ANTARA pengalaman ‘unik’ pernah saya rasai sebagai wartawan ialah sidang akhbar maya Datuk Saifuddin Abdullah sejak menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia hatta kini Menteri Luar.
Bayangkan beliau dengan selamba sambil tersenyum mengajukan soalan kepada saya: “Hah, Amree dari Utusan Malaysia, apa soalan panas yang kamu hendak tanya kali ini?”
Detik itu bukan sahaja satu penghormatan, malah memberi peluang kepada saya mengaju soalan ‘cepumas’ dan diselitkan pandangan peribadi yang kemudian diterimanya dengan hati terbuka.
Tidak hairanlah, beliau antara menteri yang paling saya segani waima kami berbeza aliran siasah, namun sikap sporting dirinya membuktikan Ahli Parlimen Indera Mahkota ini cukup profesional.
Apatah lagi ada idea spontan saya yang kemudian diolah sebagai polisi kementerian dengan terkini, Diplomasi Budaya dijadikan kerangka baharu dalam Dasar Luar Negeri.
Uniknya, fikrah diplomasi itu tercetus apabila saya melihat kelemahan di kementerian lama beliau dalam isu propaganda meskipun ada dilancarkan saluran khas Berita RTM pada tahun lalu.
Justeru, kegagalan diplomasi media menjadi kelemahan utama kerajaan terdahulu apabila tidak belajar kejayaan negara luar bijak mengeksploitasi sebaran am untuk tujuan diayah positif.
Contoh terbaik dalam isu ini ialah Taliban setelah berjaya menawan Afghanistan pada 15 Ogos lalu. Perkara pertama dicarinya ialah stesen CGTN milik China dan Al Jazeera milik Qatar.
KORESPONDEN
Ini bukan rahsia dan pernah dalam satu sidang akhbar di Wisma Putra, saya terperasan mesej Whatsapp berbahasa Arab yang diteliti wartawan Al Jazeera untuk ditanya kepada Saifuddin.
Arahannya jelas dan mudah, minta semua koresponden stesen itu terutama negara dalam senarai termasuk Malaysia agar memastikan berita perihal Taliban diberi imej berbentuk baik.
Tampak agak kelakar tetapi hari ini, sebahagian besar negara di dunia khususnya Barat mula memperakui Taliban meskipun tidak secara rasmi, namun sedia membuka kedutaan di Kabul.
Ini dibantu CGTN yang wujud sejak 2016 bagi diseimbang dengan laporan propaganda jahat media Amerika Syarikat (AS) terutama CNN yang penuh misi agenda berat sebelah pro-Israel.
Ironi, diplomasi media bukan isu baharu di Malaysia kerana negara ini pernah ada stesen global yang dikenali Suara Malaysia dan wujud pada 1963 lalu tetapi dimansuhkan pula pada 2011.
Mungkin dalam hal ini, belum terlambat bagi kerajaan belajar contoh jiran terdekat, Singapura yang gah menerusi Channel News Asia (CNA) bagi menangkis berita palsu yang menyerang republik itu.
Natijahnya, peranan stesen penyiaran sejagat bukan sekadar siar berita lokal kepada dunia seperti gaya BBC atau NHK.
Kes paling sesuai ialah Korea Selatan yang megah dengan Arirang TV bagi menyebar diayah dan menghasut warga Korea Utara untuk belot berpaling tadah sejak diwujudkan awal 1997.
Tidak dilupakan, contoh boleh dipelajari ialah Iran melalui Press TV dilancarkan kerajaan Syiah pada 2007 dan Turki menerusi TRT World yang beroperasi sejak 2015.
Kebetulan, semua ‘meniru’ model BBC yang ditubuhkan atas piagam diraja pada 1922 dan kemudian Voice of America (VoA) yang diwujudkan AS sejak 1942 dengan kini ada 47 bahasa.
Hakikatnya, banyak negara di dunia mulai mengaktifkan stesen penyiaran sejagat sebagai senjata diplomasi kerajaan bagi memerangi berita negatif disebarkan musuh sepanjang masa.
RTM sebenarnya dari segi kemampuan fasiliti sudah mampu mewujudkan saluran khas global dan kini terpulang sama ada mahu buat atau biarkan Malaysia terus ‘dibuli’ oleh negara luar.










