya sayang mereka dan saya rasa kami seperti keluarga besar dan apa yang berlaku itu pastinya mereka tertanya-tanya.

Mula-mula mereka (pengundi Sikamat) berasakan saya akan bertanding di Tampin kemudian mereka fokus kata saya akan bertanding Parlimen Port Dickson, tetapi saya kata itu kuasa Presiden tetapi saya tetap sayang Sikamat.

Saya amat selesa jika bertanding semula di Sikamat kalau diizinkan. Kalau diarahkan, saya tetap akur dengan apa juga yang diarahkan.

Tidak mustahil PH menang lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan?
Kita positif untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada PRU akan datang dan tumpuan juga diberikan kepada keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN). Tidak mustahil untuk kita menang di kerusi yang kita rasa tidak masuk akal.

Dahulu sama juga, kita tidak mempunyai jentera. Kita tidak ada ketua kampung, ahli majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti hari ini tetapi kita mampu memenangi PRU14. Hari ini, kita ada semua itu dan mengikut isu semasa di Negeri Sembilan, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi tambahan.

Itu boleh berlaku dengan kerja kuat, tumpuan dan taktik mereka sendiri. Ini tidak bermaksud yang kita boleh abaikan faktor luaran yang membuatkan kita terlalu yakin yang kita boleh menang. Itu kita tidak boleh elakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×