MUKADIMAH
JABATAN Meteorologi antara agensi yang teruk dikecam ekoran dikatakan gagal menyalurkan maklumat tepat berkaitan keadaan cuaca sehingga menyebabkan Lembah Klang ditengelami air pada 18 Disember lalu selepas taburan hujan yang banyak bersamaan dengan taburan selama sebulan.
Kelewatan itu menyebabkan ribuan mangsa terkandas di kediaman masing-masing sehingga misi bantuan juga sukar dilaksanakan khususnya di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat di Selangor.
Ketua Pengarahnya, MUHAMMAD HELMI ABDULLAH mengakui kelewatan tersebut. Namun, orang ramai tidak boleh meletakkan kesalahan kepada agensi berkenaan semata-mata ekoran proses meramal cuaca tidak semudah difikirkan, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa selain pelbagai rintangan terpaksa dihadapi.
Berkongsi cerita sebenar, beliau memberitahu, pihaknya hanya mengeluarkan ramalan cuaca yang dianalisis menggunakan model terbaik dan maklumat daripada data antarabangsa antara satu hingga tiga hari sebelum sesuatu kejadian.
Ikuti temu bual eksklusif bersama wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto SYAWAL ROSLI dalam memahami proses sebenar ramalan cuaca di negara ini.
UTUSAN: Bagaimana ramalan cuaca dibuat?
MUHAMMAD HELMI: Kita gunakan model dari dalam dan luar negara untuk menganalisis data. Perbandingan data melalui model-model dari negara luar perlu dilakukan kerana kita tidak boleh bergantung semata-mata pada model kita dan kita tidak boleh bergerak secara silo. Nanti kita akan dipersalahkan pula.
Kita guna semua data yang ada kerana tidak mahu wujud pertikaian yang mengatakan kita hanya menggunakan data dari negara sendiri tapi sebenarnya tidak.
Jabatan Meteorologi adalah ahli Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO). Maka, ada kerjasama dari segi perkongsian data. Kita kongsi (data) dengan semua ahli dan mereka juga menerima data daripada kami. Tujuannya jika sesuatu kejadian di negara lain seperti Taufan Rai yang bergerak dari Laut China Selatan, adakah ia akan mempengaruhi cuaca di Malaysia? Jadi, kita perlu dapatkan maklumat dari negara luar.
Begitu juga jika berlaku gempa bumi atau tsunami. Perkongsian data dapat pastikan sesuatu fenomena itu berlaku dan tiba di lokasi tertentu.
Maklumat-maklumat penting wajib dikongsi. Begitu juga jika perlu lakukan pembenihan awan bagi menangani kekurangan air atau jerebu. Kami akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jika melibatkan skala besar. Jika berskala kecil, kita boleh sewa pesawat swasta.
Sebenarnya cuaca itu benar-benar dapat dikesan atau sekadar ramalan?
Kami mempunyai lapan pejabat di seluruh negara beroperasi 24 jam sehari setiap hari yang memantau keadaan cuaca secara berterusan serta mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca. Analisis maklumat dari dalam dan luar negara serta perbincangan dilakukan setiap hari.
Carta-carta cuaca kita dapat dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara-negara maju lain.
Kajian pula mengambil masa yang panjang dan dilakukan hanya selepas sesuatu kejadian. Kita menganalisis segala maklumat, penilaian menggunakan carta, data dari semua stesen pencerapan serta satelit untuk dijadikan asas panduan dalam menghasilkan ramalan dan amaran.
Secara asasnya, kita bukan bersendirian. Seperti bencana baru-baru ini, kita dapati lekukan tropika merentasi Semenanjung pada minggu lalu disebabkan luruhan monsun yang agak kuat. Faktor tersebut menyumbang kepada hujan lebat.
Untuk dapatkan maklumat lekukan tropika, kita perlu rujuk maklumat dari Pusat Pemantauan Taufan Antarabangsa. Misalnya, kami rujuk dari Jepun dan AS. Daripada situ kita dapat buat ramalan dan penilaian impak kepada negara. Ramalan yang dibuat memang banyak bergantung pada maklumat berdasarkan keadaan cuaca.
Banjir di Selangor baru-baru ini dikatakan teruk kerana lambat keluar amaran dan ramalan cuaca? Benarkah?
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi amaran hujan lebat berterusan, ada tiga peringkat iaitu waspada, buruk dan bahaya. Satu hingga tiga hari diperlukan dalam membuat ramalan sebelum sesuatu kejadian. Selalunya sehari itu bagi kes yang sangat rumit. Ramalan ini berbeza mengikut episod hujan lebat. Tiada satu kaedah yang tepat di dunia ini dan ia tak semudah itu. Proses menganalisis sangat rumit.
