Dari segi makna, istilah ‘budaya’ berasal daripada gabungan perkataan buddhi dalam bahasa Sanskrit dan daya dalam bahasa Melayu.
Menurut Nik Safiah Karim dalam buku Kajian Kebudayaan Melayu (1963), buddhi membawa makna kecergasan akal dan fikiran, manakala daya bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh semula jadi. Dengan itu, perkataan budaya boleh difahami sebagai tenaga fikiran, usaha rohani dan kuasa yang menggerakkan jiwa.
Dari sudut antropologi kebudayaan, komponen budaya tidak mampu diukur menggunakan kaedah atau kajian saintifik kerana bersifat relatif. Setiap bangsa, kaum, keturunan dan etnik memiliki nilai kebudayaan dan nilai budaya yang khusus, tersendiri serta tidak sama dengan budaya pihak lain.
Pemahaman terhadap konsep antropologi kebudayaan yang diperkenalkan oleh Bapa Antropologi Amerika, Franz Boas pada 1940 serta pendekatan kebudayaan dari sudut sosiologi yang diperkatakan oleh Rohana Yusof pada 1996 boleh membantu para penulis tanah air menghasilkan karya lebih bermutu.
Boas mementingkan keperluan meneliti kebudayaan sesuatu etnik secara objektif tanpa memasukkan pandangan, pendirian atau andaian individu yang melakukan penelitian.
Pendekatan yang diperkenalkannya amat sesuai digunakan dalam melakukan pemerhatian terhadap penduduk pelbagai latar budaya seperti di Malaysia. Hasil penelitian antropologi kebudayaan seperti ini boleh membantu penduduk majmuk saling memahami. Bagi para penulis pula, peluang menghasilkan karya lebih bernilai.
Konsep relatif oleh Boas menekankan hakikat setiap bangsa, kaum, keturunan, etnik atau kumpulan manusia memiliki kebudayaan dan budaya yang unik serta diperturunkan dari generasi ke generasi. Pengalaman budaya yang unik itu perlu dilihat secara objektif tanpa dipengaruhi pandangan, andaian atau pendirian kita sebagai pemerhati.
Budaya dan kebudayaan bersifat relatif, tidak mutlak dan tidak boleh diukur menggunakan nilai budaya kumpulan lain. Malah, budaya dan kebudayaan sesuatu kaum juga tidak mutlak tetapi bersifat relatif. Contohnya, kaum India terdiri daripada pelbagai keturunan, agama, fahaman, mazhab, ideologi dan sebagainya. Maknanya, tidak homogeneous dan stereotaip.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk kaum India di Malaysia pada 2016 adalah 1.99 juta orang, iaitu tujuh peratus daripada populasi. Kaum India di negara ini terdiri daripada keturunan Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi, Gujerat, Sindhi, Sinhala, Bengali, Tamil Sri Lanka dan beberapa subkumpulan lain. Agama yang dianuti termasuk Hindu, Kristian, Islam, Buddha, Sikh, Baha’i dan Jainisme.
Dari segi bahasa pula, oleh kerana majoriti orang India di Malaysia adalah keturunan Tamil, maka rata-rata masyarakat Malayali, Telugu dan Punjabi yang merupakan minoriti juga mampu menggunakan bahasa Tamil.
Situasi ini turut membuatkan ramai orang melakukan kesilapan dengan menggelar orang Malayali dan Telugu sebagai orang Tamil.
Selain itu, walaupun ramai kaum India di negara ini tinggal dan bekerja di ladang dan estet sejak sekitar 1900-an, menjelang 2010, data Jabatan Perangkaan Malaysia seperti yang dipaparkan dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017) menunjukkan hanya 11 peratus kaum India tinggal di luar bandar, manakala 89 peratus tinggal di bandar.
KREATIVITI
Para penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera kebangsaan memiliki kelebihan untuk memaparkan fakta sebenar tentang identiti budaya kaum yang mereka wakili menerusi karya yang dihasilkan. Mereka mampu menggunakan daya kreativiti dalam penulisan untuk mengetengahkan identiti budaya dan sejarah hidup kaum India dalam karya seperti cerpen untuk dinikmati masyarakat majmuk.
Ramli Isin dalam buku Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa (1997) menegaskan, seseorang hanya dianggap menjadi pengarang yang berjaya apabila mampu menggambarkan, menampilkan dan mentafsir aspek budaya masyarakatnya dalam karya yang dihasilkan.
Pandangan ini boleh digunakan untuk mengukur tahap kejayaan para penulis pelbagai kaum yang terlibat dalam penulisan karya bahasa kebangsaan di negara kita.
Sesungguhnya, terdapat hubungan erat antara karya sastera yang menggambarkan budaya dalam teks dengan realiti budaya dalam masyarakat di luar teks khususnya dari sudut pandangan dunia, pemikiran dan kesedaran bersama.
Segala hal yang dipaparkan dalam karya sastera bukannya khayalan semata-mata sebaliknya merupakan citra budaya dan hal yang benar-benar berlaku dalam masyarakat. Malah, karya sastera dan fiksyen biasanya mengambil idea daripada realiti budaya masyarakat setempat.
Abdullah Taib dalam buku Asas-asas Antropologi (1985) menjelaskan, kebudayaan adalah tingkah laku yang dipelajari dan diturunkan dari generasi ke generasi, bukan diwarisi atau sebahagian daripada genetik.
Budaya dan kebudayaan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk juga pengetahuan, kepercayaan, seni, undang-undang, moral, adat dan pelbagai kemahiran lain.
Budaya dipelajari sejak kecil dengan cara hidup bermasyarakat dan kemudian diajar pula kepada generasi seterusnya. Kebudayaan bukan diamalkan secara individu, sebaliknya menjadi amalan masyarakat secara kolektif.
Sebenarnya, konsep budaya meliputi segala hal berkaitan dengan akal dan pemikiran manusia. Hal itu pula perlulah asli dan bukannya peniruan daripada budaya masyarakat lain. Kebudayaan juga tidak hanya terhad kepada tarian, muzik, makanan dan pakaian.
Sebaliknya merangkumi segala aspek kehidupan sesuatu masyarakat. Masing-masing kaum, keturunan dan etnik di Malaysia memiliki budaya yang unik dan berbeza, khususnya kebudayaan tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Bagi memastikan khazanah budaya dan kebudayaan tidak pupus dan dilupakan, dokumentasi adalah penting. Selain buku akademik, jurnal dan esei ilmiah, karya sastera dan fiksyen juga boleh memastikan budaya kita tetap terpelihara dan terus hidup zaman-berzaman.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










