Lebih takut kompaun daripada virus - Utusan Malaysia

Lebih takut kompaun daripada virus

Walaupun sudah lebih setahun SOP diperkenalkan, tetap ramai yang langgar dan dikompaun. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenapa kita masih belum berjaya keluar daripada hentaman virus Covid-19? Walaupun majoriti rakyat patuh dan akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prosedur operasi standard (SOP) saban hari, namun perang ini masih belum menang?

Kes positif Covid-19 di seluruh negara terus berada pada garisan kritikal. Masih lima angka dan masih jauh untuk mencapai sasaran Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu 4,000 kes sehari untuk 14 negeri.

Mungkin ada yang menjawab, ini semua akibat sikap keras kepala sesetengah masyarakat kita yang angkuh melawan arus, melanggar segala perintah PKP, SOP dan kekal dengan norma lama kehidupan.

Ya, tidak boleh disanggah akan jawapan itu. Setiap hari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan melaporkan jumlah individu yang melanggar SOP. Walaupun sudah lebih setahun SOP diperkenalkan dalam kehidupan kita, tetap ramai yang langgar dan dikompaun.

Tidak kisahlah SOP berubah-ubah mengikut situasi semasa dan keadaan lokaliti, secara asasnya, antara SOP pada 18 Mac 2020 dengan SOP pada hari ini, ia didirikan atas asas sama iaitu bagi mengurangkan kita berada pada tempat yang sesak, tempat sempit dan tertutup, serta bersembang secara dekat (3S).

Tidak teringinkah kita untuk belajar sesuatu dari negara-negara yang telah hampir pulih sepenuhnya daripada pandemik ini? Kita ambil contoh, Jepun. Walaupun tidak sepenuhnya pulih, namun statistik menunjukkan graf kes harian di Jepun sudah mula melandai dan makin terkawal.

Cepat sungguh Jepun berjaya dalam jihad menentang pandemik ini, mengalahkan banyak lagi negara lain yang lebih kaya, besar dan berkemampuan.

Adakah kerana Jepun juara dalam proses pemberian vaksin terhadap masyarakatnya? Jawapannya tidak juga. Malah, Malaysia antara negara terbaik dalam proses pemberian vaksin seperti mana dilaporkan setiap hari oleh dua menteri Kabinet yang menyelaras proses vaksinasi, iaitu Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Khairy Jamaluddin.

Ada yang berpendapat, negara matahari terbit itu menggunakan pembudayaan penjagaan kesihatan sebagai satu cara untuk mereka lekas keluar daripada kepungan virus maut ini.

3W, 3S

Membudayakan penjagaan kesihatan diri di tempat awam, menjaga kebersihan keperluan makanan harian dan telah lama mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi masyarakat di sana. Atau di Malaysia lebih popular dengan saranan Amalkan 3W, Elakkan 3S.

Menurut cerita, pembudayaan memakai pelitup muka di Jepun telah bermula sejak wabak Spanish flu sekitar 1918 ke 1920 yang melanda negara berkenaan. Pada waktu itu, masyarakat Jepun mula memakai pelitup muka sebagai suatu langkah penjagaan diri daripada dijangkiti virus berbahaya.

Bezanya, mereka memakai pelitup muka bukan kerana takut kehilangan Yen akibat didenda atau dikompaun, sebaliknya sedar betapa bahayanya wabak tersebut dan keperluan mendesak untuk pemakaian pelitup muka.

Disiplin inilah yang membumi dalam masyarakat negara itu sehingga ke hari ini. Dalam konteks semasa, mereka berasa malu sekiranya masih ada masyarakat sekeliling dijangkiti sesuatu virus. Maksudnya, masih terdapat amalan penjagaan kesihatan diri yang ‘bocor’ atau tidak berkesan dalam kalangan jiran tetangga.

Cukup berbeza dengan kebanyakan masyarakat kita. Kita mengikut peraturan atau arahan pemerintah dek kerana takut kepada kompaun dan denda. Jarang-jarang sekali ada dalam kalangan kita yang mengikut peraturan kerana mahu virus berkenaan terhenti.

Di mana sivik kita wahai masyarakat Malaysia?

Penulis ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×