Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah hampir melabuhkan tirainya. Walaupun kali ini gagal mengekalkan prestasi sepertimana dicapai di Olimpik Rio 2016, namun kita tetap berbangga dengan usaha keras para atlet negara untuk mengharumkan nama Malaysia. Malah ramai atlet kita beraksi cemerlang walaupun gagal memenangi pingat.
Contohnya, Azreen Nabila Alias dalam acara balapan dan pemain badminton, Lee Zii Jia begitu membanggakan. Apatah lagi ini merupakan kali pertama mereka bersaing di sukan Olimpik. Para atlet juga terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam suasana penularan Covid-19.
Terbukti semangat Malaysia Boleh! bukanlah sekadar slogan kosong.
Kita boleh berjaya dalam saingan di peringkat dunia jika berusaha keras dan cekal dalam mengatasi segala rintangan. Insya-Allah, mudah-mudahan kita akan berjaya mencipta kejayaan lebih cemerlang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
RIO
Malaysia mempunyai ramai atlet berbakat besar. Sukan Paralimpik Rio 2016 membuktikan kita juga mempunyai atlet-atlet paralimpik sangat hebat. Satu kejayaan besar apabila atlet paralimpik tanah air berjaya membawa pulang tiga pingat emas. Lebih membanggakan apabila Abdul Latif Romly berjaya mencipta tiga rekod dunia berturut-turut dalam acara lompat jauh. Skuad negara turut mencipta lima rekod dunia baharu bagi acara lompat jauh.
Saya masih ingat saat mengikuti perkembangan acara tersebut ketika berada di Tanjung Piai. Walaupun ketika itu sambungan internet di tanah penghujung selatan benua Asia itu tidak begitu baik, namun saya tidak berputus asa. Meremang bulu roma ketika mendengar lagu Negaraku berkumandang berkali-kali. Semoga kejayaan itu sentiasa menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet kita untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
Tahniah kepada semua atlet negara yang memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Jutaan terima kasih juga kerana membawa Jalur Gemilang ke pentas dunia dengan megah. Anda semua adalah wira-wira kami.
Saya mendoakan para atlet kita terus kekal bersemangat, berdisiplin serta komited. Semoga mereka akan terus berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan Olimpik dan Paralimpik pada tahun-tahun mendatang. Genggam amanat wira, julang panji Malaysia!
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.











