Gembleng ahli Parlimen perangi pandemik - Utusan Malaysia

Gembleng ahli Parlimen perangi pandemik

KITA perlu berikan sokongan padu kepada Perdana Menteri agar beliau dapat memacu negara keluar daripada ancaman Covid-19. – UTUSAN/SYARAFIQ ABD SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Negara berhadapan tiga krisis atau ancaman meruncing sejak Mac 2020, iaitu pandemik Covid-19, ekonomi dan ketidakstabilan politik. Kita telah saksikan bagaimana suasana aman dan sejahtera negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 terjejas ekoran krisis ini.

Wabak yang pada mulanya dapat dikawal dengan jayanya oleh kerajaan, semakin hari semakin serius kerana pertimbangan yang perlu dibuat antara menjaga kesihatan rakyat dan pembukaan perniagaan untuk ekonomi. Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan demi kesejahteraan rakyat juga kadang-kadang membawa kesan negatif.

Ancaman ini mengakibatkan kes Covid-19 keseluruhan negara mencecah lebih 1.5 juta setakat kelmarin dengan kehilangan nyawa lebih 14,000 orang. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang pada mulanya menghadapi cabaran perolehan vaksin, kebelakangan ini berjaya membawa Malaysia sebagai antara negara dengan kadar vaksinasi penduduk yang tinggi.

Untuk mendapatkan kesan efektif, perang Covid-19 haruslah dengan pendekatan bersepadu seperti berikut:

Ujian saringan massa yang agresif perlu dijalankan secara bersasar untuk kelompok-kelompok yang dikenal pasti dan di negeri- negeri yang secara puratanya merekodkan kes-kes tinggi.

Pengesanan kontak ketat diperlukan supaya mereka yang disyaki menghidap Covid-19 mematuhi SOP jika dikuarantin di rumah atau di pusat jagaan.

Keupayaan memvaksin lebih 500,000 orang sehari perlu ditingkatkan kepada 700,000 untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus dengan lebih cepat.

Penguatkuasaan ketat dan pembudayaan pematuhan SOP yang tinggi haruslah menjadi budaya norma baharu bagi menghadapi varian-varian baharu yang bakal sampai ke negara kita kerana Covid-19 adalah pandemik berpanjangan dan berterusan jangka hayatnya.

Pandemik dan ketidakstabilan politik telah menjejaskan kelangsungan ekonomi negara dengan penutupan perniagaan dalam tempoh sekatan pergerakan selama 17 bulan lepas. Banyak syarikat gergasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dapat menjalankan perniagaan seperti sediakala. Ekonomi terus mengucup dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) empat peratus.

Pentadbiran negara yang dinamik diperlukan untuk menangani pandemik, kemurungan ekonomi dan politik negara. Maka perlu ketokohan dan kepakaran ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang digembleng untuk menyelesaikan permasalahan negara dengan segera.

Politik ‘era baharu’ memerlukan pendekatan berbeza untuk mencapai hasrat diingini. Politik rentas parti (bipartisan) yang mengajak ahli-ahli parti pembangkang memainkan peranan mereka dalam jawantankuasa tertentu dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) demi kestabilan politik tanah air yang amat mustahak pada saat-saat ini.

Marilah kita berikan sokongan padu kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya beliau dapat berlapang dada dan menjalin kerjasama erat dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat sejagat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta membawa Malaysia keluar daripada ancaman Covid-19.

PENULIS ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×