Fahami, hormati kewujudan banjir - Utusan Malaysia

Fahami, hormati kewujudan banjir

KITA akan menganggap kejadian banjir besar sebagai fenomena biasa jika kita menghormati kewujudannya. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATA pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Apabila banjir luar biasa berlaku, macam-macam penyesalan dan rintihan menerobos ke benak kita. Antaranya, mengapa berlaku juga kematian walaupun ada penyelamat datang membantu? Mengapa bantuan tidak dapat diberi walaupun jarak pasukan penyelamat tidak berapa jauh dengan mangsa terperangkap?

Sebenarnya semua bersebab, tidak terjadi tanpa alasan kukuh. Sebagai manusia biasa, kita jangan lupa dengan fitrah alam sebelum menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Air tidak akan melimpah tanpa ada punca sama ada dari hulu mahupun hujan.

Kita perlu belajar menghargai alam dengan sebaik-baiknya. Subjek Geografi perlu diperluas dan digabung jalin dengan Pendidikan Moral.

Laksanakan proses pembelajaran menghargai alam sebagai proses istiqamah sepanjang hayat. Jangan ditebang pokok sewenang-wenangnya. Jangan juga ditebas pohon-pohon kayu bakau di tepi pantai hingga mengganggu ekosistem sampaikan air yang ‘manja’ di gigi pantai boleh menerjah ke laman bandar raya.

Pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula perlu mencari kaedah agar nyawa terkorban dapat diminimumkan dengan pemberian jaket keselamatan yang berfungsi mengapungkan pemakainya dan dilengkapi wisel dan suar.

Setiap kampung dan taman perlu mempersiapkan bot, sampan mahupun rakit moden yang boleh diguna pakai bila banjir. Bot dan sampan boleh diletakkan di masjid mahupun rumah ketua kampung.

JEPUN

Pandanglah ke Timur, seperti Jepun yang menyesuaikan kehidupan dengan bencana yang mereka sering hadapi.

Anak-anak mereka diajar berdisiplin dengan segala kelengkapan diri di rumah dan sekolah pada saat diperlukan. Kasut mahupun selipar diletakkan di luar rumah dalam kedudukan menghala lawan arah pintu bagi memudahkan mereka berlari keluar dengan pantas apabila gempa bumi melanda.

Di negara ini, anak-anak hendaklah diajar berenang di sekolah sebagai kokurikulum yang wajib diambil. Ajarkan mereka bahaya air. Ajarkan mereka mengendalikan sampan, enjin bot mahupun peraturan berjalan di dalam air yang sedang bergenang.

Bagi pihak berkuasa tempatan, wujudkan skuad pantas untuk menyelamatkan mangsa semasa banjir mula berlaku. Pasukan polis pula perlu menyelia proses menyelamat kerana dibimbangi ada penduduk yang berdegil untuk berpindah.

Selain itu, pihak berkuasa perlu merangka pelan bangunan yang dapat menyelamatkan mangsa daripada digenangi air bah. Contohi penempatan penduduk di sepanjang Sungai Pahang yang tiang-tiang sendinya tinggi.

Fahami banjir, hormati kewujudannya sebagai sebahagian alam ini. Kita manusia biasa perlu menjaga tangan sendiri daripada merosakkan alam semula jadi ciptaan Allah SWT. Jika semua ini difahami, insya-Allah hadirnya musibah sebegini, kita akan menganggapnya sebagai fenomena biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN