Bekerja bersama rakyat - Utusan Malaysia

Bekerja bersama rakyat

CABARAN yang menanti Ismail Sabri Yaakob (kanan) bukan mudah kerana beliau mengambil alih teraju ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu melegakan semua kalangan, dari istana sehinggalah rakyat biasa di sebalik belantara kerana ia dengan sendiri meredakan suatu kemelut.

Tidak ada sesiapa yang waras mahukan kemelut seperti itu berulang. Ia sepatutnya berakhir di situ, sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Bukan semua orang mengalu-alukan pelantikan Ismail Sabri. Mereka yang didorong sentimen tertentu dan oleh sebab-sebab yang kurang jujur, memang tidak akan berpuas hati dengan apa sahaja yang tidak seiring dengan kehendak mereka.

Apa yang penting, majoriti rakyat menerima baik pelantikan itu kerana pada akhirnya rakyatlah sebijak-bijak hakim dalam mengadili upaya pemimpin.

Bagi yang mengenali politik Malaysia dan pemain-pemainnya pula, pasti mengakui Ismail Sabri memiliki pakej yang lebih daripada mencukupi untuk menduduki kerusi nombor satu dalam kerajaan.

Latar belakang pendidikan, kerjaya dan pengalaman politiknya melepasi garis kelayakan. Perwatakannya yang tenang, lembut dengan skil komunikasi yang baik dan paling penting tidak kontroversi memberikan nilai tambah kepada anak negeri Pahang ini.

Jika diamati, dalam suasana politik yang tegang, bilamana beliau mengalami tekanan daripada partinya dan pada masa sama perlu menunaikan kewajipan terhadap amanah yang diberi kepadanya sebagai anggota Kabinet yang kemudiannya dilantik menjadi orang nombor dua dalam kerajaan, Ismail Sabri sangat berhati-hati.

Beliau lebih banyak mendiamkan diri dan hanya tampil membuat kenyataan ketika keadaan benar-benar perlu. Pun begitu, pendiriannya teguh. Tidak goyah bila diacah. Beliau meletakkan keutamaan yang lebih besar berbanding keutamaan-keutamaan lain. Beliau lulus ujian itu.

Bagaimanapun, yang menanti Ismail Sabri di hadapan bukan kerja mudah. Beliau mengambil alih teraju dalam keadaan negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.Pada masa sama, Malaysia sebagaimana kebanyakan negara lain berdepan kemurungan ekonomi yang berpunca daripada pandemik itu.

Cabaran tidak kurang besarnya adalah untuk membetulkan persepsi sebilangan rakyat yang telah dipesongkan oleh manipulator politik sehingga percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini gagal menangani krisis pandemik dan masalah ekonomi. Cerita kegagalan diada-adakan ini yang diukur dengan pembaris bengkok, perlu dipadamkan.

Sebagai Perdana Menteri baharu, Ahli Parlimen Bera itu menggalas harapan baharu pelbagai pihak. Yang terdekat tentulah daripada parti yang mendukungnya sendiri, iaitu UMNO.

Selepas itu, rakan-rakan dalam PN yang bersama-sama dengannya berjuang pagi, petang, siang, malam untuk memastikan negara ini terus diurus dengan baik walaupun dalam suasana ‘peperangan politik’.

DOMINAN

Senario politik sejak selepas PRU-14 tidak sama lagi dengan puluhan dekad sebelumnya. Tidak ada lagi parti politik yang dominan.

Tiada mana-mana parti boleh berdiri megah seperti Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Sekarang untuk membentuk kerajaan, semuanya perlu saling tongkat-menongkat. Jatuh satu, rebah semua.

Dalam hal ini misalnya, perkara yang perlu diinsafi ialah Ismail Sabri bukan hanya menjadi Perdana Menteri kepada UMNO yang memiliki 37 kerusi.

Beliau menjadi Perdana Menteri kerana kecekalan 100 ahli Parlimen asas dalam PN. Kemudiannya ditambah 14 sokongan semula daripada UMNO. Tanpa sokongan ini barangkali untuk melengkapi kerajaan ini perlu diisi oleh orang lain.

Ucapan perdana Ismail Sabri mengemukakan idea Keluarga Malaysia. Malaysia adalah milik semua dengan kepelbagaian etnik dan budaya.

Apabila Ismail Sabri dipilih untuk mengemudi keluarga besar dengan cogan kata Bekerja Bersama Rakyat, berilah ruang seluas-luasnya kepada beliau untuk menentukan langkah dan tindakannya.

Sebagai contoh dalam soal pelantikan anggota Kabinet, hormatilah hak prerogatif beliau untuk menentukan siapa yang boleh bekerja bersamanya. Tidak perlu ada campur tangan lain yang bakal mengusutkan lagi keadaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos lalu menitahkan supaya parti-parti politik mengambil pendekatan baharu dengan semua pihak harus bersedia bekerja dalam satu pasukan. Itu juga harapan dan ia bukanlah harapan yang calang-calang.

Dalam politik, antara perkara yang menyulitkan adalah apabila wujud kalangan yang merasakan mereka memberikan lebih banyak sumbangan dan kerana itu perlu diberi lebih layanan.

Mereka lebih istimewa, kerana itu harus diistimewakan. Kecil hati, marah dan dendam akan menyusul selepas mereka gagal mendapat apa yang berhak, walaupun sebenarnya hak itu boleh dipersoalkan.

Apabila beliau berhasrat menurunkan suhu politik negara dengan mengakui sumbangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, ia sesuatu permulaan yang baik. Tangan sudah dihulur untuk rakan pembangkang menyumbang sama dalam pemulihan Covid-19 dan menambah baik ekonomi.

Berdasarkan pengalaman peribadi, saya yakin Ismail Sabri mampu mencermati semua isu ini dengan baik. Yang diperlukan hanyalah sokongan kita semua.

Yang negatif kita letakkan di tepi. Kata John Maxwell: “Orang yang pesimis akan merungut tentang angin, yang optimis yakin angin akan berubah, tetapi seorang pemimpin tulen akan berusaha membetulkan layar.”

Marilah kita sama-sama membantu Ismail Sabri membetulkan layar itu.

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×