Gunung Jerai parah ‘berparut’ - Utusan Malaysia

Gunung Jerai parah ‘berparut’

JPJ menawarkan gantian percuma bagi kehilangan atau kerosakan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Sijil Pemilikan Sementara (VOC) kepada mangsa banjir di Yan, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDUDUK di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah kini tidak dapat tidur lena dan bermimpi indah lagi selepas tragedi kepala air di gunung tertinggi di negeri itu pada petang, 18 Ogos lalu.

Kebanyakan penduduk terlibat masih trauma dengan kejadian ngeri itu dan mereka diselubungi ketakutan setiap kali hujan lebat, bimbang gunung yang mempunyai ketinggian 1,217 meter kembali meletuskan fenomena kepala air lebih buruk. Malah deruan air sungai berdekatan rumah mereka yang semakin tenang mengalir dari Gunung Jerai juga dibimbangi sekali lagi bertukar menjadi gelombang ganas.

Tragedi ‘tsunami Jerai’ yang meletus pada pukul 3.30 petang berlaku selepas hujan lebat luar biasa di kawasan puncak gunung tersebut. Dalam kejadian, arus deras membawa bersama-sama bongkah batu dan pokok balak meranapkan beberapa rumah dan chalet di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Antara kawasan dan kampung terjejas di Yan ialah Perigi, Teroi Bukit, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setol. Turut terjejas dalam tragedi itu penduduk di Taman Lembah Merbok dekat Tupah dan Singkir di Kuala Muda.

Dilaporkan sebanyak 1,732 rumah, 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet di Yan dan Tupah, Merbok, Kuala Muda terjejas apabila dilanda banjir lumpur sehingga mencapai paras 1.5 meter.

Sementara itu, pelbagai kemudahan infrastruktur di Yan dan Kuala Muda seperti jalan, jambatan dan bekalan air masyarakat juga mengalami kerosakan. Jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian kepala air terburuk di Gunung Jerai pula dianggarkan kira-kira RM75 juta.

Lebih menyayat hati, enam penduduk tempatan ditemukan mati di bawah timbunan kayu dan lumpur selepas dihanyutkan arus deras.

Bukan itu sahaja, muka bumi di kawasan yang terlibat dengan tsunami Jerai juga berubah apabila menghasilkan kira-kira lima sungai baharu dan kampung menjadi pulau selepas terkepung antara sungai asal dan aliran sungai baharu. Keadaan tersebut berlaku apabila arus berkelajuan tinggi bergerak secara lurus dan apabila sampai di selekoh sungai akan menghakis tebing sehingga membentuk aliran sungai baharu.

ALIRAN PUING

Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Stesen Hujan Gunung Jerai dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting masing-masing merekodkan bacaan kumulatif 281 millimeter (mm) dan 172 mm pada hari kejadian. Dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman memberitahu, bencana geologi di Gunung Jerai membentuk sekurang-kurangnya 47 kawasan runtuhan atau ‘parut’ baharu pada cerun puncak dan lereng gunung. Menurutnya, kawasan-kawasan parut itu sebelum ini ditutupi dengan pokok-pokok hutan.

Jelasnya lagi, bencana geologi tersebut adalah proses semula jadi yang boleh berlaku apabila terdapat gabungan jenis batu dan retakan dalam batuan, selain ditambah dengan faktor penyumbang lain seperti hujan dan gegaran di kawasan bercerun lebih 25 darjah.

Dalam pada itu, pakar geobencana, Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kejadian berkenaan mempunyai persamaan dengan tragedi Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 yang meragut 44 nyawa penduduk setempat.

Bagaimanapun, katanya, istilah kepala air dalam kejadian itu tidak tepat sebaliknya ia adalah ‘aliran puing’ kerana kejadian kepala air tidak melibatkan tanah runtuh.

DEMI ALLAH

Selain itu, sejurus selepas tragedi, pelbagai pihak mendakwa kejadian berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Jerai.

Namun, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor menolak dakwaan tersebut dengan bersumpah ‘demi Allah’ bagi menafikan tiada aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Jerai yang mempunyai keluasan 8,560 hektar. Kawasan hutan simpan tersebut diwartakan sebagai Hutan Perlindungan pada 30 Mei 1953.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perhutanan, tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai sejak 30 tahun dahulu.

Selepas seminggu tragedi, belum pun hilang sedih penduduk kampung terlibat, mereka terpaksa pula terpaksa membersihkan lumpur di pekarangan dan di dalam rumah yang melebihi paras lutut. Malah terdapat dalam kalangan mereka terpaksa menggunakan jentolak dan jengkaut untuk kerja-kerja membersihkan lumpur yang tebal dan timbunan kayu balak yang terdapat di halaman rumah.

Golongan warga emas pula sekadar menunggu sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkampung di kawasan tragedi atau menunggu anak-anak mereka yang tinggal berjauhan balik membantu membersihkan lumpur di rumah mereka. Malah kerja-kerja membersihkan lumpur dan kayu balak yang terlalu banyak itu dijangka mengambil masa lebih dua minggu.

Bagaimanapun, penduduk yang sedih menarik nafas lega selepas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob melawat lokasi kejadian dan bertanya khabar mangsa meluluskan peruntukan sebanyak RM78 juta untuk membaik pulih serta menaik taraf infrastruktur di kawasan terjejas.

Peruntukan itu bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf jalan raya, jambatan, bekalan air masyarakat dan rumah penduduk yang rosak.

Penduduk terkesan mengharapkan peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri dapat diagihkan dengan segara untuk membantu memulihkan rumah mereka dan kemudahan infrastruktur lain. Ini kerana kebanyakan penduduk terlibat tidak mampu untuk membaik pulih rumah yang rosak dalam tragedi tersebut kerana kesempitan hidup.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×