Pada 20 Mei 2023, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjangkau 40 tahun. Selama ini, UIAM menjelajah jauh dari kampus awalnya di Petaling Jaya pada 1983 apabila mula bertapak di Malaysia sehinggalah ke kampus tetap di Gombak, kemudian Kuantan, Gambang dan terkini, Pagoh. Bilangan pelajar melonjak kepada anggaran 30,000 mewakili lebih 100 warganegara seluruh dunia, kebanyakan dari negara dan wilayah Muslim. Pelbagai kursus yang menjalinkan ilmu wahyu dan manusiawi melibatkan bidang ilmu terkini turut ditawarkan. Ini pendekatan agak menarik, unik dan memberangsangkan.
Jelas keunikan ini amat menyerlah dan merupakan satu tanda mercu sebuah institusi pendidikan antarabangsa yang disegani. Apatah lagi, idea yang menunjanginya dapat dijejaki kepada kebijaksanaan pendeta Za’ba pada awal 1900-an lagi, sekitar 1917. Mungkin tidak ramai mengetahuinya, jika tidak terbit daripada Rektor ketiga UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Mohd. Kamal Hassan dalam sebuah seminar bersejarah pada 2019. Sekali gus ia menjadi kebanggaan negara kerana berjaya mempelopori suatu pemikiran berani untuk mencorakkan perkembangan ilmu secara baharu dan rentas bidang.
Pendek kata, banyak lagi sejarah dan pencapaian yang tersimpan dan tidak ketahui umum selama ini. Maka sampailah masanya ia dikongsikan menjelang ulang tahun ke-40 kelak. Serentak melenyapkan keraguan tentang keberadaan UIAM di bumi bertuah ini setelah begitu lama. Lagi pun, angka 40 sering mempunyai maksud mendalam dalam sejarah serta budaya Islami melibatkan Rasullullah SAW.
TAMADUN
Usaha ke arah mengalirkan UIAM40 telah pun dilangsungkan minggu lalu di kampus Kuantan. Ini juga sebagai merakamkan pengiktirafan serta pencapaian sejak begitu lama. Jika Gombak diberi penghormatan pada 2001 menjejaki sejarah UIAM, 20 tahun kemudian giliran Kuantan pula. Apatah lagi kampus tersebut lebih menumpukan kepada bidang perubatan, kesihatan termasuk pergigian dan farmasi serta kesihatan bersekutu dan sains amnya. Begitu juga Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (Sasmec) tersergam indah. Sasmec antara lain merupakan hospital pengajaran yang patuh syariah pertama di Malaysia, malah satu-satunya hospital menempatkan kemudahan susu bonda sebagai sumber perkhidmatan umum.
Semasa pandemik, Sasmec turut menawarkan perkhidmatan suntikan Covid-19 untuk masyarakat awam. Kemudiannya memberi suntikan penggalak seperti yang disyaratkan. Semua ini menggambarkan betapa UIAM amnya dan kampus Kuantan khususnya bersedia memberi sumbangan terhadap anggota masyarakat setempat dan antarabangsa seadanya. Ini belum lagi mengambil kira semua kulliyyah (yakni fakulti) yang mengasuh para pelajar dalam bidang masing-masing. Istilah ‘mengasuh’ sengaja digunakan dengan tepat untuk menunjukkan proses pengajaran dan pembelajaran diselenggarakan bersama penerapan nilai-nilai Islami sederap. Maka watak serta akhlak para pelajar serta kakitangan tidak terabai dalam melaksanakan pendidikan yang mengakari roh tersendiri sesuai dengan fitrah seorang Muslim.
Pendekatan ini didapati amat berkesan untuk membangunkan sahsiah yang selaras dengan wawasan UIAM, meningkat kualiti kehidupan insan serta tamadun. Ini cukup bermakna dalam bidang-bidang perubatan, kesihatan serta sains, khususnya semasa pandemik yang jelas menggugat kualiti kehidupan manusia sejagat dan ketamadunannya.
BERSYUKUR
Aliran pemikiran ini dinyalakan lagi melalui semangat rahmatan lil ‘alamiin yang merupakan salah satu mutiara kata UIAM selain daripada khalifah, amanah dan iqra’ dalam kerangkanya. Maksudnya, usaha yang diambil tidak terbatas kepada mana-mana kumpulan atau kelompok tertentu sahaja. Bahkan ia mempedulikan segala kejadian Ilahi sebagai amanah yang wajar disempurnakan sebaik mungkin. Sebagai contoh, satu-satu agak ketara adalah kelompok mak nyah yang mendapat perhatian khusus oleh kampus Kuantan sebagai insan yang turut bermaruah serta mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat. Ini berteraskan kajian yang menjangkau lebih satu dekad serta mendalam. Ini membolehkan UIAM memahami dengan lebih dekat lagi ketidak selesaan kumpulan tersebut selama ini. Lantas langkah-langkah sesuai dapat dilangsungkan secara beransur-ansur sehingga banyak ‘lorong gelap’ dapat ditutup bak petanda awal yang kemaksiatan dapat diredakan demi keinsafan masing-masing ekoran tindakan Kulliyyah Perubatan UIAM. Ada antara anggota mereka yang selamat melakukan ibadah haji ataupun umrah. Lebih ramai mula melakukan fardu ain, terutama mendirikan solat.
Kesemua yang diterakan di atas adalah sekadar memperkenalkan kelainan UIAM di Kuantan khususnya. Perkhidmatan lain termasuk aktiviti-aktiviti ilmiah serta penyelidikan misalnya, berjalan tidak ubah seperti universiti lain. Namun begitu, ruang lingkup rahmatan lil ‘alamiin memberi satu lagi kelebihan UIAM seantero. Maka untuk keterhadapan, pelbagai aktiviti boleh dimajukan berpandukan Rancangan Malaysia Ke-12 yang mirip kepada Maklumat Pembangunan Lestari (SDG). Hanya bagi UIAM ia juga melibatkan maqasid syariah sebagai landasan utamanya dalam memaknakan lagi SDG dari sudut Islam. Termasuk urusan kerohanian sebagai matlamat tambahan (SDG 18). Serentak mempertahankan addin, nyawa, akal, keturunan serta sumber harta, termasuk alam sekitar. Ini juga menepati salah satu misi UIAM sejak lebih 25 tahun lampau.
Ringkasnya, peranan UIAM 40 tahun ke hadapan lebih cerah walaupun mencabar. Pun begitu, persediaan untuk bekerjasama sesama sendiri dan pihak lain sudah membudaya dan membawa kesan yang menguntungkan hasil olahan kreatif pendidikan dan pembangunan alami yang dianjurkan. Dengan tertubuhnya Yayasan MySDG oleh kerajaan baru-baru ini akan lebih memberi kesempatan untuk menyempurnakannya lagi sesuai dengan wawasan UIAM sendiri. Ia membuka suatu initiatif terpenting untuk merekayasa masa hadapan yang lebih sejahtera buat generasi muda dan pendidikan pascapandemik dalam acuan kita sendiri. Di atas kesemua ini kita wajar bersyukur dan bersama-sama menongkah arus.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










