SAYA membaca ulasan Profesor Datuk Shamrahayu Ab. Aziz bertajuk Undi percaya PM bukan untuk beri pengesahan perkenan Agong dalam sebuah portal berita, baru-baru ini. Meskipun penerangannya agak jelas, namun saya berpendapat pandangan tersebut perlu diteliti semula dalam spektrum lebih luas khususnya dalam memahami konteks politik pada hari ini.
Apa yang membimbangkan, pandangan pakar perlembagaan mempunyai jurang begitu besar dengan realiti sebenar seolah-olah tidak mengambil kira aspirasi rakyat yang mahu pandangan segar untuk mengatasi krisis politik negara secara demokratik.
Beliau menyatakan, Parlimen tidak mempunyai peranan dalam mengesahkan pelantikan Perdana Menteri yang telah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Shamrahayu turut menekankan, undi percaya tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengikat sehingga ia menjadi undang-undang yang diperakui mahkamah.
Secara umumnya, dakwaan Shamrahayu yang Parlimen tidak boleh mengesahkan pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak timbul. Hakikatnya, semua parti politik telah menerima proses pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri atas perkenan YDPA.
Untuk mendakwa undi percaya tidak perlu dilakukan kerana tidak termaktub dalam perlembagaan adalah satu hujah yang sangat tempang. Kalau difikirkan secara logik, penggunaan surat akuan bersumpah (SD) dalam memilih Perdana Menteri juga tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Cuma, krisis politik di Perak pada 2009 meletakkan duluan (precedent) membenarkan penggunaan SD bagi memilih Menteri Besar atau Perdana Menteri sehingga hari ini.
Amalan yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu telah menimbulkan pelbagai keraguan dalam kalangan rakyat kerana prosesnya didakwa tidak telus, mudah dimanipulasi dan meminggirkan fungsi Parlimen itu sendiri.
Kita harus memahami, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ala Westminster. Peranan utamanya adalah sebagai provider to the government atau membentuk kerajaan demokratik. Ahli Parlimen yang dipilih menerusi pilihan raya perlu menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan membentuk kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri. Semangat ini yang menatijahkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Maka undi percaya adalah amalan biasa berdasarkan konvensyen Parlimen bagi memastikan kerajaan mempunyai kepercayaan meneruskan pentadbiran negara. Di Parlimen, undi percaya sudah dilakukan sebanyak dua kali, iaitu ketika Tun Hussein Onn (1976) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003).
Persoalannya, mengapa undi percaya begitu penting untuk dibentangkan Ismail Sabri di Parlimen?
Pertama, untuk memastikan jemaah menteri yang dibentuknya benar-benar berfungsi. Ahli Parlimen perlu menilai sejauh mana kemampuan Kabinet dibentuk Ismail Sabri untuk menjalankan tadbir urus negara. Ia penting bagi mengelak kesilapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentuk Kabinet begitu besar tetapi gagal mentadbir negara.
GOYAH
Sekiranya Ismail Sabri mahu mengekalkan kepercayaan Parlimen, maka beliau perlu memikirkan sebuah Kabinet yang berfungsi dan berintegriti. Jika tidak, beliau akan mendapat tekanan dalam usul undi percaya yang membolehkan kedudukannya goyah.
Kedua, undi percaya juga penting bagi mewujudkan persepsi orang awam bahawa Parlimen dan kerajaan bersedia bekerjasama untuk mengatasi cabaran dihadapi negara.
Apabila Perdana Menteri mempunyai kepercayaan Parlimen, maka segala keputusan dibuat kerajaan bertambah kukuh dan memudahkan pelaksanaan dasar-dasar.
Usul undi percaya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap fungsi demokrasi berparlimen yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan Muhyiddin.
Apa yang penting, usul undi percaya ditegaskan oleh YDPA dalam kenyataan akhbar pada 18 Ogos lalu. Seri Paduka bertitah, Perdana Menteri perlu membawa usul undi percaya bagi mengabsahkan beliau (Perdana Menteri) mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ini membuktikan YDPA turut mengiktiraf peranan Parlimen dalam proses pelantikan Perdana Menteri. Maka, apakah dakwaan undi percaya tidak perlu dibawa ke Parlimen adalah untuk menidakkan kebijaksanaan budi bicara YDPA dalam menjalankan tugasnya?
Hakikatnya, Parlimen adalah institusi penting dalam menyelesaikan masalah politik negara. Dalam keadaan demokrasi 50-50 di mana tiada gabungan parti politik mampu membentuk majoriti dua pertiga, Parlimen menjadi medan kerjasama dwipartisan yang akan menentukan kestabilan politik negara untuk masa akan datang.
Menyedari situasi ini, apakah rakyat tidak layak menerima ulasan segar dan inklusif daripada pakar perlembagaan? Ya, tentu sekali mereka layak. Tetapi sejauh manakah perubahan ini dapat disambut baik oleh pakar perlembagaan dan pengulas politik lain?
Suka saya memetik pandangan Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, profesor sains politik dan pentadbiran, Universiti Harvard dalam buku How Democracies Die yang menyebut, usaha pemimpin dan rakyat mempertahankan perlembagaan negara perlu diikuti dengan amalan nilai-nilai demokrasi. Tanpa nilai demokrasi ini, semak dan imbang terhadap perlembagaan sukar dilaksanakan dan pihak berkuasa akan menggunakan institusi rakyat dan undang-undang sebagai senjata politik untuk menumbangkan musuhnya.
Ini masalah yang berlaku dalam melihat kepentingan undi percaya. Pandangan pakar perlembagaan didakwa gagal melihat konteks lebih luas, seolah-olah meminggirkan nilai-nilai demokrasi dan membaca perlembagaan secara literal tanpa menerapkan semangat yang terkandung dalam undang-undang tertinggi negara.
Pakar perlembagaan atau pemimpin negara tidak boleh sama sekali mendakwa demokrasi atau undang-undang itu sudah sempurna dan baik apabila ia mengikut kehendak mereka dan menafikannya ketika demokrasi tersebut tidak berpihak kepada golongan yang mereka tidak bersetuju.
Sudah tiba masanya analisis politik dan ulasan tentang Perlembagaan Persekutuan mengalami perubahan untuk memperkukuhkan fungsi dan peranan demokrasi berparlimen di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan harus dibaca dengan mengambil kira konteks dan perubahan-perubahan baharu politik yang memerlukan pandangan ke hadapan agar kesilapan lampau tidak berulang.
PENULIS ialah Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement (REFSA).










