Beranikah ikrar bebas rasuah? - Utusan Malaysia

Beranikah ikrar bebas rasuah?

DOMINIC Lau (kanan) mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Gerakan secara maya sambil disaksikan Razim Mohd. Noor (kiri), baru-baru ini. – FB PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP Keluarga Malaysia memberi fokus untuk menamatkan penularan Covid-19, menstabilkan politik serta memulihkan ekonomi negara. Namun, bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, awal-awal lagi sudah ada percubaan untuk menggugat kepemimpinan beliau. Ini termasuk serangan label Kerajaan Gagal 2.0 dan berdepan pelbagai karenah pemimpin politik yang tidak mahu berdamai. Nampaknya politiking tidak berpenghujung terus menjejaskan usaha termasuk kerajaan baharu ini yang sedang melaksanakan tiga agenda utama bagi memulihkan keadaan.

Menghayati maksud dan skop Keluarga Malaysia, maka antara matlamat unggul konsep ini ialah memakmurkan negara serta mensejahterakan rakyat. Namun, usaha merealisasikannya menjadi sukar jika gejala rasuah terus bermaharajalela. Buktinya, Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 jatuh ke ranking 57 daripada 180 negara berbanding 51 pada 2019. Bagi tempoh sama, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding 53, sebelumnya.

Jadi, jelas dan kritikal bahawa gejala rasuah perlu diperangi habis-habisan. Tekad ini perlu dimasukkan dalam senarai keempat agenda pemulihan negara. Tahap rasuah sukar susut dan jauh sekali daripada dihapuskan. Keadaannya sama seperti membanteras dadah dan nyamuk Aedes serta kempen antimerokok dan mencintai alam sekitar.

Sudah berpuluh tahun kempen antirasuah dan usaha memerangi gejala itu digembleng tetapi hasilnya seperti kempen-kempen lain – gagal!

Terbaru, ada perkembangan menarik mengenai penyuburan integriti dan bebas rasuah dalam parti Gerakan. Baru-baru ini, 54 pemimpinnya diketuai Presiden, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Majlis dilakukan secara maya dan disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd. Noor. Rasanya, Gerakan menjadi parti pertama di negara ini melakukan IBR daripada 15 parti yang ada wakil di Dewan Rakyat.

Dominic akan memaparkan isu ini kepada semua parti dan berusaha supaya pemimpinnya memiliki kesedaran sama. Gerakan mahu parti lain memandang serius masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Malaysia serta menunjukkan kesungguhan dan keberanian mereka menolak dan membenci rasuah.

Iltizam tinggi memerangi gejala rasuah turut ditunjukkan menerusi usaha Gerakan yang telah memohon dan melaksanakan pensijilan piawaian antarabangsa ISO 3700:2016 bagi sistem pengurusan antirasuah (ABMS) dan akan menjadi parti politik Malaysia pertama memperoleh pensijilan tersebut.

CABARAN

Dominic berkata, ISO 3700:2016 itu untuk mencegah rasuah secara berkesan dan meningkatkan sistem pengurusan antirasuah di Malaysia. Ini kerana matlamat utama Gerakan ialah memerangi rasuah dan mempromosikan integriti, kejujuran serta kesungguhan dalam politik negara kita.

“Antirasuah adalah cabaran yang dihadapi masyarakat di seluruh dunia. Di bawah kerangka antarabangsa, Gerakan akan terus mempromosikan aktiviti antirasuah di Malaysia,” katanya.

Dengan sifar rasuah, Gerakan ada maruahnya tersendiri sekali gus meningkatkan kredibiliti parti dan pemimpinnya. Jelas, pembudayaan integriti bukan usaha semalaman tetapi dilakukan sejak penubuhan parti itu pada 1968 yang mendukung nasionalisme dan liberalisme. Antara tokoh Gerakan seperti Tun Dr. Lim Chong Eu dan Tan Sri Koh Tsu Koon sangat dihormati kerana tidak pernah kompromi terhadap rasuah selain integriti mereka.

Kesedaran gerakan integriti dan bebas rasuah kian melebar luas. Ranking Malaysia dalam CPI mesti disusutkan. Ini boleh dicapai melalui iltizam pemimpin dan kemahuan politik kerajaan. Jika jentera pentadbiran awam sentiasa ditekankan supaya menjauhi dan bebas rasuah, maka pemimpin politik yang menjadi nakhoda mengemudi bahtera negara juga perlu mengamalkan yang sama.

Apabila entiti korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diasak mewujudkan unit dan jawatan pegawai integriti serta melakukan IBR, organisasi politik pula perlu memberi teladan serupa. Tiada komuniti kayangan dan terkecuali dalam soal rasuah mahupun integriti. Selepas Gerakan mampu melakukan, apakah parti lain ada kesediaan yang sama?

Ada 10 perkara yang dijadikan sumber data sekunder untuk menilai ranking CPI. Jika semuanya dapat diurus dengan baik oleh kerajaan sekarang, ia bakal memberi persepsi positif negara pada kaca mata semua pihak sekali gus menyumbang kepada usaha memulih serta menstabilkan politik, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Selain penting dari sudut diplomatik dan maruah negara di peringkat antarabangsa, ranking CPI juga mampu menggamit pelabur, pelancong, pelajar serta warga asing datang atau sebaliknya menjauhi daripada berurusan di negara ini.

Jadi, bila parti-parti lain di negara ini sanggup dan ada keberanian untuk melakukan IBR? Ini kerana rasuah adalah ibu kepada segala permasalahan yang mengancam kestabilan politik dan sosioekonomi mahupun keselamatan negara. Kes rasuah dan nepotisme dalam negara selain CPI yang akan dikeluarkan Transparency International boleh juga digunakan untuk mengukur tahap pencapaian konsep Keluarga Malaysia. Serius bukan?

PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×