Islam dan kepahlawanan - Utusan Malaysia

Islam dan kepahlawanan

Dalam aspek kehidupan yang lebih luas, semangat juang dan nilai-nilai kepahlawanan terzahir dalam pelbagai bentuk dimensi. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT yang kita mungkin sering terlupa ialah kemerdekaan dan keamanan. Melalui nikmat ini, kita mampu meneruskan kehidupan dan melakukan amal ibadat dengan penuh tenang dan khusyuk. Ini jauh berbeza dengan mereka yang tinggal di wilayah-wilayah yang berada dalam konflik dan kancah peperangan seperti Palestin.

Keamanan ini bukan datang dengan sendiri, sebaliknya menuntut perjuangan pasukan keselamatan dan keamanan. Mereka mengorbankan kepentingan diri dan keluarga dengan sepenuh jiwa raga untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara daripada terus diceroboh serta dijajah. Malah ada dalam kalangan mereka yang cedera dan terkorban.

Secara simbolik, pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, iaitu wirawan dan wirawati yang disanjungi lagi digeruni. Pahlawan negara biasanya dikaitkan dengan tentera dan polis yang mewakili pasukan keselamatan dan keamanan negara. Oleh itu, sambutan khas diraikan bagi memperingati mereka yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Nama-nama pahlawan negara diabadikan dalam lipatan sejarah atas jasa membebaskan negara daripada cengkaman penjajah sehingga melahirkan ketamadunan bangsa dan negara. Namun, dalam aspek kehidupan yang lebih luas, semangat juang dan nilai-nilai kepahlawanan terzahir dalam pelbagai bentuk dimensi.

Di saat kita menghadapi situasi pandemik misalnya, mereka yang berada di barisan hadapan seperti pegawai kesihatan, petugas pertahanan awam dan para sukarelawan merupakan pahlawan yang berjuang untuk keselamatan nyawa melawan Covid-19. Begitu juga para pendidik yang cekal berjuang sebagai pahlawan di medan ilmu untuk memastikan proses pendidikan dapat terus berjalan walaupun di saat pandemik.

Antara pahlawan yang mungkin tidak didendang ialah pengawal keselamatan yang berkhidmat untuk mengawal keselamatan di premis-premis pejabat, perniagaan dan taman perumahan. Dalam kehidupan manusia yang mengejar wang dan pangkat, seorang pengawal keselamatan mungkin bukan insan yang disanjung hanya kerana status mereka yang dianggap sebagai golongan marhaen berpendapatan rendah.

Dalam ukuran dunia, mereka yang bertugas sebagai pengawal keselamatan mungkin tidak mendapat penghormatan di mata masyarakat. Namun, jiwa kepahlawanan dan keikhlasan mereka untuk mengawal kawasan pada waktu siang dan malam sehingga penghuni pejabat dan kediaman dapat bekerja atau tinggal dengan aman mungkin dianugerahkan tingkat kebajikan yang berbeza.

Mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hakim dan Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah Aku ceritakan kepada kamu tentang satu malam yang lebih utama daripada malam al-Qadar? Iaitu malam yang dilalui oleh seseorang yang berkawal di suatu tempat yang menakutkan (kerana menjaga keamanan), yang mungkin (jika berlaku sesuatu tidak baik) dia tidak dapat kembali lagi kepada keluarganya.”

SRIKANDI

Pahlawan biasanya digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah perkasa. Malah, dalam sejarah Islam, kita biasa mendengar tokoh-tokoh pejuang seperti Saiyidina Hamzah, Khalid bin Al-Walid dan Salahuddin al-Ayubi. Nama-nama seperti Imam Muhammad bin Idris al-Shafei dan Imam Abu Hamid al-Ghazali pula merupakan sebahagian pahlawan yang memelihara dan mempertahankan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun, tidak boleh dinafikan kaum wanita juga menggalas tugas seorang pahlawan dalam dunia mereka tersendiri apabila terpaksa berkorban menguruskan ahli keluarga yang tua dan uzur serta mendidik dan membesarkan anak-anak mereka bersendirian. Tokoh srikandi Islam juga tidak kurang hebatnya seperti Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib yang terkenal bukan sahaja sebagai seorang yang tekun beribadah tetapi juga merupakan wanita pertama menghunus pedang di medan jihad.

Selain itu, Nusaybah binti Ka’ab yang dikenali juga sebagai Ummu Umarah merupakan pahlawan wanita yang menjadi benteng pertahanan Rasulullah SAW dalam Perang Uhud. Selepas Perang Uhud, Nusaybah menyertai baginda di Hudaibiah, Khaibar, Umrah Qadha’, Perang Hunayn dan Bai’ah al-Ridwan.

Kita juga memiliki barisan tokoh pahlawan yang telah terkorban mempertahankan negara seperti Leftenan Adnan, Abd. Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Tidak dilupakan juga srikandi seperti Tun Fatimah yang handal dalam ilmu persilatan serta tangkas bermain keris dan tombak.

Dalam aspek Maqasid Syariah, pahlawan dan pertahanan negara termasuk dalam objektif Islam untuk mempertahankan agama dan nyawa. Justeru, amat wajar untuk sambutan Hari Pahlawan diraikan bagi mengingati jasa serta pengorbanan pahlawan dan srikandi tanah air.

Di Malaysia, Hari Pahlawan diraikan secara rasmi pada 31 Julai bermula pada 1960 sempena tamatnya era darurat. Acara sambutan yang biasanya diadakan di Tugu Negara bertukar lokasi selepas 2010 bagi mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selari dengan nilai Islam.

Selain sambutan Hari Pahlawan, jasa pahlawan juga boleh dizahirkan dengan menjaga kebajikan anggota pertahanan dan waris mereka. Inisiatif-inisiatif yang pernah diumumkan untuk para veteran Angkatan Tentera Malaysia seperti skim Bantuan Bakti Negara, Skim Anuiti Veteran, Skim Pencen Hilang Upaya, bantuan veteran kelainan upaya, kuota khas haji dan sumbangan Tabung Pahlawan wajar diteruskan. Mengambil kira sebahagian besar anggota pertahanan terdiri daripada kalangan Muslim, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga wajar mempertimbangkan pilihan skim persaraan patuh syariah.

Martabat seorang pahlawan amat tinggi dalam Islam. Mereka memikul tugas fardu kifayah yang amat besar bagi mempertahankan keselamatan dan menjaga keamanan negara. Sewajarnya mereka diiktiraf tanpa mengira pangkat mahupun keanggotaan, sama ada sebagai sukarelawan atau pengawal keselamatan. Semoga para pahlawan yang telah gugur ditempatkan dalam kalangan mereka yang syahid.

Selamat Hari Pahlawan!

PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×