Raih 8-10 bantuan seorang… mana silapnya? - Utusan Malaysia

Raih 8-10 bantuan seorang… mana silapnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAKAP-CAKAP ramai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terima sampai lapan hingga 10 bantuan seorang serentak hinggap di telinga Mingguan Malaysia.
Hasilnya mereka ini ‘buat duit’ dengan sebahagian penerima bantuan memperoleh sehingga RM10,000 sebulan dalam bentuk wang tunai.
Kenapa tidak ada penyelarasan dan kawalan, sehingga menafikan hak orang lain?
Saya kira Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat harus berbuat sesuatu. Kelak dikhuatiri menyebabkan golongan ini enggan cari sumber pendapatan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan tersebut.
Walaupun bantuan tersebut dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan, namun tidak sewajarnya ia disalah guna sehingga menyebabkan penerima tidak mencari pekerjaan tetap untuk menjamin kehidupan yang lebih baik.
Usaha untuk mengelakkan pertindihan bantuan ini bukan sahaja akan menyelaraskan peruntukan agensi-agensi di bawah kementerian Datuk Seri Rina Harun yang difahamkan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk tujuan itu sahaja. Tetapi yang lebih mustahak lagi dapat mengelakkan pertindihan dengan kementerian lain.
Menerusi pengumpulan data yang efisien, peruntukan dapat disalurkan kepada penerima yang benar-benar memerlukan sahaja. Ini sampai yang berduit pun boleh menikmati bantuan JKM, ‘lagu mana ni’.
Kita mahu mereka ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan. Mereka harus keluar daripada kehidupan lama dan cari pekerjaan untuk kelangsungan hidup. Ini untuk masa depan mereka dan keluarga.
Menerusi Bajet 2022, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima peruntukan RM2.682 bilion dengan peningkatan sebanyak 4.56 peratus berbanding tahun 2021.
Peruntukan bajet itu memberi manfaat kepada kumpulan sasar utama yang merupakan golongan rentan terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, wanita, pengusaha taska, golongan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Ia berasaskan kebajikan untuk berdepan cabaran yang mendatang dan meneruskan aktiviti atau kehidupan dalam sama-sama menyumbang ke arah agenda pembangunan negara.
Usaha menyelaraskan bantuan perlu digerakkan. Jangan salah anggap, ia bukan untuk menafikan hak sebagai penerima bantuan-bantuan (yang bertindih). Sebaliknya mereka perlu diberi peluang menyertai pelbagai program lain yang mampu memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
Ini juga untuk mengelakkan tanggapan bantuan JKM itu ‘untuk sepanjang hayat’. Malah, pernah ramai yang berusia 60 tahun mengadu kepada akhbar ini yang mereka tidak lagi terima bantuan. Sedangkan realitinya tidak begitu. Bukan tanggungan sepanjang hayat.

Jangan bosan satukan bangsa

KLISE, tetapi saya perlu senantiasa uar-uarkan ini. Sekiranya parti-parti politik Melayu masih berpecah macam sekarang, amat mudah untuk Malaysia ini diperintah pihak bukan majoriti.
Majoriti orang Melayu dengan Bumiputera 69 peratus, Tionghoa 23 peratus dan India, 7 peratus, kenapa orang Melayu dan pemimpin hebat mereka tidak nampak semua ini supaya menterjemahkan populasi negara kepada perpaduan?
Tetapi, hendaklah dengan mereka mesti berperisaikan anti rasuah, kejujuran dan undang-undang yang dimaktub di bawah Rukun Negara serta dalam perlembagaan.
Kita tidak mahu nanti seolah-olah ada satu jarum yang kita tidak nampak, dengan kelindannya membawa benang lain, yakni benang kelompok tertentu sahaja. Sekali gus pandangan yang membawa kepada perpaduan ataupun kepada semarak bersatunya bangsa Melayu dan Islam tidak diperjuangkan.
Orang Melayu harus menilai ini dengan melihat di mana kesungguhan anti rasuah kita. Di mana kesungguhan kita menjelmakan dasar-dasar dahulu untuk mengukuhkan bangsa Melayu dan Bumiputera. Orang Tionghoa tidak akan marah sebab mereka tahu kedudukan mereka di sisi perlembagaan.Tetapi kalau majoriti adil dan progresifnya hebat, minoriti yang ada dalam kalangan Tionghoa dan India akan bersama.

Waspada

Jadi, nilai yang ada harus dibawa menerusi apa yang telah dizahirkan oleh perkembangan sejak tiga tahun lalu. Andai kita tengok parti-parti politik hari ini, kelihatannya tidak mampu bawa perpaduan. Mungkinkah rakyat hendak mencari perpaduan di arena lain?
Itu kita tidak tahu. Mungkin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) atau perjuangan lain, kita belum nampak. Tetapi parti politik harus berwaspada risiko jika tidak membawa perpaduan kepada ideal yang hendak dicapai oleh masyarakat.
Hari ini, perlembagaan parti tidak lagi penting. Tetapi yang mahu dilihat rakyat adalah dasar yang paling besar sekali. Adakah parti itu membawa pengertian perjuangan seperti mana perlembagaannya?
Pada masa ini juga rakyat bertanya apa terjadi kepada sistem pentadbiran jenayah dan pentadbiran mahkamah? Kita tidak payah hurai banyak, kalau satu kes itu memakan masa satu tahun empat bulan belum lagi didengar rayuannya, rakyat sudah mula boleh persoalkan apa nak jadi. Tetapi banyak ramai mana yang nak menanya macam itu?
Sebab mereka mungkin di saat akhir sehari sebelum pilihan raya, beroleh sesuatu dalam gelap, itu kita tidak dapat jawab, Wallahualam. Tetapi akibat pecahnya nilai pentadbiran, keadilan tidak muncul. Dan isu ini kalau tidak timbul dalam pilihan raya ini, kita akan tercengil-cengil kehairanan
Orang Melayu tidak boleh bosan dengan isu menyatukan semula bangsanya. Jangan bosan.
Saya tergolong kepada yang suka melihat orang Melayu sebagai majoriti populasi memimpin terus dan diikuti dengan keadilan kepada masyarakat lain. Baru kita dapat menyemarakkan semangat untuk memajukan negara dalam tahap akan datang.
Yang penting, kita tidak mahu negara ini dalam kancah paling teruk konflik masa depan. Dan sehingga menyebabkan undang-undang anti rasuah dan perlembagaan boleh dicampak keluar – satu `aura baharu’ – sekali gus tercetus huru-hara. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×