Peluang keluar daripada ‘sengsara’ - Utusan Malaysia

Peluang keluar daripada ‘sengsara’

MOHD. ZULHAZRI AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DALAM keadaan negara yang masih lagi menyaksikan pasang surut ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan Bazar Kreatif di bawah program Usahawan Anak Muda Kota di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur dalam usaha memastikan golongan B40 keluar daripada kepompong kemiskinan dengan mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pengurus iQP Solutions, MOHD. ZULHAZRI AZMI berharap lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan seperti mana sunnah Rasulullah SAW dalam memajukan diri dan ekonomi keluarga.

Baginya, tiada alasan untuk seseorang berjaya selagi mana mereka mahu berusaha, tidak berputus asa, bijak menggunakan peluang yang ada selain tidak malu menuntut ilmu.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR dalam memahami objektif pembukaan bazar bagi membantu golongan peniaga kecil bersaing secara sihat dalam pelbagai sektor perniagaan.

UTUSAN: Ceritakan mengenai Bazar Kreatif?
MOHD. ZULHAZRI: Bazar ini mula beroperasi sepenuhnya pada Oktober tahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Inisiatif ini merupakan program kerjasama YWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan peluang perniagaan kepada golongan B40 di Lembah Klang yang ingin meningkatkan taraf hidup.

Sehingga kini, lebih 100 gerai dibuka dan kami dalam perancangan untuk menubuhkan pusat latihan bagi memudahkan peniaga kecil-kecilan mempelajari teknik pemasaran digital seperti fotografi dalam membantu mereka memperluaskan perniagaan.

Buat masa ini, kami menerima antara 100 hingga 500 pengunjung sehari dan jumlah meningkat pada hujung minggu kerana pusat beli-belah Berjaya Times Square menjadi tumpuan orang ramai dan keluarga. Dan ini memberi kelebihan kepada bazar ini.

Berapa ramai anak muda terlibat?
Tujuh puluh peratus peniaga di sini terdiri daripada anak muda, lima orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan lain-lain.

Ada dalam kalangan mereka yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja sejak penularan Covid-19, ada yang menganggur dan tidak kurang yang sanggup berhenti kerja atau meninggalkan lokasi perniagaan lama untuk berniaga di sini kerana mereka melihat peluang lebih besar dan cerah apabila menyertai Bazar Kreatif.

Mereka ini datang dengan satu impian, iaitu mahu mengubah kehidupan dengan berniaga makanan, makanan ringan, barangan antik, pakaian, pakaian terpakai, kraftangan, barangan kesihatan dan penjagaan diri.

Apa kelebihan inisiatif ini?
Peniaga di sini berniaga secara percuma setiap hari, maknanya tapak perniagaan mereka ditaja oleh YWP. YWP membelanjakan kira-kira RM100,000 dalam program ini dengan harapan dapat membantu menaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah dan yang memerlukan.

Selain itu, mereka dibimbing melaui pusat latihan yang diwujudkan di tapak bazar itu untuk berniaga secara dalam talian seperti di media sosial atau platform e-dagang.

Mereka diajar untuk membuat live, ambil gambar produk, promosi produk secara blast posting agar mereka dapat menjana lebih lagi pendapatan.

Apa kelebihan atau impak pusat latihan tersebut?
Ia memberi banyak manfaat apabila masyarakat luar datang ke bazar ini. Selain itu, lebih ramai usahawan walk-in semata-mata ingin belajar ilmu pemasaran digital oleh pakar-pakar dalam bidang ini selain ia akan menjadi pusat sehenti pembelajaran untuk mana-mana usahawan yang memerlukan sokongan atau bimbingan sama ada berkaitan perniagaan secara dalam talian ataupun fizikal.

Melalui ilmu yang disampaikan oleh pakar perniagaan daripada program e-usahawan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan pakar motivasi, Datuk Mohd. Fadzilah Kamsah pada Konvensyen Pemasaran Digital 2022 (dalam talian) hujung bulan ini. Saya percaya mereka boleh berjaya dan mencapai sasaran seperti diinginkan.

Harapan anda?
Jangan sia-siakan peluang ini yang mungkin sekali dalam hidup. Ilmu yang ingin dikongsi perlu disambut agar dapat memajukan diri dan keluarga kerana ia akan membantu memaksimumkan pendapatan.

Kita mahu peniaga ini memproleh pendapatan daripada dua sumber, iaitu secara fizikal dan secara dalam talian. Kita mahu melihat mereka berjaya. Kita mahu mereka setanding peniaga-peniaga yang sudah ada nama. Kita mahu mereka membina empayar perniagaan sendiri.

Kita juga mahu mereka terus bersemangat berdepan pelbagai cabaran mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×