Banyak faktor bagi kes baru-baru ini seperti adanya pengaruh Taufan Rai dan juga kesukaran untuk meramal pergerakan lekukan tropika.
Untuk makluman, antara 11 hingga 19 Disember lalu, sebanyak 16 amaran hujan lebat berterusan dikeluarkan walaupun pada peringkat awal di negeri-negeri Pantai Timur sebab kita jangkakan lekukan tropika melanda sekitar 15 hingga 17 Disember tetapi ia masuk ke negara ini pada 16 Disember waktu malam dan bergerak ke Pantai Barat serta memasuki Selat Melaka.
Ramalan untuk Pantai Timur sudah dikeluarkan awal tapi bagi Pantai Barat hanya dapat dikeluarkan pada 17 Disember. Episod yang betul-betul berlaku adalah 18 Disember pada waktu malam.
Pemantauan kami dengan rujukan pusat pemantauan di AS mendapati pergerakan yang diramal dari arah utara memasuki negara melalui Kelantan dan Terengganu dan kemudian melanda Perak, Pulau Pinang serta Selat Melaka. Keadaan ketika itu agak sukar. Model digunakan bertaraf dunia yang dikeluarkan AS masih berlaku ketidakramalan untuk tempoh yang panjang iaitu sekitar tiga hari adalah rendah. Bagaimanapun, kami keluarkan amaran di Pantai Timur dan Sabah.
Pada 17 Disember, 11 pagi, Pusat Pemantauan Taufan tidak kategorikan lagi lekukan tropika. Ini kerana ia patut lenyap berdasarkan teori. Apabila satu lekukan itu merentasi daratan, maka ia akan jadi lemah dan tidak memberi impak yang banyak sebab merentasi gunung ganang. Tapi ramalan dari pusat pemantauan itu agak meleset.
Amaran itu sepatutnya tak dikeluarkan untuk Pantai Barat tapi pada masa sama kami dapati ada tanda-tanda lekukan dan ia mendapatkan kekuatannya semula. Jadi, pihak kami mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat waspada pada hari tersebut walaupun pusat amaran taufan kata ia lemah.
Pada masa sama berlaku luruhan monsun yang menambah lagi kekuatan lekukan tropika. Hujan mula turun dan pada 18 Disember pagi masih tak nampak hujan yang betul-betul lebat tetapi ia berlaku pada waktu petang dan kami keluarkan amaran peringkat merah iaitu bahaya pukul 2 petang bagi negeri-negeri di Pantai Barat.
Kalau nak kata lewat untuk buat tindakan, ya kita akui. Kita keluarkan amaran berdasarkan bukti-bukti saintifik dari dalam dan luar negara. Data-data itu bercanggah sehingga kami terpaksa membuat keputusan. Data-data itu dibincangkan di ibu pejabat dan pejabat negeri. Maklumat-maklumat ini dikemaskini empat kali sehari sementara imej radar dan satelit dikemaskini setiap 10 minit. Pegawai-pegawai akan pastikan tanda-tanda amaran. Ia mencabar dan kita sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku.
Model-model yang ada sukar meramal keadaan sebenar walaupun ia digunakan di negara-negara maju. Pakar juga mendapati situasi ketika itu agak sukar dan tidak konsisten ramalan dari model luar. Kita juga tidak dapat kata sepakat dengan negara-negara luar.
Pernah berlaku percanggahan data dan ramalan?
Segala kemungkinan ada sebab bergantung pada model cuaca. Kalau nak ramal ke depan, itu satu bidang yang berbeza. Bagaimana cuaca itu berubah, tak ada satu pun ramalan betul-betul sempurna.
Ada ramalan yang mudah tapi bagi ramalan yang sukar, yang tanda-tanda awal tak jelas dan kita tak banyak pengalaman, model cuaca tak konsisten, tiada kesepakatan dalam sesuatu kejadian untuk meramal memang akan menyebabkan keputusan di luar jangkaan.
Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap ramalan cuaca?
Semasa banjir 18 Disember lalu, laman web agensi ada lebih dua juta capaian. Ini bermakna masyarakat hanya mencari maklumat ketika kejadian sudah berlaku. Ini orang kata, sudah terantuk baru tengadah. Dan selepas seketika, orang mula lupa dan kurang dapatkan maklumat mengenai cuaca.
