Undi18: Melayu belum bersedia - Utusan Malaysia

Undi18: Melayu belum bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU saya (penulis) katakan pengundi 18 tahun (Undi18) dalam kalangan orang Melayu belum bersedia masuk gelanggang pilihan raya, apa kata anda?

Walaupun ada cakap-cakap UMNO misalnya sudah mencongak peluang daripada Undi18 ini, namun realiti yang tampak lebih berpijak di bumi nyata memanfaatkan ruang ini adalah DAP.

Baik kita pergi kepada fakta sahaja, usah retorik bila mana bercakap dalam akhbar Utusan Malaysia Pemikiran Baharu ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018 membuktikan DAP lebih konsisten dalam mendekati anak muda, sekali gus membuka peluang kepada barisan calon muda – yang kemudiannya ramai menang. Mudahnya, kerana DAP tiada warlord peringkat Parlimen.

Daripada 42 ahli Parlimen DAP yang menang dalam PRU-14, sejumlah 12 orang tidak melebihi umur 40 tahun. Mereka ialah Steven Sim (memenangi kerusi Parlimen Bukit Mertajam yang tahun kelahirannya 1982), Yeo Bee Yin (Bakri, 1983), Wong Shu Qi (Kluang, 1983), Hannah Yeoh (Segambut, 1979), Kasthuri Patto (Batu Kawan, 1979), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu, 1978) dan Noorita Sual (Tenom, 1980).

Lima lagi ialah Wong Kah Woh (Ipoh Timor, 1980), Teo Nie Ching (Kulai, 1981), Alice Lau (Lanang, 1981), Mordi Anak Bimol (Mas Gading, 1985) dan Kelvin Yii (Bandar Kuching, 1986).

Dalam PRU-14 itu yang menumbangkan Barisan Nasional (BN), enam anak muda Melayu berusia bawah 40 tahun turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bertiketkan DAP. Kesemua enam kerusi berjaya ditawan. Mereka ialah Zairil Khir Johari (ADUN Tanjong Bunga, lahir 1982), Syerleena Abdul Rashid (ADUN Seri Delima,1980), Young Syefura Othman (ADUN Ketari, 1990), Edry Faizal (ADUN Dusun Tua, 1985), Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama, 1989) dan Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh, 1985).

Untuk rekod pada 2018 itu, DAP mempunyai 44 ADUN tidak melebihi umur 40 tahun. Daripada 47 kerusi Parlimen dan 104 kerusi DUN yang ditandingi, DAP meletakkan 27 calon wanita, 58 calon bawah 40 tahun, sembilan bawah 30 tahun dan 40 peratus daripada calon-calon DAP dalam kategori Pemuda.

Saya cuma tidak ingat berapa calon muda ditampilkan UMNO atau kalangan parti berteraskan Melayu dalam PRU lepas. Khabarnya UMNO ada meletakkan seorang sahaja calon kerusi Parlimen bawah 40 tahun, tetapi tewas. Yang paling ingat di kepala ini cuma Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang kerusi Parlimen Muar pada umurnya 25 tahun, ketika pencalonannya ‘diperlekeh’ lawannya waktu itu.

GIMIK

Maka jika begitu penangan calon-calon muda DAP dalam PRU-14, sudah tentu sekali parti itu serta rakan-rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) lebih bersedia mengaut sokongan dan pengaruh daripada impak Undi18.

Mereka kalangan Undi18 ini dianggarkan kira-kira 1.4 juta dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun. Pada masa sama, ada empat juta lagi pengundi atas 21 tahun yang belum berdaftar.

Parti-parti Melayu sedia ada (pembaca cukup maklum parti-parti berkenaan) lebih menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa sendiri.

Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan, tetapi untuk kantung masing-masing. Bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.

Parti-parti ini tidak strategis dalam menguasai pengundinya. Apatah lagi kalau mahu bercakap pasal kaedah Big Data untuk meraih sokongan dan pengaruh Undi18.

Tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya, ahl-ahli UMNO, waima daripada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekalipun, tidak akan bermakna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.

Itu belum lagi sebahagian besar anak muda Melayu yang liat mendaftar menjadi pengundi. Malah telah mendaftar pun, masih malas menunaikan tanggungjawab pengundi. Ini berbeza sama sekali dengan orang lain. Kalau bangsa lain, mereka akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka – untuk berlumba-lumba memangkah memenangkan calon pilihan mereka.

Bangsa lain mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU, mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu.

Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum itu tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau Gerakan.

Mereka juga tahu sama ada untuk memilih Barisan Nasional (BN) atau PH atau Pas. Pada PRU-10 (1999) dan PRU-11 (2004), mereka bersatu mengundi BN. Kemudian pada PRU-12 tahun 2008 dan PRU-13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. PRU-14, BN ditumbangkan. Jarang sekali kita dapati kaum itu mengundi mengikut corak yang sekata dalam PRU-PRU yang lepas.

LAMPU ALADDIN

Dan adakah juga parti-parti berteraskan Melayu sudah bersedia memancing sokongan Undi18 di 54 kerusi Parlimen dan 92 DUN dalam kawasan-kawasan Felda? Dalam PRU-14, PH yang memakai lambang PKR menguasai 19 kerusi Parlimen di Felda berbanding hanya satu kerusi pada 2013. UMNO yang mengetuai BN pula yang pernah memenangi 48 kerusi Parlimen Felda pada 2013, sekadar memungut 27 kerusi Parlimen. Ingat! Anak-anak muda Felda bukan macam generasi mereka tahun-tahun 90-an dan awal 2000.

Mana-mana parti, waima UMNO, Bersatu dan Pas khususnya pun belum ada lampu Aladdinnya. Lampu Aladdinnya cuma ada pada kesepakatan parti-parti berkenaan.

Sebab itu saya selalu memetik adegan-adegan dalam filem arahan Allahyarham P. Ramlee untuk dijadikan rujukan terhadap kealpaan orang Melayu dalam berpolitik.

Contohnya, jangan hentam keromo dalam soal agihan kerusi.

Dalam adegan filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.
Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Jika adegan di atas dituruti, bak kata orang tua-tua, menangis air mata darah pun tak berguna pada malam keputusan PRU-15 nanti.

Dan sekali gus kehilangan kuasa tawar-menawar (bargaining power) di tanah air sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×