TEKA-TEKI siapa yang akan menganggotai barisan Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah pun terjawab. Pengumuman senarai Kabinet semalam merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri menamatkan segala spekulasi yang bertiup kencang sejak seminggu lalu.
Secara umumnya, Ismail Sabri memilih untuk membentuk saiz Kabinet yang besar iaitu 70 orang termasuk Perdana Menteri. Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai 26 menteri dan 23 timbalan menteri, kesemuanya 49 orang. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula tampil dengan 29 menteri serta 38 timbalan menteri dengan jumlahnya menjadi 69 termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Sesungguhnya, Ismail Sabri berhadapan dengan cabaran yang besar dalam penyusunan dan pembentukan Kabinet baharu ini kerana terpaksa mengimbangi antara tuntutan politik dengan harapan rakyat. Akhirnya, inilah Kabinet yang ada dan kita berharap mereka dapat berfungsi dengan baik dan menjadi Kabinet yang sentiasa mendukung integriti dan amanah dengan jujur dan ikhlas.
Dalam hal ini, rakyat mungkin tiada masalah dengan saiz Kabinet asalkan semuanya dapat bekerja untuk rakyat, melaksanakan inisiatif untuk mengeluarkan negara daripada krisis kesihatan, ekonomi dan kekusutan politik sekali gus menjamin kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Tuntasnya seperti kata Ismail Sabri, kita mahu Kabinet ini berorientasikan hasil dan pencapaian dengan berpegang teguh kepada tiga prinsip yang digariskan, iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Walaupun sebahagian besar anggota Kabinet ini merupakan muka lama dari Kabinet sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun harus diingat, mereka kini berada di bawah nakhoda baharu. Justeru, kita perlu berlaku adil kepada Ismail Sabri dan barisan Kabinetnya dengan memberi peluang yang secukupnya untuk mereka membuktikan kemampuan. Tambahan pula dalam keadaan pandemik, kita tidak boleh melakukan perubahan yang terlalu drastik kerana boleh mengganggu kelancaran jentera pentadbiran kerajaan.
Di samping itu, pengekalan jawatan Menteri Kanan seperti pentadbiran lalu melenyapkan sama sekali desas desus pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri tatkala wujud spekulasi ada ugutan daripada parti tertentu untuk menarik sokongan cukup menarik untuk diperhalusi. Apa yang boleh disimpulkan dengan keputusan ini, Ismail Sabri berani mengambil risiko, tidak melayan sebarang bentuk tuntutan mahupun ugutan serta menzahirkan komitmen yang tinggi untuk membentuk kerajaan berpaksikan rakyat.
Perubahan portfolio beberapa menteri dari pentadbiran terdahulu juga agak menarik untuk diteliti. Antara yang menarik perhatian ialah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan. Ini antara keputusan yang cukup tepat dan memenuhi ekspektasi rakyat. Hal ini kerana rakyat dapat melihat keberkesanan kepimpinan Khairy dalam menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Jadi, kita berharap Khairy dapat mengemudi Kementerian Kesihatan untuk menangani pandemik dengan lebih cekap dan efisien.
Pada masa sama, kemunculan kembali beberapa pemimpin lama UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Datuk Seri Shahidan Kassim tidaklah begitu memeranjatkan. Mereka sememangnya disebut-sebut bakal menyertai Kabinet baharu. Masing-masing pernah menjadi menteri sebelum ini, justeru kita berharap pengalaman, ketokohan dan kewibawaan yang ada dapat digembleng untuk membantu jentera pentadbiran Ismail Sabri.
100 HARI
Barisan menteri dan timbalan menteri ini perlu segera tampil dengan inisiatif yang lebih berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi sekali gus membolehkan kita mencapai misi imuniti kelompok menjelang Oktober nanti. Di samping itu, perlu ada usaha drastik untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara khususnya dengan cara meyakinkan para pelabur. Bantuan kepada golongan terjejas juga perlu diteliti semula memandangkan masih ramai yang hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Seperti dijanjikan, kita mahu melihat pembentangan pencapaian awal setiap kementerian dalam tempoh 100 hari akan datang.
Jadi, jujurnya rakyat meletakkan harapan terlalu besar kepada barisan Kabinet ini dengan hasrat boleh menjadi Kabinet Keluarga Malaysia yang mewakili dan berkhidmat untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan sosioekonomi. Ringkasnya, jadilah menteri yang berbakti kepada rakyat dan negara dan bukan kepada parti masing-masing. Buang jauh-jauh baju parti mahupun kepentingan parti kerana tugas Kabinet merentasi ideologi parti politik.
Sudah tentu barisan Kabinet diumumkan ini bakal mengundang pelbagai reaksi termasuk akan ada yang mempertikaikannya serta menuduh Kabinet ‘kitar semula’, namun diharap ia tidak melemahkan semangat Ismail Sabri dan pasukannya. Ironinya, mana mungkin kita mampu memuaskan hati semua pihak, justeru teruskanlah langkah ke hadapan dan buktikan ini adalah barisan Kabinet Keluarga Malaysia yang terbaik serta boleh berfungsi dengan cekap dan efisien demi kelangsungan hidup rakyat dan negara.
Tahniah dan selamat bertugas kepada barisan Kabinet yang baharu dilantik.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










