Mencerahkan MoU kerajaan dan PH - Utusan Malaysia

Mencerahkan MoU kerajaan dan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi

Sekitar pukul 5 petang, 13 September lepas, terlakarlah satu sejarah dalam dunia politik Malaysia apabila kerajaan dan pembangkang (baca:PH) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU). Dalam bahasa kasarnya ia boleh dianggap sebagai gencatan senjata, tetapi dalam bahasa yang lebih murni, ia adalah satu usaha bersama bagi membentuk iklim politik yang lebih baik di negara ini – sekurang-kurangnya sehingga tempoh berkuat kuasanya MoU itu.
Memorandum itu pada asasnya adalah berasaskan enam agenda utama yang merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Semua kandungan memorandum setebal 17 halaman itu buat masa ini boleh diakses di laman web Parlimen, akan didedahkan kepada umum dalam masa terdekat sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban kedua-dua pihak yang menandatanganinya.
MoU ini ditakdirkan ‘muncul’ tepat pada masanya; ketika negara dalam perjalanan memenangi perang melawan pandemik Covid-19 dan tatkala sektor ekonomi yang murung sejak sekian lama menampakkan cahaya besar di hujung terowong.
Saya telah beberapa kali menulis di akhbar ini tentang bagaimana kita menghabiskan terlalu banyak masa untuk berpolitik sehingga fokus kita terhadap agenda membendung, dan kalau boleh menumpaskan Covid-19, banyak kali terganggu. Dalam banyak keadaan kita melangkah setapak ke hadapan, kemudian ditarik balik setapak dua ke belakang. Semuanya kerana politik.
Atas sebab itu, sesiapa sahaja yang berfikiran positif pasti menyambut baik usaha menandatangani MoU tersebut. Kredit harus diberi kepada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, yang meletakkan ego masing-masing di tepi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara dikembalikan.
Tetapi seperti kebiasaannya, apabila rumah sudah, pahat pun akan berbunyi. Yang berbunyi pula selalunya bukan pahat yang menyiapkan rumah itu, tetapi pahat-pahat yang berkarat di dalam kotak perkakasan. Pahat yang memang tidak digunakan, atau sememangnya tidak berguna.
Begitu juga dengan perjanjian MoU itu. Ada suara-suara terpencil yang mempersoalkan kewajarannya. Di kalangan penyokong kerajaan wujud kumpulan minoriti yang menganggap MoU itu memberi gambaran kerajaan tunduk pada kehendak pembangkang kerana sebahagian daripada kandungannya adalah apa yang pembangkang perjuangkan selama ini, misalnya Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dan Pelaksanaan Undi 18.
Kerajaan juga dikatakan tunduk kepada pembangkang apabila bersetuju agar Majlis Pemulihan Nasional (MPN), yang kini dipengerusikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu merangkumi 50 peratus pakar sektor awam dan swasta, dengan nama separuh daripada pakar terbabit akan dicalonkan oleh kerajaan dan separuh lagi oleh pembangkang.
Di kalangan penyokong pembangkang pula mereka melihat MoU itu sebagai kaedah halus untuk mengurangkan peranan pembangkang sekali gus melemahkannya secara perlahan-lahan. Akhirnya, kata mereka, pembangkang hanya akan menjadi rubber stamp, dan yang membezakan ahli parlimen mereka dan ahli parlimen kerajaan hanyalah tempat duduk di dalam Dewan.
Mereka yang hingar ini gagal melihat kesan baik daripada kerjasama ini secara menyeluruh, mungkin disebabkan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku di negara ini. Jadi kayu pengukur yang digunakan adalah kayu pengukur biasa; apabila kerajaan memenuhi permintaan pembangkang, ia akan dilihat sebagai kalah atau mengalah; apabila pembangkang sanggup duduk semeja dan bekerjasama dengan kerajaan, ia dianggap patah taring.
Mereka gagal memahami, atau enggan memahami bahawa dalam apa juga bentuk persefahaman, perkara paling wajib ialah wujudnya situasi ‘menang-menang’, Persefahaman tidak lagi bernama persefahaman jika satu pihak cuba untuk ‘menang semua’.
Saya tidak tahu tentang pembangkang, tetapi di kalangan parti-parti kerajaan, UMNO memikul tanggungjawab lebih berat berbanding parti-parti lain untuk memperjelaskan mengenai perjanjian persefahaman ini kepada ahli-ahlinya.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kedua-dua nama tersebut. No Anwar dan No DAP. Maka timbul soalan, apakah No Anwar dan No DAP telah tinggal sebagai slogan kosong semata-mata berikutan termetrainya MoU ini?
Yang lebih hodoh lagi, ada pecinta-pecinta publisiti murah cuba menjadikan MoU ini sebagai bukti bahawa penjajaran politik baharu yang mereka impikan telah pun bermula. Perlu disebut bahawa kumpulan peminat jajaran politik baharu ini rata-ratanya adalah orang yang kecewa pada PRU ke-14, sama ada kerana kalah teruk atau tidak terpilih bertanding. Mereka mengharap jajaran baharu akan menjadi penyambung nyawa bagi karier politik mereka.
Hakikatnya MoU ini tidak mempunyai kaitan dengan keputusan PAU 2020 yang menolak Anwar dan DAP. Ini bukan MoU antara UMNO dengan PH, sebaliknya ia adalah MoU kerajaan dengan PH. UMNO hanya sebahagian daripada komponen dalam kerajaan. Status Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri tidak membawa maksud kerajaan yang diterajuinya adalah kerajaan UMNO mutlak. Ia masih kerajaan bersama yang dimiliki secara bersama oleh parti-parti sahabat.
Pemimpin-pemimpin pembangkang sendiri berulang kali menegaskan bahawa MoU itu sama sekali tidak menjejaskan fungsi mereka sebagai pembangkang. Bekerjasama dengan kerajaan bukan bermakna menyertai kerajaan. Menyetujui beberapa perkara yang kerajaan laksanakan bukan bermakna meyokong kerajaan. Perkara itu perlu difahami betul-betul sebab walaupun halus, garis pemisahnya tetap ada.
Kandungan MoU itu jelas menunjukkan bahawa kedua-dua pihak tidak diikat dengan klausa-klausa yang boleh menunjukkan mereka telah bergabung membentuk satu entiti baharu. Sebaliknya apa yang ada ialah ‘mutual understanding’ yang cukup jelas, dan yang diikat secara longgar. Contohnya, seluruh kandungan perjanjian akan terbatal jika kerajaan gagal melaksanakan apa-apa yang telah dijanjikan. Selain itu pembangkang juga tidak dikunci mulutnya. Ia bebas meneruskan fungsi asal untuk mengkritik.
Lebih daripada itu MoU ini mempunyai tarikh luput iaitu sehingga tarikh pembubaran Parlimen Malaysia Ke-14.
Pun begitu kita harus mengakui bahawa terdapat keperluan untuk kerajaan dan pembangkang mencari titik temu dalam situasi sekarang, di mana negara berada dalam keadaan serba gawat, berpunca daripada Covid-19, ditambah pula dengan sikap kita selama ini yang berpolitik secara berlebihan.
Satu koma perlu diletakkan, dan MoU itulah komanya. Hanya koma, bukan titik.

Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik di Kementerian Komunikasi dan Multi Media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×