Jadi, kita boleh lihat tahap kesedaran orang ramai memang rendah mengenai perkara ini. Oleh kerana itu, kami giat mempromosi kesedaran awam dalam pelbagai kaedah untuk mendekati orang ramai. Sejak tahun lalu, ia dilakukan secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19 melalui Facebook, webinar dengan menjemput pakar, pegawai dari NADMA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang berbincang mengenai pengurusan bencana dan cara menghadapi Monsun Timur Laut. Ia juga boleh disertai oleh orang ramai.
Penduduk Pantai Timur lebih peka dengan keadaan cuaca. Mereka sudah bersedia jika amaran peringkat bahaya dikeluarkan sebab banjir berlaku saban tahun. Mereka sudah ada persediaan.
Sementara di Pantai Barat pula, kesedaran amat kurang kerana selalunya hanya berlaku banjir kilat. Banjir besar jarang berlaku. Jadi, kita semua perlu ambil iktibar.
Ada segelintir yang tidak percaya pada ramalan cuaca. Komen?
Setiap ramalan ada yang tepat dan tidak. Semua negara ada isu sama. Iklim Malaysia paling mencabar, tak sama dengan negara empat musim. Negara mereka mudah diramal. Sistem cuaca di negara tersebut berbeza dengan negara kita.
Di UK, Australia atau negara-negara Eropah lain dipengaruhi oleh sistem perenggan. Hujan di negara-negara itu seperti satu garis, berskala besar dan bergerak dari barat ke timur. Jadi, ramalannya mudah kerana itu mereka buat ramalan yang lebih lama dan ikut jam.
Sistem cuaca di UK besar dan pergerakannya konsisten. Malaysia tiada pergerakan atau corak yang jelas. Tak mungkin bagi (ramalan) awal kerana perlu berdasarkan teknologi. Itu adalah kekangan bukan sahaja di pihak kami tetapi semua pakar meteorologi di seluruh dunia. Kerana itu adanya kerjasama dengan UK untuk mengenal pasti cuaca-cuaca berimpak tinggi.
Kita juga jalin kerjasama dengan China, Indonesia dan beberapa negara lain untuk membincangkan kaedah bagi meramal cuaca. Ilmu dari negara lain digunakan sepenuhnya.
Kita akui ramalan tak tepat. Ribut petir timbul macam cendawan. Tiada satu pun sistem di dunia ini yang boleh meramal dengan tepat. Jika ada, dah lama beli. Kerajaan mudah beri peruntukan bagi kes-kes begini untuk memperoleh sistem yang canggih.
Buat masa ini, kita gunakan produk sedia ada yang dicipta dan digunakan di negara maju. Data-data yang diperoleh akan dibuat penilaian dan ramalan. Itu yang mampu setakat ini.
Ke mana maklumat disalurkan selepas mendapat amaran?
Ke NADMA yang ada pusat operasi kawalan. Kami juga menempatkan pegawai di sana bagi memberi maklumat kaji cuaca. Semua amaran yang dikeluarkan boleh diakses oleh NADMA. Dan amaran-amaran berperingkat yang dikeluarkan dimasukkan nota bagi memudahkan media menyampaikan maklumat lebih lengkap melalui saluran masing-masing.
Jadi, tidak patut salahkan kerajaan dan pasukan penyelamat kerana lambat beri bantuan?
Betul, tak boleh salahkan agensi penyelamat kerana ramalan dan amaran hanya dapat pada saat akhir. Malah, kejadian baru-baru ini melibatkan banyak kawasan terjejas dan agak sukar anggota penyelamat mengambil tindakan.
Adakah ini bermakna kita perlu hidup dengan perubahan iklim?
Perubahan iklim berlaku di seluruh dunia. Kita dapati bertambahnya cuaca ekstrem seperti ribut petir dan puting beliung disebabkan peningkatan belalai air.
Orang ramai perlu terima hakikat dan perlu ada kesedaran terhadap tindak balas serta lebih sensitif terhadap perubahan cuaca. Perlu ambil peduli dan peka pada cuaca.
Mereka boleh kongsi maklumat cuaca di media sosial agar capaian lebih luas.
Situasi banjir teruk yang melanda baru-baru ini juga disebabkan banyak longkang tersumbat kerana sifat masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata. Orang ramai perlu mengikis sifat suka membuang sampah di merata tempat, sebaliknya amalkan sikap mesra alam. Perlu ada gaya hidup lebih lestari.
Selain itu, amalan membazir tenaga seperti elektrik, air dan makanan juga perlu diubah kerana secara tidak langsung ia memberi kesan pada keadaan cuaca yang menyumbang perubahan iklim.










