RANTAU Asia Pasifik mengalami perkembangan dan percaturan politik yang berbeza dengan rantau lain khususnya benua Eropah. Amerika Syarikat (AS) tidak menjadi kuasa tunggal yang berkuasa di Asia Pasifik setelah berakhirnya Perang Dingin pada 1991.
Ini berbeza dengan perkembangan politik wilayah di Eropah di mana AS menjadi kuasa tunggal (unipolar) di Eropah apabila berakhirnya Perang Dingin. Tiada kuasa lain yang mencabar kuasa AS di Eropah.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bawah pengawasan AS berjaya meluaskan pengaruhnya ke negara-negara bekas komunis Eropah Timur. Dalam dekad pertama, sebahagian besar bekas anggota Pakatan Warsaw menganggotai NATO.
Kewujudan AS sebagai kuasa tunggal berlaku di Eropah. Eropah yang terbahagi dua semasa era Perang Dingin (iaitu Eropah Timur yang dikuasai pengaruh AS dan Eropah Timur oleh Kesatuan Soviet) kembali menjadi satu di bawah pengaruh AS. Keadaan berbeza berlaku di Asia Pasifik. AS tidak dapat muncul sebagai kuasa tunggal selepas berakhirnya Perang Dingin.
China bangkit sebagai sebuah kuasa baharu yang semakin kuat di Asia Pasifik. Ini tidak memungkinkan AS menjadi kuasa tunggal dan menguasai sepenuhnya Asia Pasifik sebagaimana mereka menguasai Eropah. Bagaimanakah kebangkitan China ini boleh berlaku? Apakah tindakan yang dilakukan oleh China sebagai sebuah kuasa baharu selepas berakhirnya Perang Dingin? Apakah tindakan China memberi cabaran kepada AS yang mempunyai pengaruh besar sejak awal Perang Dingin?
Kebangkitan China mempunyai hubungan dengan pembentukan AUKUS iaitu kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan AS. AS dan sekutunya perlu bertindak bagi membentuk kestabilan dan keselamatan dalam suasana baharu kebangkitan China. AS perlu bertindak menjaga kepentingannya di Asia Pasifik.
China mula bangkit sebagai kuasa ekonomi baharu bermula dari pentadbiran Presiden Deng Xiaoping pada hujung 1970-an. Kebangkitan China juga hasil hubungan baik dengan AS dalam era struktur tripolar khususnya 1980 hingga 1991.
Dalam struktur tiga kuasa ini, Asia Pasifik didominasi tiga kuasa iaitu AS, Kesatuan Soviet dan China. Dalam usaha melemahkan Kesatuan Soviet, AS banyak membantu China dalam aspek teknologi dan pembangunan ekonomi. Ekonomi China berkembang pesat dengan ekonomi terbuka yang dimulakan oleh Deng Xiaoping dan diteruskan oleh Presiden Jiang Zemin dan pemimpin seterusnya.
Pertumbuhan pesat sepanjang 1980-an, 1990-an dan 2000-an menjadikan China sebagai kuasa ekonomi dunia yang kuat. Pada akhir 2010, China mengatasi Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua dunia. Pertumbuhan ekonomi China jika berterusan dengan kadar pertumbuhan semasa dijangkakan mengatasi ekonomi AS dalam beberapa dekad lagi.
China menterjemahkan kekuatan ekonominya kepada pertahanan dan ketenteraan. Perbelanjaan pertahanan China adalah antara yang terbesar. Pemodenan dan teknologi ketenteraannya meningkat pesat.
JEPUN, KOREA SELATAN, TAIWAN
Dengan kekuatan yang ada, dilihat China cuba bertindak untuk menjadi kuasa hegemoni baharu di Asia Pasifik. Tindakan di wilayah Laut China Utara dan Laut China Selatan menyamai AS pada akhir abad ke-18 dan ke-19 dalam usaha membina kuasa wilayah hegemoni di hemisfera Barat. Tindakan China yang bersifat ofensif seakan mencabar kedudukan AS di Asia Pasifik wujud sejak selepas Perang Dunia Kedua.
Adakah AS akan membiarkan China menjadi kuasa wilayah hegemoni? Adakah kedudukan dan kepentingan AS akan tergugat jika tindakan ofensif China tidak dibendung?
Apakah akan berlaku kepada Asia Pasifik jika AS keluar meninggalkan rantau ini dan membiarkan kuasa-kuasa wilayah (Jepun, Korea Selatan, Taiwan) melakukan percaturan kuasa baharu dengan China?
Jawapan mudahnya, AS tidak akan membiarkan China bangkit tanpa dibendung dan menjadi kuasa hegemoni baharu di Asia Pasifik. Sudah pasti kedudukan dan kepentingan AS dan negara-negara sekutunya akan tergugat andainya kebangkitan China tidak dibendung.
Jepun, Korea Selatan dan Taiwan belum cukup bersedia membentuk kestabilan baharu menghadapi kuasa ketenteraan China. Kuasa-kuasa wilayah pro-AS ini masih memerlukan bantuan AS.
Pakatan pertahanan bilateral yang dimeterai oleh AS dengan Jepun (1951), Korea Selatan (1953) dan Taiwan (1954) masih lagi mempunyai peranan besar dan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa. Kestabilan tidak mungkin dapat dibentuk dengan mudah dan memungkinkan berlakunya konflik besar dan peperangan.
Kebangkitan China sebagai kuasa hegemoni baharu mesti dibendung. Pakatan AUKUS dilihat sebahagian daripada polisi pembendungan oleh AS. AUKUS perlu berfungsi sebagai satu pakatan kerjasama pertahanan bagi membentuk keseimbangan dan keselamatan serantau.
Kerjasama AS dalam menyediakan Australia dengan kapal selam teknologi kuasa nuklear adalah satu keperluan bagi teknologi semasa. Tindakan ofensif China akan mendapat reaksi baharu kuasa hegemoni sedia ada. Diharapkan AUKUS akan membawa satu keseimbangan antara kuasa baharu China yang cuba membentuk kuasa wilayah hegemoni dan kuasa AS yang telah sedia wujud.
Dengan terbentuknya keseimbangan kuasa antara China dan AS akan dapat mengurangkan konflik dan diharap dapat mengelak daripada berlakunya peperangan. AUKUS adalah satu tindakan yang perlu bagi AS dan negara sekutunya sebagaimana pernah dilakukan dalam era Perang Dingin bagi membentuk keseimbangan kuasa dan kestabilan serantau.T
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi profesor pelawat di Universiti Antarabangsa Balkan, Skopje, Macedonia dan pernah mengajar di Universiti Antarabangsa Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.










