PENGUBAHAN wang haram ialah proses menjadikan wang atau aset yang diperoleh daripada aktiviti haram kelihatan sah. Ia merupakan proses mencuci wang ‘kotor’ bagi menyembunyikan sumber asalnya daripada aktiviti haram seperti rasuah, penipuan, pengedaran dadah, keganasan, pelacuran dan perjudian haram.
EKONOMI BAWAH TANAH
Wang merupakan sebab utama untuk terlibat dalam aktiviti jenayah dan matlamatnya adalah untuk memasukkannya ke dalam sistem kewangan termasuk mata wang kripto dan urus niaga kewangan rentas sempadan.
Ekonomi bawah tanah seiring dikaitkan dengan aktiviti jenayah menghasilkan antara 20 hingga 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan suka atau tidak, juga membiayai ekonomi kita dengan skala besar.
3 PERINGKAT
Berikut ialah tiga langkah untuk membersihkan wang tersebut:
1. Penempatan: Pemindahan tunai haram yang memasuki sistem kewangan (melalui pindahan kawat dan pemindahan dana ke luar pesisir).
2. Lapisan: Proses di mana wang itu diasingkan dari sumber asal haram.
3. Integrasi: Akhirnya, wang memasuki semula sistem kewangan dan ekonomi melalui pelaburan yang sah.
UNDANG-UNDANG
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Di bawah kesalahan AMLATFPUAA 2001 boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin dalam artikel yang ditulisnya berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham tentang kegunaan kompaun sebagai salah satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan akta tersebut.
Dalam pemikiran biasa, seseorang yang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum penjara, denda tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri. Namun, realiti jauh lebih kompleks.
Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui mata wang digital atau syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai proksi untuk menyembunyikan harta mereka supaya sukar dikesan SPRM.
Selalunya ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan. Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.
SEMANGAT AKTA
Dalam konteks ini, adalah penting untuk memahami inti pati atau semangat Akta Pengubahan Wang Haram yang berbeza daripada akta-akta lain termasuk Kanun Keseksaan. Menurut Mohamad Zamri, apa yang penting, sesuatu tindakan itu lebih praktikal untuk mendapatkan semula aset yang disita dan dirampas dikembalikan kepada rakyat melalui Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan serta melumpuhkan sindiket.
Seseorang pesalah juga boleh terlepas atas faktor teknikal sewaktu proses rayuan yang melibatkan masa panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun dan apabila dibebaskan, tidak mustahil dia masih boleh mengakses duit haramnya atau dilabur secara sah melalui proksi mereka.
Seseorang pesalah pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan pula yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda, ada kemungkinan pendakwaan kes tersebut mengambil beberapa tahun untuk membuktikan tanpa keraguan kesalahan. Apa yang dinyatakan Mohamad Zamri ada benarnya. Lagipun, adalah tidak tepat jika dibuat perbandingan antara kes pengubahan wang haram dengan Kanun Keseksaan.
STRATEGI PEMULIHAN ASET
Sebaliknya, beberapa strategi mampu untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA. Antaranya pendakwaan jenayah, pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik-pemilik sah dan pemulihan aset daripada orang-orang yang melarikan diri.
Pemilihan strategi digunakan bergantung kepada kesesuaiaJn, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi-saksi yang bergantung kepada perjanjian-perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.
DENDA KOMPAUN
Sangat tepat bila dikatakan kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh seperti kes di bawah Kanun Keseksaan.
Kompaun sama sekali tidak menunjukan tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayarnya merupakan satu pengakuan kesalahan.
Memang tepat, strategi ini menjimatkan kos dan masa dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang.
Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh mahkamah.
KEJAYAAN SPRM
Sehubungan ini, SPRM berjaya mencapai sebanyak 45 peratus dalam pemulihan aset atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Di dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB. Antaranya 80 individu dan entiti yang dikenakan notis-notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta daripada 1MDB.
KAEDAH PEMIKIRAN LUAR KOTAK
Ramai rakyat disiasat dan didakwa oleh SPRM. Seseorang politically exposed person mempunyai risiko lebih tinggi untuk terlibat dalam pengubahan wang haram kerana jawatan yang dipegang. Mereka berfikir di luar kotak untuk membersihkan wang haram dengan pelbagai cara.
Selain perniagaan dan peruncitan, pembiayaan politik, pilihan raya atau menubuhkan badan kebajikan adalah salah satu kaedah bukan konvensional yang digunakan untuk mencuci wang haram mereka.
Wang haram adalah satu sumpahan yang tidak berani dibangkitkan dalam pilihan raya akan datang (dirty cash is a curse that dares not speak its name in the upcoming election). Mereka sepatutnya mengelak daripada pengubahan wang haram kerana ia meracuni dan meninggalkan kekotoran pada demokrasi kita yang tidak akan hilang dengan mudah.
DATUK Seri Akhbar Satar ialah Pengarah dan Pemegang Kursi Profesor, Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP.










