APABILA memperkatakan sastera kebangsaan, iaitu karya sastera yang ditulis menggunakan bahasa kebangsaan, kita ketara mencari dan mengharapkan kehadiran unsur tolong-menolong, perpaduan dan integrasi nasional. Akan tetapi, sebenarnya sebuah karya seperti cerpen dan novel tidak semestinya mengetengahkan watak pelbagai kaum, agama dan etnik yang saling membantu dan hidup harmoni untuk diperakui sebagai sastera kebangsaan.
Bagi karya yang khusus ditulis bagi menampilkan kerjasama dan integrasi antara kaum, istilah paling sesuai ialah sastera perpaduan. Sastera kebangsaan pula boleh sahaja mengetengahkan watak dan persoalan yang hanya tertumpu kepada satu-satu kaum atau etnik.
Kita akan lebih memahami hakikat ini apabila meneliti konsep sastera kebangsaan sepertimana dipersetujui dan cuba dicapai sejak Kongres Kebudayaan Kebangsaan dianjurkan di Universiti Malaya dari 16 hingga 20 Ogos 1971, iaitu 50 tahun lalu.
Sebuah karya yang layak diterima sebagai sastera kebangsaan wajib ditulis dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini memang sering dipersoal dan dibahas pihak yang terlibat dalam penulisan karya bahasa Inggeris dan bahasa vernakular seperti Tamil dan Mandarin.
Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, hanya karya yang ditulis secara asli dalam bahasa kebangsaan diterima sebagai sastera kebangsaan.
Sedikit pindaan dilakukan apabila Dasar Sastera Kebangsaan dibincangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 23 April 2019. Karya bahasa-bahasa lain yang dialih bahasa ke bahasa kebangsaan oleh penulis itu sendiri dipersetujui untuk diterima sebagai karya sastera kebangsaan. Jika terjemahan dilakukan orang lain, ia tidak diberi pengiktirafan tersebut, dan saya amat bersetuju dengan pendirian ini.
Kajian sarjana sastera saya di Universiti Malaya adalah khusus mengenai sumbangan penulis kaum India kepada perkembangan sastera kebangsaan. Sejumlah 77 penulis dalam kategori ini dikenal pasti sepanjang tempoh kajian. Walaupun jumlah ini tidak besar berbanding penulis Melayu dalam persuratan Melayu atau penulis karya bahasa Tamil, sumbangan golongan minoriti ini wajar diberi perhatian.
Salah satu peranan utama sastera kebangsaan adalah usaha memupuk persefahaman masyarakat tentang budaya dan cara hidup pelbagai kaum di Malaysia. Para pengkaji sastera tanah air sebelum dan selepas merdeka mengakui, hakikat rata-rata karya seperti cerpen dan novel Melayu mengangkat watak, budaya dan isu kaum Melayu. Hal ini tidak menjadi masalah kerana majoriti penulis dan pembaca sastera Melayu adalah orang Melayu.
Maka sejak 1971, apabila konsep sastera kebangsaan diperkenalkan, para penulis bukan Melayu digalakkan menulis karya bahasa kebangsaan yang mengangkat dan mengetengahkan watak, budaya dan isu dalam komuniti mereka. Hasil kajian saya dijadikan disertasi (tesis) yang diserah untuk memenuhi keperluan sarjana sastera.
Kajian tambahan dilakukan untuk mengemas kini maklumat berkaitan sumbangan dan peranan penulis kaum India kepada perkembangan sastera kebangsaan khususnya sejak 1960-an. Maka, buku berjudul Kavya Sastra: Penulis Kaum India dan Sastera Kebangsaan baru sahaja terbit pada minggu ini.
JURUTERBANG
Bagi Dr. Amerjit Singh S. Bhag Singh, kelahiran buku ini dilihat sebagai analisis tahap tinggi serta ketelitian rujukan yang sungguh mengagumkan. Ramai mungkin tidak tahu, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia ini pernah menulis cerpen pada 1980-an. Maklumat beliau turut termuat dalam buku ini.
Penulis baharu juga tidak dilupa kerana merekalah yang bakal meneruskan perjuangan yang dimulakan penulis veteran seperti Joseph Selvam, G. Soosai, M. Mahendran dan Saroja Theavy Balakrishnan.
Chelvi Ganesan mengakui mungkin selama ini ramai tidak tahu wujud sejumlah penulis kaum India dalam penulisan bahasa kebangsaan.
“Saya berharap buku ini menjadi bahan rujukan di samping memotivasi lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang penulisan,” kata guru berkenaan yang amat teruja dapat turut menyumbang kepada sastera kebangsaan.
Buku Kavya Sastra menghuraikan secara terperinci konsep sastera kebangsaan dan kekangan dihadapi penulis Melayu untuk menggambarkan budaya, watak dan isu kaum-kaum lain. Usaha terjemahan karya Tamil untuk dibaca khalayak umum pelbagai kaum turut diterangkan.
Hafiz Hisan, seorang juruterbang, teruja membaca buku ini. Katanya, “buku ini mengendong sebahagian bebanan yang sepatutnya digalas DBP dalam memartabatkan sastera kebangsaan.”
Untuk rekod, sejak diasaskan pada 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan mengendalikan pelbagai program di seluruh negara bagi memasyarakatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam sastera kebangsaan sejak 1991, tentulah saya amat menggalakkan penglibatkan penulis pelbagai kaum yang mampu memaparkan budaya, isu dan watak komuniti masing-masing dalam karya bahasa kebangsaan.
Tokoh hebat seperti Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Allahyarham Dr. Othman Puteh antara individu yang mengakui keperluan ini serta menggalakkan penulis bukan Melayu lebih terlibat dalam sastera kebangsaan.
Hasil kajian yang disajikan dalam buku Kavya Sastra turut menganalisis sejauh mana penulis kaum India mampu menampilkan budaya, identiti dan realiti kehidupan komuniti sendiri dalam karya supaya boleh dinikmati dan difahami khalayak pelbagai kaum di Malaysia.
Saya berharap kelahiran buku ini dapat menyumbang kepada penghayatan dan pelaksanaan konsep sastera kebangsaan secara lebih menyeluruh oleh semua pihak terlibat termasuk kerajaan, institusi pendidikan, persatuan penulis dan para penulis yang merasakan diri mereka bertanggungjawab.
Seorang penulis, Ramakrishnan Ramasamy merumuskan buku terbaharu ini sebagai khazanah yang pasti menjadi inspirasi kepada kaum India dan penulis muda. Memang demikianlah juga harapan saya dan rakan-rakan penulis kaum India yang prihatin dan gigih menyumbang kepada perkembangan sastera kebangsaan.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










